Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 41

Pengajaran daripada Surat Petrus yang Pertama dan Kedua

Pengajaran daripada Surat Petrus yang Pertama dan Kedua

“Aku ingin selalu mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini.”—2 PTR. 1:12.

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

PENGENALAN a

1. Tidak lama sebelum Rasul Petrus meninggal, dia diilhami untuk melakukan apa?

 RASUL PETRUS tahu bahawa tidak lama lagi dia akan meninggal. Dia sudah lama berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia. Dia pernah menginjil bersama Yesus, menjadi orang pertama yang menginjil kepada orang bukan Yahudi, dan berkhidmat sebagai salah seorang ahli badan pimpinan. Tetapi Yehuwa masih mempunyai tugas untuknya. Sekitar tahun 62-64 M, Petrus diilhami untuk menulis dua pucuk surat, iaitu 1 dan 2 Petrus. Petrus berharap agar surat-surat ini akan membantu orang Kristian selepas kematiannya.—2 Ptr. 1:​12-15.

2. Mengapakah surat-surat Petrus amat diperlukan oleh orang Kristian pada zamannya?

2 Semasa Petrus menulis surat-suratnya, rakan seimannya sedang “menanggung berbagai-bagai cubaan.” (1 Ptr. 1:6) Orang jahat mula membawa ajaran palsu ke dalam sidang dan cuba mempengaruhi ahli sidang untuk berkelakuan buruk. (2 Ptr. 2:​1, 2, 14) Selain itu, tidak lama lagi orang Kristian di Yerusalem akan menghadapi “akhir segala sesuatu,” kerana tentera Roma akan membinasakan Yerusalem dan Rumah Tuhan. (1 Ptr. 4:7) Surat-surat Petrus telah membantu orang Kristian mengharungi cubaan yang sedang mereka hadapi dan bersedia menghadapi cubaan pada masa depan. b

3. Mengapakah kita patut mengkaji surat-surat Petrus?

3 Walaupun surat-surat Petrus ditujukan kepada orang Kristian abad pertama, Yehuwa menjadikan surat-surat ini sebahagian daripada Firman-Nya demi manfaat kita. (Rm. 15:4) Kita hidup dalam dunia yang menggalakkan kelakuan yang salah, dan kita juga menghadapi cubaan yang membuat kita susah menyembah Yehuwa. Selain itu, tidak lama lagi, kita akan menghadapi kesengsaraan yang jauh lebih besar daripada kesusahan yang dihadapi oleh orang Kristian abad pertama. Surat-surat Petrus mengandungi banyak peringatan bagi kita. Kita dapat belajar cara untuk menantikan hari Yehuwa, mengatasi rasa takut akan manusia, dan memupuk kasih yang mendalam terhadap satu sama lain. Para penatua juga dapat belajar cara untuk menjaga kawanan Tuhan dengan baik.

TERUS MENANTIKAN HARI YEHUWA

4. Menurut 2 Petrus 3:​3, 4, apakah yang mungkin melemahkan iman kita?

4 Kita dikelilingi orang yang tidak mempercayai nubuat Bible. Para penentang mungkin mengejek kita kerana kita sudah lama mengumumkan bahawa akhir akan datang, tetapi hal itu belum berlaku. Sesetengah pengkritik bahkan berkata bahawa akhir tidak akan datang. (Baca 2 Petrus 3:​3, 4.) Iman kita mungkin menjadi lemah semasa mendengar penghuni rumah, rakan sekerja, atau ahli keluarga berkata demikian. Apakah yang dapat membantu kita?

5. Apakah yang dapat membantu kita menunggu kedatangan akhir sistem ini dengan sabar? (2 Petrus 3:​8, 9)

5 Sesetengah orang mungkin berasa Yehuwa lambat memusnahkan sistem dunia yang jahat ini. Namun, kata-kata Petrus dapat membantu kita untuk menunggu kedatangan hari Yehuwa dengan sabar. Dia mengingatkan kita bahawa pandangan Yehuwa tentang masa sangat berbeza daripada pandangan manusia. (Baca 2 Petrus 3:​8, 9.) Bagi Yehuwa, seribu tahun adalah bagaikan satu hari. Yehuwa sabar, dan Dia tidak mahu sesiapa pun dibinasakan. Namun, apabila hari Yehuwa tiba, sistem dunia ini akan dimusnahkan. Sebelum akhir tiba, kita diberi penghormatan untuk menginjil kepada orang di seluruh dunia.

