Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 39

Orang yang Lemah Lembut ialah Orang yang Kuat

Orang yang Lemah Lembut ialah Orang yang Kuat

“Hamba Tuan tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang.”—2 TIM. 2:24.

LAGU 120 Tirulah Sifat Kristus yang Lemah Lembut

PENGENALAN a

1. Rakan sekerja atau rakan sekolah kita mungkin menanya kita tentang apa?

 APAKAH perasaan anda apabila rakan sekerja atau rakan sekolah menanya anda tentang kepercayaan anda? Kebanyakan antara kita pasti berasa gementar. Sebenarnya, pertanyaan mereka dapat membantu kita memahami fikiran dan kepercayaan mereka. Dengan itu, kita berpeluang untuk mengongsikan berita baik kepada mereka. Namun ada kalanya, seseorang mungkin menanyakan soalan dalam cara yang kasar. Hal itu tidak menghairankan kerana sesetengah orang salah faham tentang kepercayaan kita. (Kis. 28:22) Lagipun, kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir,” dan kebanyakan orang “tidak mahu dibawa berbincang” dan bahkan bersikap “garang.”—2 Tim. 3:​1, 3.

2. Apakah manfaatnya bersikap lemah lembut?

2 Anda mungkin tertanya-tanya, “Apakah yang dapat membantu saya menjawab dengan baik hati semasa orang lain mempersoalkan kepercayaan saya?” Jawapannya: Sifat lemah lembut. Orang yang lemah lembut tidak cepat naik marah, tetapi dapat mengawal diri semasa berasa geram atau tidak tahu apa yang harus dikatakan. (Ams. 16:32) Namun, anda mungkin berasa bahawa hal ini susah dilakukan. Bagaimanakah anda dapat memupuk kelemahlembutan? Semasa orang mencabar anda, bagaimanakah anda dapat menjawab dengan lemah lembut? Para ibu bapa, bagaimanakah anda dapat mengajar anak anda untuk mempertahankan kepercayaan mereka dengan lemah lembut? Mari kita jawab soalan-soalan ini.

CARA UNTUK MEMUPUK KELEMAHLEMBUTAN

3. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa orang yang lemah lembut ialah orang yang kuat? (2 Timotius 2:​24, 25)

3 Orang yang lemah lembut bukan orang yang lemah. Mengapa? Kerana mereka mampu bertenang biarpun menghadapi situasi yang mencabar. Kelemahlembutan ialah salah satu aspek “buah kuasa suci Tuhan.” (Gal. 5:​22, 23) Dalam bahasa Yunani asal, perkataan “kelemahlembutan” kadangkala digunakan untuk menggambarkan seekor kuda liar yang telah dijinakkan. Biarpun kuda itu jinak, kuda itu tetap kuat. Sebagai manusia, bagaimanakah kita dapat memupuk kelemahlembutan? Bukan dengan kekuatan sendiri, tetapi dengan kuasa suci Tuhan. Kita perlu berdoa meminta bantuan Tuhan untuk memupuk sifat yang baik ini. Ramai Saksi berjaya menjawab dengan lemah lembut apabila dicabar oleh para penentang, dan hal ini telah mengubah pandangan orang lain terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. (Baca 2 Timotius 2:​24, 25 dan nota kaki.) Apakah hal lain yang dapat anda lakukan untuk memupuk kelemahlembutan?

4. Apakah yang dapat kita belajar daripada contoh Ishak tentang kelemahlembutan?

4 Terdapat banyak watak Bible yang menunjukkan sikap lemah lembut. Perhatikan contoh Ishak. Semasa dia tinggal di Gerar, iaitu kawasan orang Filistin, jiran-jirannya yang iri hati menimbus perigi yang telah digali oleh hamba-hamba bapanya. Daripada bertengkar tentang siapa yang betul, Ishak membawa keluarganya ke tempat lain dan menggali perigi yang baharu. (Kej. 26:​12-18) Namun orang Filistin mendakwa bahawa air di kawasan itu juga kepunyaan mereka. Sekali lagi, Ishak memilih untuk berdamai. (Kej. 26:​19-25) Apakah yang membantunya tetap lemah lembut semasa orang lain cuba mencari gaduh dengannya? Dia pasti telah meniru teladan bapanya Abraham yang mencintai kedamaian dan ibunya Sara yang “tenang dan lemah lembut.”—1 Ptr. 3:​4-6; Kej. 21:​22-34.

5. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa ibu bapa Kristian dapat mengajar anak-anak mereka untuk memupuk sifat lemah lembut.

5 Ibu bapa, anda juga dapat mengajar anak-anak anda untuk memupuk sifat lemah lembut. Perhatikan contoh Maxence yang berumur 17 tahun. Semasa menginjil dan di sekolah, dia perlu berdepan dengan orang yang cepat naik marah. Maka ibu bapa Maxence telah membantunya untuk bersikap lemah lembut. Mereka berkata, “Maxence telah belajar bahawa orang yang tersinggung mudah naik marah atau bertindak kasar, tetapi orang yang benar-benar kuat mampu mengawal diri dan bertenang.” Kini, Maxence seorang yang lemah lembut.

6. Bagaimanakah doa dapat membantu kita menunjukkan sifat lemah lembut dengan lebih baik lagi?

6 Apakah yang dapat kita lakukan semasa menghadapi situasi yang tegang, contohnya jika ada orang memburuk-burukkan nama Yehuwa atau mentertawakan ajaran Bible? Kita patut berdoa meminta kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan agar dapat menjawab dengan lemah lembut. Namun, bagaimana pula jika kita kemudiannya mendapati bahawa jawapan kita tidak cukup lemah lembut? Kita boleh berdoa lagi tentang hal itu dan memikirkan bagaimana kita dapat menjawab dengan lebih baik jika hal yang sama berlaku lagi. Yehuwa akan memberi kita kuasa suci-Nya supaya kita dapat mengawal kemarahan kita dan menunjukkan kelemahlembutan.

7. Bagaimanakah menghafal sesetengah ayat Bible dapat membantu kita apabila orang membuat kita marah? (Amsal 15:​1, 18)

7 Sesetengah ayat Bible dapat membantu kita mengawal pertuturan kita apabila orang membuat kita marah. Kuasa suci Tuhan dapat membantu kita mengingat ayat-ayat itu. (Yoh. 14:26) Sebagai contoh, buku Amsal mengandungi prinsip-prinsip yang dapat mengajar kita untuk bersikap lemah lembut. (Baca Amsal 15:​1, 18.) Buku itu juga menunjukkan mengapa baik bagi kita untuk mengawal diri apabila berdepan dengan situasi yang tegang.—Ams. 10:19; 17:27; 21:23; 25:15.

PENGERTIAN MEMBANTU KITA BERSIKAP LEMAH LEMBUT

8. Orang yang berpengertian sedar akan hal apa?

8 Pengertian juga dapat membantu kita untuk bersikap lemah lembut. (Ams. 19:11) Seseorang yang berpengertian sedar bahawa sering kali dia tidak tahu motif atau sebabnya orang lain menanyakan sesuatu. Oleh itu, dia akan mengawal diri apabila kepercayaannya dipersoalkan.—Ams. 16:23.

9. Bagaimanakah Gideon menunjukkan pengertian dan kelemahlembutan semasa orang dari suku Efraim cuba bertengkar dengannya?

9 Fikirkan bagaimana Gideon menjawab semasa orang dari suku Efraim cuba bertengkar dengannya. Mereka marah kerana Gideon tidak menjemput mereka untuk melawan musuh orang Israel awal-awal lagi. Apakah sebabnya mereka mencari gaduh dengan Gideon? Mungkinkah maruah mereka tercalar? Tidak kira apa sebabnya, Gideon menghormati perasaan mereka dan menjawab dengan lemah lembut. Selepas itu, “redalah kemarahan mereka.”—Hak. 8:​1-3.

10. Apakah yang dapat membantu kita untuk menjawab dengan lemah lembut semasa orang mempersoalkan kepercayaan kita? (1 Petrus 3:15)

10 Jika seorang rakan kerja atau rakan sekolah mempersoalkan pendirian Kristian kita, kita mahu melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kepercayaan kita. Namun pada masa yang sama, kita mahu menghormati pandangannya. (Baca 1 Petrus 3:15.) Untuk membantu kita menjawab dengan lemah lembut, janganlah anggap setiap soalan sebagai serangan. Sebaliknya ingatlah bahawa soalan yang ditanyakan oleh seseorang dapat membantu kita mengetahui isi hatinya. Tidak kira apa niat sebenar seseorang, kita mahu menjawab pertanyaannya dengan lemah lembut dan baik hati. Jawapan kita bahkan mungkin mengubah pandangannya terhadap kita. Biarpun seseorang bersikap kasar atau biadap, kita masih mahu menjawabnya dengan lemah lembut.—Rm. 12:17.

