RENCANA PEMBELAJARAN 40
Seperti Petrus, Janganlah Berputus Asa!
“Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.”—LUK. 5:8.
LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu
PENGENALAN a
1. Apakah reaksi Petrus setelah menangkap banyak ikan secara mukjizat?
SETELAH berusaha sepanjang malam, Petrus tidak menangkap seekor ikan pun. Namun, Yesus memberitahunya, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam, dan labuhkanlah jala kamu untuk menangkap ikan.” (Luk. 5:4) Petrus tidak percaya bahawa dia akan dapat menangkap ikan, tetapi dia melakukan apa yang disuruh. Hasilnya, dia mendapat begitu banyak ikan sehingga jalanya mula terkoyak. Petrus dan rakan-rakannya “berasa sangat kagum” kerana sedar bahawa hasil tangkapan itu merupakan mukjizat. Petrus berkata kepada Yesus, “Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.” (Luk. 5:6-9) Nampaknya, Petrus berasa tidak layak berada bersama Yesus.
2. Apakah manfaatnya mengkaji teladan Petrus?
2 Memang benar, Petrus ialah “orang yang berdosa.” Dia pernah mengatakan dan melakukan hal-hal yang dikesalinya. Dapatkah anda menyelami perasaan Petrus? Adakah anda sedang bergelut dengan kelemahan atau kecenderungan yang berdosa dalam diri anda? Jika begitu, teladan Petrus dapat menggalakkan anda. Bagaimana? Fikirkan: Yehuwa boleh memutuskan untuk tidak mencatatkan kesilapan Petrus dalam Bible. Namun, kesilapannya dicatatkan supaya kita dapat belajar daripadanya. (2 Tim. 3:16, 17) Petrus ialah manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan perasaan seperti kita. Dengan mengkaji teladannya, kita akan melihat bahawa Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada kita. Sebaliknya, Dia mahu kita terus berusaha melawan kelemahan kita dan tidak berputus asa.
3. Mengapakah kita perlu terus berusaha tanpa berputus asa?
3 Mengapakah kita perlu terus berusaha tanpa berputus asa? Terdapat peribahasa yang berbunyi: Alah bisa, tegal biasa. Maksudnya, jika kita sering melakukan sesuatu pekerjaan yang susah, lama-kelamaan kerja itu akan menjadi lebih mudah. Sebagai contoh, seorang ahli muzik mungkin menggunakan masa bertahun-tahun untuk berlatih alat muziknya. Sepanjang masa itu, dia mungkin membuat kesilapan beribu-ribu kali. Namun, jika dia terus berlatih, dia akan menjadi semakin mahir. Setelah menjadi ahli muzik yang hebat, ada kalanya dia masih mungkin melakukan kesilapan. Meskipun begitu, dia tidak berputus asa dan terus berusaha meningkatkan kemahirannya. Begitu juga, kita mungkin berasa bahawa kita sudah berjaya mengatasi kelemahan tertentu, tetapi ada kalanya, kelemahan itu mungkin timbul semula. Walaupun begitu, kita mahu terus berusaha untuk membaikinya. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita semua akan melakukan atau mengatakan hal-hal yang mungkin kita kesali. Tetapi jika kita enggan berputus asa, Yehuwa akan membantu kita terus membuat kemajuan. (1 Ptr. 5:10) Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana Petrus berusaha mengatasi kelemahannya tanpa berputus asa. Semasa melihat bagaimana Yesus berbelas kasihan terhadapnya, kita akan terdorong untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia.
PAHIT MANIS KEHIDUPAN PETRUS
4. Menurut Lukas 5:5-10, bagaimanakah Petrus melabel dirinya? Bagaimanakah Yesus menggalakkannya?
4 Bible tidak menyatakan mengapa Petrus melabel dirinya sebagai “orang yang berdosa” atau dosa apa yang dimaksudkannya. (Baca Lukas 5:5-10.) Petrus mungkin pernah melakukan kesalahan yang besar, jadi dia berasa takut dan menganggap dirinya tidak layak untuk menjadi pengikut Yesus. Yesus tahu bahawa Petrus berasa takut, tetapi dia juga tahu Petrus ada potensi untuk menjadi pengikutnya yang setia. Jadi Yesus menggalakkan Petrus dengan berkata, “Janganlah takut.” Oleh sebab Yesus menunjukkan keyakinan terhadap Petrus, hal itu telah mengubah kehidupan Petrus. Pada kemudian hari, Petrus dan saudara kandungnya Andreas, meninggalkan kerja mereka sebagai nelayan lalu menjadi pengikut Yesus. Keputusan mereka telah membawa berkat yang tidak terhingga.—Mrk. 1:16-18.