6. Bagaimanakah kita dapat “sentiasa mengingat” akan hari Yehuwa? (2 Petrus 3:​11, 12)

6 Petrus menggesa kita agar “sentiasa mengingat” akan hari Yehuwa. (Baca 2 Petrus 3:​11, 12.) Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Seboleh-bolehnya, kita harus merenungkan setiap hari berkat-berkat di dunia baharu. Bayangkan anda menghirup udara yang segar, menikmati makanan yang berkhasiat, menyambut orang tersayang yang dibangkitkan, dan mengajar orang dari zaman dahulu bagaimana nubuat Bible menjadi kenyataan. Dengan merenungkan berkat sebegini, kita dapat terus menantikan hari Yehuwa dan tidak dipengaruhi sikap acuh tak acuh kebanyakan orang. Memandangkan kita sudah tahu “awal-awal lagi” apa yang akan berlaku pada masa depan, kita ‘tidak akan disesatkan’ oleh guru-guru palsu.—2 Ptr. 3:17.

MENGATASI RASA TAKUT AKAN MANUSIA

7. Bagaimanakah rasa takut akan manusia mempengaruhi kita?

7 Semasa menantikan hari Yehuwa, kita mahu menginjil kepada orang lain. Namun, kadangkala kita mungkin teragak-agak untuk memberikan kesaksian kerana dipengaruhi rasa takut akan manusia. Petrus pun pernah tunduk kepada rasa takut akan manusia. Pada malam Yesus ditangkap, Petrus takut untuk mengaku diri sebagai pengikut Yesus, dan balik-balik berkata bahawa dia tidak kenal Yesus! (Mat. 26:​69-75) Walaupun begitu, Petrus telah menjadi berani pada kemudian hari. Dia berkata dengan yakin, “Janganlah takut akan apa yang ditakuti oleh orang lain, dan janganlah menjadi resah.” (1 Ptr. 3:14) Kata-kata Petrus membuktikan bahawa kita juga dapat mengatasi rasa takut akan manusia.

8. Apakah yang dapat membantu kita mengatasi rasa takut akan manusia? (1 Petrus 3:15)

8 Apakah yang dapat membantu kita mengatasi rasa takut akan manusia? Petrus menulis, “Akuilah dalam hati kamu bahawa Kristus ialah Tuan dan bahawa dia suci.” (Baca 1 Petrus 3:15.) Jika anda berasa gementar atau takut semasa berpeluang untuk mengongsi berita baik, bayangkan anda dapat melihat Kristus Yesus, Tuan dan Raja kita, berada di syurga sambil dikelilingi banyak malaikat yang perkasa. Renungkanlah kuasa dan kedudukan yang dimilikinya. Ingatlah bahawa dia sudah diberi “kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi,” dan akan “menyertai [anda] sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:​18-20) Petrus juga menggalakkan kita agar “sentiasa bersedia” mempertahankan kepercayaan kita. Inginkah anda memberikan kesaksian secara tidak formal, contohnya di sekolah atau tempat kerja? Jika ya, fikirkan terlebih dahulu bila anda dapat berbuat demikian dan apa yang ingin anda katakan. Berdoalah untuk meminta keberanian, dan yakinlah bahawa Yehuwa pasti membantu anda mengatasi rasa takut akan manusia.—Kis. 4:29.

“KASIHILAH SATU SAMA LAIN DENGAN MENDALAM”

Petrus sudi menerima teguran Paulus. Dua pucuk surat Petrus mengajar kita cara menunjukkan kasih kepada saudara saudari (Lihat perenggan 9)

9. Pernah sekali, bagaimanakah Petrus gagal untuk menunjukkan kasih? (Lihat juga gambar.)

9 Petrus ada bersama Yesus semasa Yesus berkata, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi.” (Yoh. 13:34) Biarpun begitu, pada kemudian hari, Petrus enggan makan bersama saudara saudari yang bukan berbangsa Yahudi. Rasul Paulus berkata bahawa Petrus “berpura-pura,” atau bersikap muka dua. (Gal. 2:​11-14) Petrus menerima teguran itu, dan dia terus belajar cara untuk menunjukkan kasih. Dalam kedua-dua suratnya, Petrus menekankan bahawa kasih kita mesti ditunjukkan dan bukan sekadar perasaan di hati.