Kita dapat memberikan jawapan yang lebih sesuai jika kita memikirkan terlebih dahulu mengapa seseorang menjemput kita ke parti hari jadi (Lihat perenggan 11-12)

11-12. (a) Apakah soalan yang dapat kita fikirkan sebelum menjawab pertanyaan tentang hari jadi atau hubungan sejenis? (Lihat juga gambar.) (b) Bagaimanakah soalan-soalan ini dapat membuka peluang untuk memulakan perbualan yang santai?

11 Contohnya, seorang rakan kerja mungkin menanya mengapa Saksi tidak menyambut hari jadi. Sebelum menjawabnya, fikirkan soalan ini: Adakah dia berfikir bahawa kita tidak dibenarkan berseronok? Atau adakah dia risau kita akan merosakkan semangat perpaduan dalam syarikat jika kita tidak menyambut hari jadi bersama rakan sekerja lain? Selepas itu, kita boleh memujinya atas keprihatinannya terhadap pekerja yang lain, dan memberitahunya bahawa kita juga ingin menyumbang kepada suasana kerja yang baik. Apabila dia sudah lebih tenang dan santai, kita mungkin berpeluang untuk membincangkan apa yang dikatakan Bible tentang hari jadi.

12 Kita boleh menggunakan cara yang serupa semasa topik lain diungkit. Contohnya, seorang rakan sekolah mungkin berkata bahawa Saksi-Saksi Yehuwa harus mengubah pandangan mereka terhadap hubungan sejenis. Adakah dia berkata demikian kerana dia salah faham terhadap Saksi-Saksi Yehuwa? Atau adakah dia mempunyai sahabat atau saudara-mara yang homoseksual? Adakah dia berasa bahawa kita tidak mengasihi orang yang mengamalkan hubungan sejenis? Tidak kira apa sebabnya, kita boleh meyakinkannya bahawa kita mengambil berat terhadap semua orang dan menghormati kebebasan setiap orang untuk memilih. b (1 Ptr. 2:17) Kemudian kita mungkin dapat mengongsi dengannya manfaat yang diraih apabila seseorang hidup menurut standard Bible.

13. Bagaimanakah anda dapat membantu seseorang yang mengejek anda kerana anda percaya bahawa Tuhan wujud?

13 Apabila seseorang mengejek anda atau tidak bersetuju dengan ajaran Bible, janganlah terus membuat kesimpulan bahawa anda tahu apa yang dipercayainya. (Tit. 3:2) Sebagai contoh, seorang rakan kelas mungkin mengejek anda kerana mempercayai bahawa Tuhan wujud. Patutkah anda membuat andaian bahawa dia mempercayai teori evolusi dan mempunyai banyak pengetahuan tentang topik itu? Sebenarnya, dia mungkin sekadar mengulangi apa yang dikatakan oleh orang lain. Jadi, janganlah berdebat dengannya tentang sains. Sebaliknya, bantulah dia untuk memikirkan topik itu secara lebih mendalam. Contohnya, anda boleh mengongsi dengannya bahan tentang penciptaan yang terdapat di jw.org. Pada kemudian hari, barangkali dia akan lebih sudi membincangkan sebuah video atau rencana yang terdapat di laman itu. Ya, jika kita menghormati pandangannya, hal itu mungkin menggerakkan dia untuk mempelajari ajaran Bible.

14. Bagaimanakah Niall menggunakan laman web kita untuk membantu rakan sekelasnya yang mempunyai tanggapan salah tentang Saksi-Saksi Yehuwa?

14 Seorang remaja yang bernama Niall menggunakan laman web kita untuk mengatasi tanggapan yang salah tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia berkata, “Seorang rakan sekelas sering berkata bahawa saya tidak mempercayai sains atau fakta dan hanya percaya sebuah buku yang mengandungi cerita dongeng.” Namun, rakan kelasnya itu tidak memberi Niall peluang untuk menjelaskan kepercayaannya. Oleh itu, Niall memintanya untuk melihat bahagian “Sains dan Bible” di jw.org. Pada kemudian hari, Niall mendapati bahawa rakannya itu lebih sudi berbincang tentang asal usul kehidupan. Nampaknya, dia sudah membaca maklumat di laman web kita. Jika anda menggunakan laman web kita, anda mungkin meraih hasil yang sama.

BERSEDIA SEBAGAI SEBUAH KELUARGA

15. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka untuk menjawab dengan lemah lembut apabila kepercayaan mereka dipersoalkan?

