KISAH HIDUP
Kehidupan yang Puas dan Bermakna dalam Khidmat Yehuwa
PADA tahun 1951, saya baru tiba di Rouyn, sebuah pekan kecil di Quebec, Kanada. Saya mengikut alamat rumah yang diberikan dan mengetuk pintu rumah itu. Marcel Filteau, a seorang lulusan Gilead, membuka pintu. Dia berumur 23 tahun dan jauh lebih tinggi daripada saya. Saya pula baru 16 tahun. Saya memberinya surat tugasan perintis saya. Selepas membacanya, dia memandang saya dan berkata, “Adik, mak kamu tahu kamu di sini?”
KELUARGA SAYA
Ibu bapa saya berasal dari Switzerland dan kemudian berpindah ke Timmins, sebuah pekan perlombongan di Ontario, Kanada. Saya lahir pada tahun 1934. Sekitar tahun 1939, ibu saya mula membaca majalah Watchtower dan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia selalu membawa saya dan enam orang adik-beradik saya ke perjumpaan. Tidak lama kemudian, dia pun menjadi Saksi.
Ayah tidak gembira dengan keputusan Mak. Namun, Mak mencintai kebenaran dan bertekad untuk setia kepada Yehuwa. Dia bahkan terus menyembah Yehuwa semasa kerja Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan di Kanada pada awal tahun 1940-an. Mak selalu melayan Ayah dengan baik hati dan penuh hormat biarpun Ayah menghina atau mencemuhnya. Teladan Mak telah membantu saya dan adik-beradik saya menerima kebenaran. Kami sangat gembira semasa Ayah mula mengubah sikapnya terhadap kebenaran dan melayan kami dengan baik.
MENYERTAI KHIDMAT SEPENUH MASA
Pada Ogos 1950, saya menghadiri Perhimpunan Pertambahan Teokratik di Bandar Raya New York. Selepas berjumpa dengan saudara saudari dari seluas dunia dan mendengar temu ramah para lulusan Sekolah Gilead, saya bertekad untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Sebaik sahaja saya sampai di rumah, saya memohon untuk menjadi perintis biasa. Pejabat cawangan Kanada membalas surat saya dan menggalakkan saya untuk dibaptis terlebih dahulu. Saya pun dibaptis pada 1 Oktober 1950. Sebulan kemudian, saya menjadi perintis biasa dan ditugaskan ke Kapuskasing, sebuah pekan yang sangat jauh dari tempat tinggal saya.
Pada awal tahun 1951, pejabat cawangan menjemput saudara saudari yang tahu berbahasa
Perancis untuk berpindah ke wilayah Quebec. Penduduk di situ berbahasa Perancis dan ramai antara mereka belum mendengar berita baik. Saya menuturkan bahasa Perancis dan Inggeris sejak kecil. Jadi, saya menerima jemputan itu dan ditugaskan ke Rouyn. Saya hanya diberi satu alamat dan tidak kenal siapa-siapa di situ. Maka terjadilah pengalaman yang disebutkan di awal rencana. Saya dan Marcel menjadi kawan baik, dan selama empat tahun berikutnya, saya berkhidmat di Quebec dan dilantik sebagai perintis khas.GILEAD DAN HARAPAN YANG TERTUNDA
Semasa di Quebec, saya menerima jemputan untuk menghadiri Sekolah Latihan Gilead yang ke-26 di Lansing Selatan, New York. Hari penyampaian sijil saya diadakan pada 12 Februari 1956, dan saya ditugaskan ke Ghana, b Afrika Barat. Tapi sebelum itu, saya perlu kembali ke Kanada untuk mengurus dokumen perjalanan saya, dan saya fikir hal itu hanya akan mengambil masa beberapa minggu.
Tanpa disangka, saya memerlukan tujuh bulan untuk menyiapkan semua dokumen perjalanan saya di Toronto. Sepanjang masa itu, saya tinggal bersama keluarga Cripps. Saya mula berkenalan dengan Sheila, anak perempuan mereka, dan kami jatuh cinta. Semasa saya mahu melamarnya, visa saya sudah siap. Saya dan Sheila berdoa dengan bersungguh-sungguh dan memutuskan bahawa saya patut pergi untuk melakukan tugasan saya. Kami juga membuat keputusan bahawa kami akan terus berhubung melalui surat dan melihat sama ada kami dapat berkahwin pada masa depan. Itu bukan keputusan yang senang, namun kami tahu itulah keputusan yang terbaik.
