RENCANA PEMBELAJARAN 38
LAGU 25 Umat Milik Tuhan
Adakah Anda Mendengarkan Amaran Yesus?
“Seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi ditinggalkan.”—MAT. 24:40.
FOKUS
Kita akan membincangkan tiga perumpamaan yang diceritakan Yesus dan kaitannya dengan masa penghakiman yang akan berlaku pada akhir sistem dunia ini.
1. Apakah yang akan berlaku tidak lama lagi?
KITA sedang hidup pada masa yang genting! Tidak lama lagi, Yesus akan menghakimi setiap orang di bumi. Untuk membantu murid-muridnya tahu apa yang akan terjadi sejurus sebelum masa penghakiman itu, Yesus memberitahu mereka suatu “tanda” tentang kehadirannya dan “penghujung sistem ini.” (Mat. 24:3) Tanda itu dicatatkan di Matius bab 24 dan 25, Markus bab 13, dan Lukas bab 21.
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?
2 Untuk memberikan amaran kepada semua pengikutnya bahawa mereka mesti bersiap sedia, Yesus menceritakan perumpamaan tentang biri-biri dan kambing, anak dara yang bijaksana dan bodoh, dan hamba yang diberi wang talenta. Tiga perumpamaan ini membantu kita faham bahawa Yesus akan menghakimi orang berdasarkan perbuatan mereka. Kita akan mengkaji pengajaran bagi setiap perumpamaan dan cara kita dapat menerapkannya. Mula-mula, kita akan bincang perumpamaan tentang biri-biri dan kambing.
BIRI-BIRI DAN KAMBING
3. Bilakah Yesus akan menghakimi orang?
3 Dalam perumpamaan tentang biri-biri dan kambing, Yesus menjelaskan bahawa dia akan menghakimi orang berdasarkan reaksi mereka terhadap berita baik dan sama ada mereka menyokong saudara-saudaranya yang terurap atau tidak. (Mat. 25:31-46) Penghakiman itu akan berlaku semasa “kesengsaraan besar,” sejurus sebelum Armagedon. (Mat. ) Sepertimana gembala memisahkan biri-biri daripada kambing, Yesus akan memisahkan mereka yang menyokong saudara-saudaranya yang terurap daripada mereka yang tidak. 24:21
4. Menurut Yesaya 11:3, 4, mengapakah Yesus pasti menghakimi orang dengan adil? (Lihat juga gambar.)
4 Bible menubuatkan bahawa sebagai Hakim yang dilantik oleh Yehuwa, Yesus akan menghakimi orang dengan adil. (Baca Yesaya 11:3, 4.) Dia akan memperhatikan kelakuan, sikap, dan tutur kata orang, termasuk bagaimana mereka melayan saudara-saudaranya yang terurap. (Mat. 12:36, 37; 25:40) Jadi dia pasti tahu siapa yang telah menyokong saudara-saudara terurapnya dan kerja yang dilakukan mereka. a Salah satu cara utama biri-biri menyokong saudara Kristus adalah dengan menjalankan kerja penyebaran. Orang yang berbuat demikian akan dihakimi sebagai “orang yang melakukan apa yang benar” dan akan diberi harapan untuk “hidup selama-lamanya” di bumi. (Mat. 25:46; Why. 7:16, 17) Berkat yang sungguh menakjubkan! Jika mereka tetap setia semasa dan selepas kesengsaraan besar, nama mereka akan kekal dalam “kitab kehidupan.”—Why. 20:15.
5. Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan tentang biri-biri dan kambing? Siapakah yang harus memperhatikan amaran dalam perumpamaan ini?
5 Kita mesti tetap setia. Perumpamaan Yesus tentang biri-biri dan kambing ditujukan kepada mereka yang diberi harapan untuk hidup di bumi. Mereka menunjukkan iman, bukan hanya dengan menyertai kerja penyebaran, tetapi juga dengan mematuhi arahan daripada hamba yang setia dan bijaksana, iaitu sekumpulan saudara terurap yang dilantik oleh Yesus. (Mat. 24:45) Namun, mereka yang diberi harapan untuk hidup di syurga juga perlu memperhatikan amaran dalam perumpamaan ini. Mengapa? Memandangkan Yesus juga memperhatikan kelakuan, sikap, dan tutur kata mereka, mereka juga mesti tetap setia. Dua perumpamaan Yesus yang seterusnya dicatatkan di Matius bab 25 dan mengandungi amaran yang ditujukan kepada orang Kristian terurap. Sekarang, mari kita bincang cerita ibarat tentang anak dara yang bijaksana dan anak dara yang bodoh.