15 Ibu bapa dapat mengajar anak mereka cara untuk menjawab dengan lemah lembut apabila kepercayaan mereka dipersoalkan oleh orang lain. (Yak. 3:13) Sesetengah ibu bapa menggunakan malam penyembahan keluarga untuk membincangkan topik-topik yang mungkin timbul di sekolah. Mereka membincangkan cara untuk memberikan jawapan dan mengadakan sesi latihan agar anak mereka dapat belajar untuk menjawab dengan lemah lembut dan baik hati.—Lihat kotak “ Sesi Latihan Dapat Membantu Keluarga Anda.”

16-17. Bagaimanakah sesi latihan dapat membantu anak-anak muda?

16 Sesi latihan dapat membantu anak-anak muda mempertahankan kepercayaan mereka dan meyakinkan diri mereka sendiri bahawa kepercayaan mereka memang berasas. Di jw.org, terdapat lembaran kerja untuk remaja dalam siri “Kaum Muda Bertanya.” Maklumat ini disediakan untuk menguatkan iman orang muda dan melatih mereka untuk menjawab pertanyaan orang dalam kata-kata sendiri. Jika sebuah keluarga mengkaji maklumat ini bersama-sama, mereka semua dapat belajar untuk mempertahankan kepercayaan sendiri dalam cara yang lemah lembut dan baik hati.

17 Seorang pemuda yang bernama Matthew menjelaskan bagaimana sesi latihan telah membantunya. Semasa penyembahan keluarga, Matthew dan ibu bapanya sering mengkaji topik-topik yang mungkin dibincangkan di sekolah. Dia berkata, “Kami fikirkan cabaran yang mungkin timbul, dan kami berlatih cara untuk menanganinya berdasarkan hasil penyelidikan kami. Apabila saya tahu sebab-sebab di sebalik kepercayaan saya, saya rasa lebih yakin dan dapat menjawab dengan lebih lemah lembut.”

18. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di Kolose 4:6?

18 Kadangkala, biarpun kita menggunakan logik, pendengar kita mungkin masih tidak mahu mempercayai apa yang kita katakan. Tetapi kalau kita meluahkan pandangan kita dengan lemah lembut dan hormat, hal itu mungkin menyentuh hati mereka. (Baca Kolose 4:6.) Sebenarnya, mengongsi kepercayaan kita adalah seperti membaling bola. Kita dapat melemparkan bola itu dengan lembut atau menghumbannya dengan kuat. Jika kita melemparkan bola itu dengan lembut, orang lain akan lebih senang untuk menyambutnya dan terus bermain. Begitu juga, jika kita bercakap dalam cara yang lemah lembut dan baik hati, orang lain mungkin lebih sudi mendengarkan kita dan terus berbual dengan kita. Memang, jika orang hanya mahu berdebat atau mencemuh ajaran Bible, kita tidak perlu terus bercakap dengan mereka. (Ams. 26:4) Namun, kita tidak selalunya bertemu dengan orang sedemikian, kerana kebanyakan orang biasanya akan sudi mendengar.

19. Mengapakah kita ingin bersikap lemah lembut semasa mempertahankan kepercayaan kita?

19 Jelaslah, sikap lemah lembut membawa manfaat yang besar. Jadi berdoalah kepada Yehuwa untuk memberi anda kekuatan agar anda tetap lemah lembut semasa orang lain mengkritik anda atau mempersoalkan kepercayaan anda. Ingatlah, sikap ini dapat menghalang anda daripada bertengkar dengan orang lain disebabkan perbezaan pendapat. Selain itu, jawapan anda yang lemah lembut mungkin dapat mengubah pandangan mereka tentang kita dan kebenaran Bible. Semoga kita “sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan” tentang kepercayaan kita, dan berbuat demikian “dengan lemah lembut dan hormat yang mendalam.” (1 Ptr. 3:15) Ya, bertekadlah untuk selalu bersikap lemah lembut!

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

a Rencana ini memberi kita cadangan tentang cara kita dapat mempertahankan kepercayaan kita dengan lemah lembut apabila dicabar oleh orang lain.

b Lihat cadangan dalam rencana “Apakah Ajaran Bible tentang Homoseksual?” di jw.org.

c Terdapat cadangan yang berguna di jw.org dalam siri rencana “Kaum Muda Bertanya” dan “Soalan Lazim tentang Saksi-Saksi Yehuwa.”