5. Apakah berkat yang dinikmati Petrus kerana berusaha mengatasi rasa takut dan menerima jemputan Yesus untuk menjadi pengikutnya?
5 Petrus menikmati banyak berkat kerana menjadi pengikut Kristus. Dia melihat Yesus menyembuhkan orang sakit, mengusir roh jahat, dan bahkan membangkitkan orang mati. b (Mat. 8:14-17; Mrk. 5:37, 41, 42) Dia juga diberi penglihatan tentang masanya Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan, dan penglihatan itu memberinya kesan yang mendalam. (Mrk. 9:1-8; 2 Ptr. 1:16-18) Ya, Petrus telah meraih banyak berkat yang tidak dijangkakannya. Dia pasti amat bersyukur kerana berusaha mengatasi rasa takut dan menerima jemputan Yesus!
6. Adakah Petrus mengatasi semua kelemahannya sebaik sahaja dia menjadi pengikut Yesus? Jelaskan.
6 Meskipun Petrus melihat dan mendengar banyak hal yang menakjubkan semasa bersama Yesus, dia masih perlu bergelut dengan kelemahannya. Contohnya, semasa Yesus memberitahu pengikutnya bahawa dia akan menderita dan mati seperti yang dinubuatkan dalam Bible, Petrus berkata bahawa hal itu tidak akan berlaku. (Mrk. 8:31-33) Selain itu, Petrus dan rasul-rasul lain sering bertengkar tentang siapa yang terbesar antara mereka. (Mrk. 9:33, 34) Pada malam sebelum Yesus dibunuh, Petrus menyerang seorang lelaki dan mengerat telinganya. (Yoh. 18:10) Pada malam itu juga, Petrus begitu takut akan manusia sehingga berkata sebanyak tiga kali bahawa dia tidak mengenal Yesus. (Mrk. 14:66-72) Selepas itu, dia keluar dan menangis tersedu-sedu.—Mat. 26:75.
7. Selepas Yesus dibangkitkan, Petrus diberi peluang untuk melakukan apa?
7 Yesus tidak berputus asa terhadap Petrus yang sangat tawar hati. Selepas Yesus dibangkitkan, dia memberi Petrus peluang untuk menunjukkan bahawa dia masih mengasihinya dengan menjemput Petrus untuk menjaga biri-birinya. (Yoh. 21:15-17) Petrus menerima jemputan Yesus dengan rela hati. Jadi, pada hari Pentakosta, Petrus berada di Yerusalem dan menjadi antara orang Kristian pertama yang diurapi kuasa suci Tuhan.
8. Apakah kesilapan besar yang dilakukan Petrus semasa di Antiokhia?
8 Bahkan selepas menjadi orang Kristian terurap, Petrus masih perlu bergelut dengan kelemahannya sendiri. Pada tahun 36 Masihi, Petrus menyaksikan bagaimana Kornelius, seorang lelaki bukan Yahudi yang tidak bersunat, diurapi kuasa suci Tuhan. Peristiwa itu membuktikan dengan jelas bahawa “Tuhan tidak berat sebelah” dan menerima orang bukan Yahudi sebagai ahli sidang Kristian. (Kis. 10:34, 44, 45) Selepas melihat peristiwa itu, Petrus mengubah pandangannya dan mula makan bersama orang bukan Yahudi. (Gal. 2:12) Namun, segelintir orang Kristian berbangsa Yahudi berpendapat bahawa orang Yahudi dan orang bukan Yahudi tidak patut makan bersama-sama. Apabila mereka datang ke Antiokhia, Petrus takut menyinggung perasaan mereka, jadi dia tidak lagi makan bersama rakan seimannya yang bukan Yahudi. Ketika Rasul Paulus melihat Petrus berbuat demikian, dia menegur Petrus di hadapan orang ramai dan berkata bahawa Petrus bermuka dua. (Gal. 2:13, 14) Meskipun Petrus melakukan kesilapan besar ini, dia tidak berputus asa. Apakah yang telah membantunya?
APAKAH YANG MEMBANTU PETRUS UNTUK TIDAK BERPUTUS ASA?
9. Bagaimanakah Yohanes 6:68, 69 menonjolkan kesetiaan Petrus?
9 Petrus setia kepada Yesus. Dia tidak mengizinkan apa-apa menghalangnya daripada terus mengikut Yesus. Pernah sekali, semasa Yesus mengatakan sesuatu yang membuat murid-muridnya bingung, ramai antara mereka berhenti mengikut Yesus tanpa menunggu penjelasannya. (Baca Yohanes 6:68, 69.) Namun, Petrus terus mengikut Yesus dengan setia. Dia sedar bahawa hanya kata-kata Yesus yang dapat “membawa kehidupan kekal.”