ANAK DARA YANG BIJAKSANA DAN ANAK DARA YANG BODOH
6. Mengapakah lima orang anak dara itu dikatakan bijaksana? (Matius 25:6-10)
6 Dalam cerita ibarat tentang anak dara, Yesus bercerita tentang 10 orang anak dara yang keluar untuk menyambut pengantin lelaki. (Mat. 25:1-4) Mereka semua berharap untuk mengikut pengantin lelaki ke majlis perkahwinannya. Yesus berkata bahawa ada lima orang anak dara yang “bijaksana” dan lima orang lagi yang “bodoh.” Lima orang anak dara itu dikatakan bijaksana kerana mereka sentiasa bersedia dan berjaga-jaga. Mereka bersedia untuk terus menunggu kedatangan pengantin lelaki, biarpun dia akan sampai pada lewat malam. Mereka bukan sahaja membawa pelita untuk digunakan semasa gelap, tetapi juga membawa minyak tambahan supaya pelita mereka terus bernyala. (Baca Matius 25:6-10.) Apabila pengantin lelaki datang, anak dara yang bijaksana mengikutnya ke majlis perkahwinan. Seperti anak dara yang sentiasa bersedia, orang Kristian terurap tetap berjaga-jaga dan setia sehingga kedatangan Kristus. Mereka akan dijemput untuk menyertai Pengantin Lelaki, iaitu Yesus, dalam Kerajaannya di syurga. b (Why. 7:1-3) Apakah yang terjadi kepada lima orang anak dara yang bodoh?
7. Apakah yang berlaku kepada lima orang anak dara yang bodoh itu, dan mengapa?
7 Tidak seperti anak dara yang bijaksana, lima orang anak dara yang bodoh itu tidak bersedia semasa pengantin lelaki sampai. Pelita mereka hampir padam, dan mereka tidak bawa minyak tambahan. Jadi, biarpun pengantin lelaki akan sampai tidak lama lagi, mereka terpaksa beredar untuk membeli minyak. Apabila pengantin lelaki sampai, “anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan.” Kemudian, “pintu ditutup.” (Mat. 25:10) Apabila lima orang anak dara yang bodoh itu kembali dan mahu masuk, pengantin lelaki memberitahu mereka, “Aku tidak mengenal kamu.” (Mat. 25:11, 12) Mereka kehilangan berkat yang besar kerana tidak bersedia untuk menunggu kedatangan pengantin lelaki. Apakah pengajarannya bagi orang Kristian terurap?
8-9. Apakah yang dapat orang Kristian terurap belajar daripada cerita ibarat tentang anak dara? (Lihat juga gambar.)
8 Kita mesti bersedia dan berjaga-jaga. Yesus menceritakan perumpamaan ini bukan untuk menunjukkan bahawa akan ada satu kumpulan orang Kristian terurap yang bersedia untuk menunggu sampai akhir dan satu kumpulan lagi yang tidak bersedia. Sebaliknya, dia ingin memberikan amaran kepada orang Kristian terurap bahawa jika mereka tidak bersedia untuk bertabah sampai akhir, mereka akan kehilangan berkat yang besar. (Yoh. 14:3, 4) Cerita ibarat tentang anak dara mengandungi pengajaran yang sangat serius bagi kita semua, tidak kira harapan kita adalah untuk tinggal di syurga atau di bumi. Kita masing-masing mesti terus berjaga-jaga dan bersedia untuk bertahan sehingga akhir.—Mat. 24:13.
9 Selepas menceritakan perumpamaan tentang anak dara untuk menekankan pentingnya tetap berjaga-jaga dan bersedia, Yesus menceritakan perumpamaan tentang talenta. Perumpamaan ini menekankan pentingnya bersikap rajin.