10. Apakah yang dapat membantu kita menunjukkan “kasih sayang yang ikhlas”? Jelaskan. (1 Petrus 1:22)

10 Petrus berkata bahawa kita harus memiliki “kasih sayang yang ikhlas” terhadap rakan seiman. (Baca 1 Petrus 1:22.) Untuk memiliki kasih ini, kita perlu “patuh kepada kebenaran.” Kebenaran ini merangkumi ajaran bahawa “Tuhan tidak berat sebelah.” (Kis. 10:​34, 35) Kita tidak dapat mematuhi arahan Yesus untuk mengasihi satu sama lain jika kita menunjukkan kasih kepada sesetengah orang dalam sidang tetapi mengabaikan yang lain. Memang benar, kita mungkin berasa lebih rapat dengan saudara saudari tertentu, dan hal itu tidak salah kerana Yesus pun lebih rapat dengan sesetengah rasulnya. (Yoh. 13:23; 20:2) Namun, Petrus mengingatkan kita bahawa kita harus berusaha mengasihi “semua saudara seiman” dan melayan mereka seperti keluarga kita sendiri.—1 Ptr. 2:17.

11. Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat Petrus untuk ‘mengasihi satu sama lain dengan mendalam’?

11 Petrus menasihati kita untuk ‘mengasihi satu sama lain dengan mendalam daripada hati kita.’ Dalam konteks ini, mengasihi seseorang “dengan mendalam” bermaksud kita mengasihinya biarpun hal itu sukar dilakukan. Sebagai contoh, jika seorang saudara menyinggung atau menyakiti perasaan kita, kita mungkin cenderung untuk balas dendam dan bukannya menunjukkan kasih kepadanya. Namun, Petrus belajar daripada Yesus bahawa orang yang membalas dendam tidak dapat menyenangkan hati Tuhan. (Yoh. 18:​10, 11) Itulah sebabnya Petrus menulis, “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan atau hinaan dengan hinaan. Sebaliknya, balaslah kejahatan dengan perbuatan yang baik.” (1 Ptr. 3:9) Maka biarkanlah kasih yang mendalam mendorong anda untuk bersikap baik hati, bahkan kepada orang yang telah menyakiti anda.

12. (a) Kasih yang mendalam juga akan mendorong kita untuk melakukan apa? (b) Setelah menonton video Kekalkan Kurniaan Perpaduan Kita, apakah tekad anda?

12 Dalam suratnya yang pertama, Petrus juga menulis bahawa kasih yang mendalam dapat menutupi, bukan beberapa dosa, tetapi “banyak dosa.” (1 Ptr. 4:8) Semasa menulis kata-kata ini, barangkali Petrus teringat apa yang diajarkan oleh Yesus tentang pengampunan bertahun-tahun lalu. Pada masa itu, Petrus berfikir bahawa jika dia mengampuni orang ‘sehingga tujuh kali,’ dia sudah sangat murah hati. Namun Yesus mengajar Petrus dan kita untuk mengampuni orang “sehingga 77 kali,” iaitu tanpa had. (Mat. 18:​21, 22) Jika anda berasa susah untuk mengikut nasihat ini, janganlah tawar hati! Semua penyembah Yehuwa yang tidak sempurna pun pernah berasa susah untuk memaafkan orang. Yang penting ialah sekarang anda melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memaafkan rakan seiman anda dan berdamai dengannya. c

PARA PENATUA, JAGALAH KAWANAN TUHAN

13. Mengapakah susah bagi para penatua untuk menggembala saudara saudari mereka?

13 Selepas dibangkitkan, Yesus memberitahu Petrus, “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.” (Yoh. 21:16) Petrus pasti tidak melupakan kata-kata itu. Jika anda seorang penatua, anda tahu anda juga harus mematuhi arahan tersebut. Namun, kadangkala hal ini susah dilakukan kerana para penatua sangat sibuk. Para penatua harus menjaga keperluan fizikal, emosi, dan rohani keluarga sendiri terlebih dahulu. Selepas itu, mereka perlu mengambil pimpinan dalam kerja menginjil. Selain itu, mereka harus membuat persiapan dan mengendalikan bahagian semasa perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Ada juga yang berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital atau membantu Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan (LDC). Sememangnya, para penatua kita sangat sibuk!