10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia yakin terhadap Petrus? (Lihat juga gambar.)
10 Pada malam sebelum Yesus dibunuh, dia tahu bahawa Petrus dan rasul-rasul lain akan meninggalkannya. Namun, Yesus berkata bahawa dia yakin Petrus akan kembali dan tetap setia kepadanya. (Luk. 22:31, 32) Yesus faham bahawa manusia yang tidak sempurna memang “ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh [mereka] lemah.” (Mrk. 14:38) Oleh itu, biarpun Petrus menyangkalnya, Yesus tidak berputus asa terhadapnya. Selepas dibangkitkan, Yesus bahkan menampakkan diri kepada Petrus semasa Petrus seorang diri. (Mrk. 16:7; Luk. 24:34; 1 Kor. 15:5) Petrus pasti berasa sangat lega kerana Yesus tidak meninggalkannya!
11. Bagaimanakah Yesus meyakinkan Petrus bahawa Yehuwa akan menjaga keperluannya?
11 Yesus meyakinkan Petrus bahawa Yehuwa akan menjaga keperluannya. Selepas dibangkitkan, Yesus melakukan mukjizat lagi supaya Petrus dan rasul-rasul lain menangkap banyak ikan. (Yoh. 21:4-6) Mukjizat ini pasti meyakinkan Petrus bahawa Yehuwa dapat menjaga keperluan fizikalnya dengan senang sekali. Barangkali pada masa itu dia teringat kata-kata Yesus bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan orang yang “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” (Mat. 6:33) Selepas diyakinkan bahawa Yehuwa akan menyokongnya, Petrus mengutamakan kerja menginjil dan bukannya kerja sebagai nelayan. Pada hari Pentakosta 33 Masihi, Petrus memberikan kesaksian dengan berani dan membantu ribuan orang untuk menerima berita baik. (Kis. 2:14, 37-41) Kemudian, dia membantu orang Samaria dan orang bukan Yahudi yang tidak bersunat untuk menerima Kristus. (Kis. 8:14-17; 10:44-48) Sememangnya, Yehuwa telah menggunakan Petrus dalam cara yang menakjubkan untuk membawa segala macam orang ke dalam sidang Kristian!
PENGAJARANNYA BAGI KITA
12. Bagaimanakah contoh Petrus dapat membantu kita jika kita perlu bergelut dengan kelemahan buat jangka masa yang panjang?
12 Yehuwa dapat membantu kita menyembah-Nya tanpa berputus asa. Hal ini tidak mudah terutamanya jika kita perlu bergelut dengan kelemahan sendiri buat jangka masa yang panjang. Ada kalanya, kita mungkin rasa kelemahan kita lebih susah diatasi berbanding kelemahan Petrus. Tetapi sebagaimana Yehuwa telah membantu Petrus, Dia juga dapat memberi kita kekuatan agar tidak berputus asa. (Mzm. 94:17-19) Perhatikan contoh seorang saudara yang mengamalkan hubungan sejenis selama bertahun-tahun sebelum mempelajari kebenaran. Walaupun dia sudah mengubah kehidupannya, nafsu yang salah kadangkala timbul semula. Apakah yang membantunya untuk tidak berputus asa? Dia menjelaskan, “Yehuwa menguatkan saya. Dengan adanya bantuan kuasa suci Yehuwa . . . , saya belajar bahawa saya dapat terus mengikut jalan kebenaran . . . Saya dapat berkhidmat kepada Yehuwa, dan walaupun saya tidak sempurna, Dia terus menguatkan saya.”
13. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Petrus seperti yang tercatat di Kisah 4:13, 29, 31? (Lihat juga gambar.)
13 Seperti yang telah kita belajar, Petrus telah membuat kesilapan yang besar beberapa kali kerana dia takut akan manusia. Tetapi dia berjaya mengatasi ketakutannya dengan berdoa kepada Yehuwa. (Baca Kisah 4:13, 29, 31.) Seperti Petrus, kita juga dapat mengatasi rasa takut. Perhatikan pengalaman Horst, seorang saudara muda yang tinggal di Jerman semasa Nazi memerintah. Lebih daripada sekali, dia tunduk kepada tekanan dan mengucapkan salam “Heil Hitler!” yang bermaksud “Hitler ialah penyelamat kami.” Namun ibu bapa Horst tidak memarahinya. Mereka berdoa bersama-sama Horst agar Yehuwa memberinya keberanian. Dengan bantuan ibu bapanya dan dengan bergantung pada Yehuwa, Horst akhirnya mempunyai kekuatan untuk berpegang teguh pada pendiriannya. Pada kemudian hari dia berkata, “Yehuwa tidak pernah mengabaikan saya.” c