TALENTA
10. Mengapakah dua orang hamba itu dikatakan setia? (Matius 25:19-23)
10 Dalam cerita ibarat tentang talenta, Yesus bercakap tentang dua orang hamba yang setia dan seorang hamba yang tidak setia. (Mat. 25:14-18) Dua orang hamba itu dikatakan setia kerana mereka berusaha keras untuk menambahkan kekayaan tuan mereka. Sebelum tuan mereka berangkat ke luar negeri, dia memberi tiga orang hambanya sejumlah wang yang besar. Dua orang hamba yang pertama bersikap rajin dan menggunakan wang talenta mereka dengan bijak. Hasilnya, apabila tuan mereka kembali, mereka telah menggandakan wang yang diberikan tuan mereka. Mereka dipuji oleh tuan mereka dan dapat ‘bersukacita bersama tuan mereka.’ (Baca Matius 25:19-23.) Bagaimana pula dengan hamba yang ketiga? Apakah yang dilakukannya terhadap wang yang diamanahkan oleh tuannya?
11. Apakah yang berlaku kepada hamba yang “malas” itu, dan mengapa?
11 Hamba yang ketiga menerima satu talenta, tetapi dia “malas.” Tuannya mahunya menggunakan talenta itu dengan bijak, tetapi dia menyembunyikan talenta itu di dalam tanah. Maka apabila tuannya pulang, dia hanya dapat memulangkan satu talenta itu kepada tuannya. Hamba itu tidak mempunyai sikap yang baik. Dia tidak meminta maaf kerana tidak menambahkan wang tuannya, malah dia mengatakan bahawa tuannya “sangat susah dipuaskan.” Akibatnya, dia bukan sahaja dimarahi oleh tuannya, tetapi talentanya juga diambil daripadanya dan dia diusir daripada rumah tangga tuannya.—Mat. 25:24, 26-30.
12. Dua orang hamba yang setia itu melambangkan siapa?
12 Dua orang hamba yang setia itu melambangkan orang Kristian terurap yang setia. Tuan mereka, iaitu Yesus, menjemput mereka untuk ‘bersukacita bersamanya.’ Mereka menerima ganjaran mereka di syurga, iaitu pembangkitan yang pertama. (Mat. 25:21, 23; Why. 20:5a) Apa yang berlaku kepada hamba yang malas itu merupakan amaran kepada orang Kristian terurap. Apakah amarannya?
13-14. Apakah yang dapat orang Kristian terurap pelajari daripada perumpamaan tentang talenta? (Lihat juga gambar.)
13 Kita mesti bersikap rajin. Seperti halnya dengan perumpamaan tentang anak dara, Yesus menceritakan perumpamaan tentang talenta bukan untuk menunjukkan bahawa orang Kristian terurap akan menjadi malas. Sebaliknya, dia ingin memberi mereka amaran bahawa jika mereka tidak lagi berkhidmat dengan bersemangat, biarpun mereka ialah “orang yang sudah dipanggil dan dipilih oleh Tuhan,” mereka tidak akan dibenarkan untuk memasuki Kerajaan di syurga.—2 Ptr. 1:10.
14 Perumpamaan Yesus tentang anak dara dan talenta mengajar semua orang Kristian terurap bahawa mereka mesti sentiasa bersedia, tetap berjaga-jaga, dan bersikap rajin. Adakah Yesus mengatakan hal-hal lain sebagai amaran bagi orang Kristian terurap? Ya! Mari kita baca kata-katanya di Matius 24:40, 41.
SIAPAKAH YANG AKAN “DIBAWA PERGI”?
15-16. Bagaimanakah Matius 24:40, 41 membantu orang Kristian terurap melihat pentingnya untuk terus berjaga-jaga?
15 Sebelum Yesus menceritakan tiga perumpamaan itu, dia menggambarkan penghakiman terakhir orang Kristian terurap. Penghakiman ini akan menunjukkan siapa yang diperkenankan Tuhan dan siapa yang tidak. Dia bercakap tentang dua orang lelaki yang bekerja di ladang dan dua orang perempuan yang mengisar gandum. Dua orang lelaki itu melakukan kerja yang sama, begitu juga dengan dua orang perempuan itu. Namun Yesus mengatakan bahawa “seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi ditinggalkan.” (Baca Matius 24:40, 41.) Kemudian, dia menggalakkan para pengikutnya, “Teruslah berjaga-jaga, kerana kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang.” (Mat. 24:42) Yesus mengatakan hal yang serupa selepas menceritakan perumpamaan tentang anak dara. (Mat. 25:13) Nampaknya Yesus mahu menekankan hal yang sama: Hanya orang Kristian yang betul-betul diurapi kuasa suci Tuhan dan yang tetap setia akan “dibawa pergi” untuk memasuki Kerajaan di syurga.—Yoh. 14:3.