Walaupun para penatua sangat sibuk, mereka berusaha keras untuk menggembala kawanan Tuhan (Lihat perenggan 14-15)

14. Jika para penatua berasa susah untuk menggembala kawanan, apakah yang dapat mereka lakukan? (1 Petrus 5:​1-4)

14 Petrus menggesa para penatua, “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan.” (Baca 1 Petrus 5:​1-4.) Para penatua, kami tahu anda mengasihi saudara saudari dan ingin menggembala mereka. Namun, kadangkala anda mungkin begitu sibuk atau penat sehingga tidak mampu menjalankan tanggungjawab itu. Apakah yang dapat anda lakukan? Beritahulah Yehuwa kekhuatiran anda. Petrus menulis, “Jika seseorang berkhidmat kepada orang lain, hendaklah dia berbuat demikian dengan bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Tuhan.” (1 Ptr. 4:11) Selain itu, ingatlah bahawa Yesus Kristus ialah “ketua gembala.” Sesetengah masalah yang dihadapi saudara saudari anda mungkin hanya dapat diselesaikan di dunia baharu. Namun, Yesus dapat membantu mereka dalam cara yang tidak mampu anda lakukan, baik sekarang mahupun pada masa depan. Ingatlah, Tuhan hanya mahu anda menjadi “teladan bagi kawanan,” mengasihi mereka, dan menggembala mereka.

15. Bagaimanakah seorang penatua menggembala biri-biri Tuhan? (Lihat juga gambar.)

15 William, yang sudah lama berkhidmat sebagai penatua, tahu pentingnya menggembala kawanan Tuhan. Semasa pandemik COVID-19 bermula, dia dan penatua lain dalam sidangnya berusaha untuk menghubungi setiap penyiar dalam kumpulan masing-masing setiap minggu. Mengapakah mereka berbuat demikian? Dia menjelaskan, “Ramai saudara saudari tinggal seorang diri, dan pemikiran mereka dapat menjadi negatif dengan senang sekali.” Apabila rakan seimannya mempunyai masalah, William akan mendengar luahan mereka agar mengetahui kerisauan dan keperluan mereka. Kemudian dia akan mencari bahan yang dapat membantu mereka, contohnya video dari laman web kita. Dia berkata, “Kerja penggembalaan sangat penting, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Kita sudah berusaha keras untuk bantu orang memasuki kebenaran. Usaha yang sama diperlukan untuk menggembala mereka, supaya mereka terus berada dalam kebenaran.”

BIARLAH YEHUWA MENYEMPURNAKAN LATIHAN ANDA

16. Bagaimanakah kita dapat menerapkan apa yang kita pelajari daripada surat-surat Petrus?

16 Setelah mengkaji surat-surat Petrus, adakah anda mendapati bahawa ada hal-hal yang ingin anda usahakan? Contohnya, adakah anda ingin merenungkan berkat-berkat di dunia baharu dengan lebih kerap? Adakah anda bermatlamat untuk memberikan kesaksian tidak formal di tempat kerja, sekolah, atau tempat lain? Adakah anda terfikir cara untuk menunjukkan kasih yang lebih mendalam kepada saudara saudari anda? Para penatua, adakah anda bertekad untuk menggembala kawanan Yehuwa dengan lebih bersungguh-sungguh dan rela hati? Jika anda memeriksa diri dan mendapati bahawa ada sesetengah hal yang perlu anda perbaiki, janganlah putus asa. “Tuan kita baik hati,” dan dia pasti membantu anda. (1 Ptr. 2:3) Petrus menulis, ‘Tuhan akan menyempurnakan latihan kamu. Dia akan meneguhkan kamu, Dia akan menguatkan kamu, dan Dia akan mengukuhkan kamu.’—1 Ptr. 5:10.

17. Apakah hasilnya jika kita tidak berputus asa dan membiarkan Yehuwa melatih kita?

17 Petrus pernah berasa bahawa dia tidak layak berada bersama Yesus. (Luk. 5:8) Tetapi dengan sokongan dan kasih Yehuwa dan Yesus, Petrus dapat terus menjadi pengikut Kristus dan “memasuki Kerajaan kekal Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.” (2 Ptr. 1:11) Alangkah hebatnya ganjaran Petrus! Seperti Petrus, jika anda tidak berputus asa dan membiarkan Yehuwa melatih anda, ‘iman anda akan membawa penyelamatan,’ dan anda juga akan menerima ganjaran berupa kehidupan kekal.—1 Ptr. 1:9.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

a Dalam rencana ini, kita akan mengkaji dua pucuk surat yang ditulis oleh Petrus dan belajar bagaimana kita dapat menghadapi cubaan dengan tabah. Para penatua pula akan belajar cara untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai gembala.

b Nampaknya, orang Kristian di Palestin menerima kedua-dua surat Petrus sebelum tentera Roma menyerang Yerusalem buat kali pertama pada tahun 66 M.

c Tonton video Kekalkan Kurniaan Perpaduan Kita di jw.org.