14. Bagaimanakah para gembala yang penyayang dapat menggalakkan orang yang tawar hati?
14 Yehuwa dan Yesus tidak akan berputus asa terhadap kita. Selepas menyangkal Kristus, Petrus perlu memutuskan sama ada dia masih akan terus mengikut Yesus atau tidak. Sebelum itu, Yesus telah merayu kepada Tuhan agar tidak membiarkan Petrus kehilangan iman. Yesus juga memberitahu Petrus bahawa dia sudah berdoa baginya dan berkata bahawa dia yakin Petrus akan kembali dan menguatkan saudara-saudaranya. (Luk. 22:31, 32) Semasa Petrus mengingat kembali kata-kata Yesus itu, dia tentu amat digalakkan! Semasa kita tertanya-tanya sama ada kita patut terus berusaha menyembah Yehuwa atau tidak, Yehuwa mungkin menggunakan para gembala yang penyayang untuk memberi kita galakan yang diperlukan. (Ef. 4:8, 11) Itulah yang cuba dilakukan oleh Paul, yang sudah lama berkhidmat sebagai penatua. Jika ada orang yang berasa hendak berputus asa, dia akan menjemput mereka untuk memikirkan bagaimana Yehuwa telah memimpin mereka untuk menerima kebenaran. Kemudian, dia meyakinkan mereka bahawa oleh sebab Yehuwa memiliki kasih setia, Dia tidak akan berputus asa terhadap mereka. Paul berkata, “Saya telah melihat banyak orang yang tawar hati menerima bantuan Yehuwa dan terus menyembah-Nya dengan setia.”
15. Bagaimanakah teladan Petrus dan Saudara Horst membuktikan kebenaran kata-kata di Matius 6:33?
15 Sepertimana Yehuwa menjaga keperluan Petrus dan rasul-rasul lain, Dia juga akan menjaga keperluan fizikal kita jika kita mengutamakan kerja menginjil dalam kehidupan kita. (Mat. 6:33) Selepas Perang Dunia Kedua, Saudara Horst, yang disebut sebelum ini, ingin merintis. Tetapi dia sangat miskin dan berasa dia tidak dapat menyara kehidupan sendiri jika dia merintis. Jadi apakah yang dilakukannya? Dia membuat keputusan untuk menguji Yehuwa. Sepanjang minggu lawatan penyelia litar, dia keluar menginjil. Pada hujung minggu itu, dia sangat terkejut apabila penyelia litar memberinya sampul surat berisi duit. Penyelia litar itu tidak memberitahunya duit itu daripada siapa, tetapi duit itu cukup untuk menampung kehidupannya sebagai perintis selama beberapa bulan. Saudara Horst menganggap pemberian ini sebagai jaminan bahawa Yehuwa akan terus menjaganya, dan sepanjang hidupnya, dia terus mengutamakan Kerajaan Tuhan.—Mal. 3:10.
16. Mengapakah kita patut mengkaji teladan Petrus dan surat-surat yang ditulisnya?
16 Petrus pernah berkata kepada Yesus, “Tinggalkanlah aku,” tetapi dia pasti sangat bersyukur kerana Yesus tidak berbuat demikian! Yesus telah melatih Petrus menjadi seorang rasul yang setia dan teladan yang baik untuk orang Kristian. Latihan yang diterima oleh Petrus telah dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita semua. Dalam dua pucuk suratnya kepada sidang-sidang abad pertama, Petrus menyebut sesetengah hal yang dipelajarinya daripada Yesus dan mengongsi beberapa nasihat lain. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan beberapa nasihat daripada surat-surat Petrus dan belajar bagaimana kita dapat menerapkannya hari ini.
LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah
a Rencana ini akan menggalakkan mereka yang bergelut dengan kelemahan sendiri dan meyakinkan mereka bahawa mereka dapat mengatasi kelemahan sendiri dan terus menyembah Yehuwa dengan setia.
b Banyak ayat Bible yang disebut dalam rencana ini diambil daripada buku Markus. Nampaknya, Petrus telah menceritakan pengalamannya kepada Markus, dan Markus telah mencatatkannya.
c Lihat video “Horst Henschel: Yehuwa adalah Menara yang Kukuh bagi Saya” di jw.org.
d KETERANGAN GAMBAR: Dalam lakonan semula ini, ibu bapa Horst Henschel berdoa bersama-samanya dan menguatkan tekadnya untuk berpegang teguh pada pendiriannya.