16 Kita mesti berjaga-jaga. Orang Kristian terurap yang tidak berjaga-jaga tidak akan dibawa pergi semasa Yesus datang untuk mengumpulkan “umatnya yang terpilih.” (Mat. 24:31) Semua hamba Tuhan yang memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi juga harus mendengarkan amaran Yesus dan tetap setia dan berjaga-jaga.
17. Mengapakah kita tidak perlu risau jika Yehuwa memilih untuk mengurapi sesetengah penyembah-Nya pada zaman kita?
17 Kita mengenali Yehuwa, maka kita yakin keputusan-Nya sentiasa benar dan adil. Oleh itu, kita tidak risau jika Yehuwa memilih untuk mengurapi sesetengah penyembah-Nya pada zaman kita. c Ingatlah perumpamaan Yesus tentang pekerja di ladang anggur. Terdapat pekerja yang mula bekerja pada jam lima petang, dan hanya perlu bekerja satu jam. Meskipun begitu, mereka diberi upah yang sama dengan pekerja yang bekerja sehari suntuk. (Mat. 20:1-16) Begitu juga, tidak kira bila seseorang diurapi, dia akan menerima ganjarannya di syurga jika dia tetap setia.
DENGARLAH AMARAN YESUS
18-19. Apakah pengajaran dan amaran yang telah kita belajar dalam rencana ini?
18 Bagi orang yang ada harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi, perumpamaan tentang biri-biri dan kambing menunjukkan pentingnya tetap setia kepada Yehuwa sekarang dan semasa kesengsaraan besar. Sejurus sebelum Armagedon, Yesus akan menghakimi orang yang setia dan menyatakan bahawa mereka layak untuk “hidup selama-lamanya.”—Mat. 25:46.
19 Kita juga telah membincangkan dua perumpamaan Yesus yang ditujukan kepada orang Kristian terurap. Dalam perumpamaan tentang anak dara yang bijaksana dan yang bodoh, lima orang anak dara yang bijaksana sentiasa bersedia dan berjaga-jaga. Mereka sudi menunggu biarpun pengantin lelaki nampaknya lambat datang. Lima orang anak dara yang bodoh pula tidak bersiap sedia, jadi mereka tidak dibenarkan menyertai majlis perkahwinan. Apakah pengajarannya? Kita juga mesti bersedia untuk menunggu Yesus membinasakan dunia jahat ini, biarpun Yesus nampaknya lambat datang. Dalam perumpamaan tentang talenta pula, kita sudah bincang tentang dua orang hamba yang rajin. Mereka bekerja keras untuk tuan mereka dan dipujinya. Namun, hamba yang malas itu pula telah diusir. Pengajarannya? Kita harus sibuk berkhidmat kepada Yehuwa sampai akhir datang. Akhir sekali, kita telah belajar bahawa orang Kristian terurap mesti tetap berjaga-jaga agar “dibawa pergi” ke syurga. Itulah ganjaran yang dinantikan mereka. Mereka akan “dikumpulkan bersama-sama” Yesus di syurga dan menjadi pengantin perempuannya selepas perang Armagedon.—2 Tes. 2:1; Why. 19:9.
20. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa bagi orang yang mendengarkan amaran Yesus?
20 Walaupun masa penghakiman sudah sangat dekat, kita tidak perlu takut. Jika kita tetap setia, Bapa kita yang pengasih akan memberi kita “kuasa luar biasa” agar kita “dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.” (2 Kor. 4:7; Luk. 21:36) Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, kita akan menggembirakan hati Yehuwa jika kita mendengarkan amaran yang terkandung dalam perumpamaan Yesus. Oleh sebab Yehuwa begitu baik hati, Dia akan membantu kita supaya nama kita ditulis dalam “kitab kehidupan.”—Why. 3:5; Dan. 12:1.
LAGU 26 Kamu Melakukannya untukku
a Lihat rencana “Apakah yang Kita Tahu tentang Penghakiman Yehuwa pada Masa Depan?” dalam Menara Pengawal terbitan Mei 2024.
b Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Adakah Anda akan ‘Terus Berjaga-jaga’?” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mac 2015.
d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari terurap mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang wanita muda yang ditemuinya semasa menginjil.