Selepas membuat perjalanan selama sebulan dengan menggunakan kereta api, kapal kargo, dan kapal terbang, saya tiba di Accra, Ghana. Saya ditugaskan sebagai penyelia distrik. Kerja saya merangkumi kawasan seluruh Ghana, Ivory Coast (kini dipanggil Côte d’Ivoire) dan Togoland (kini dipanggil Togo). Kebanyakan masa, saya
membuat perjalanan seorang diri dengan menggunakan kereta jip milik pejabat cawangan. Saya sangat menikmati tugasan saya!Pada hujung minggu, saya ada tugasan di perhimpunan litar. Namun, kami tiada Dewan Perhimpunan. Jadi para saudara membina tempat untuk berteduh daripada matahari terik dengan menggunakan bambu sebagai tiang dan daun palma sebagai atap. Oleh sebab kami tiada peti sejuk untuk menyimpan daging, kami akan membawa binatang yang hidup dan menyembelihnya untuk memberi para hadirin makan jika perlu.
Kami ada beberapa pengalaman yang lucu semasa perhimpunan. Contohnya, pernah sekali, semasa ceramah Saudara Herb Jennings, c seekor lembu terlepas dan berlari dekat tempat antara pentas dengan para hadirin. Ceramah Saudara Herb terhenti dan lembu itu kelihatan sangat takut. Tetapi empat orang saudara yang kuat berjaya menangkapnya dan mengangkatnya keluar. Semua hadirin bersorak-sorak ketika melihatnya.
Pada hari-hari sebelum perhimpunan, saya akan tunjuk filem The New World Society in Action di kampung yang berdekatan. Untuk menayangkan filem, saya akan menggantungkan sehelai kain putih antara dua tiang atau dua pokok. Penduduk kampung sangat menikmati filem ini! Ramai antara mereka tidak pernah menonton filem. Apabila mereka melihat ada orang dibaptis, mereka bertepuk tangan dengan gembira. Filem ini membantu mereka sedar bahawa kita ada saudara saudari yang bersatu padu di seluas dunia.
Selepas berkhidmat di Afrika selama kira-kira dua tahun, saya teruja untuk menghadiri konvensyen antarabangsa di Bandar Raya New York pada tahun 1958. Saya sangat gembira dapat berjumpa semula dengan Sheila, yang berkhidmat sebagai perintis khas di Quebec. Selama ini, kami menulis surat kepada satu sama lain. Tetapi sekarang kami dapat berjumpa semula dan dia menerima lamaran saya. Kemudian, saya menulis surat untuk tanya Saudara Knorr d jika Sheila boleh menghadiri Gilead dan dihantar ke Afrika untuk berkhidmat bersama saya. Dia pun setuju. Sheila akhirnya tiba di Ghana, dan kami berkahwin di Accra pada 3 Oktober 1959. Kami rasa Yehuwa memang memberkati usaha kami untuk mengutamakan-Nya dalam hidup kami.
BERKHIDMAT BERSAMA DI CAMEROON
Pada tahun 1961 kami ditugaskan ke Cameroon. Sebuah pejabat cawangan yang baharu telah ditubuhkan, dan saya diminta untuk mengaturkan kerja-kerja di situ. Sebagai pembantu cawangan, saya sangat sibuk dan perlu belajar banyak hal. Pada tahun 1965, kami mendapat tahu bahawa Sheila mengandung. Pada mulanya kami tidak dapat bayangkan kami akan bergelar ibu bapa. Tetapi semasa kami mula menantikan tanggungjawab baharu ini dan bersedia untuk pulang ke Kanada, kami menerima tamparan yang besar.
Sheila mengalami keguguran. Doktor memberitahu kami bahawa bayi itu ialah lelaki. Hal itu berlaku lebih daripada 50 tahun lalu, tetapi kami tidak dapat melupakannya. Biarpun kami sangat sedih, kami terus berkhidmat di Cameroon.
Para saudara di Cameroon sering dianiaya kerana tetap neutral dalam soal politik. Penganiayaan ini bertambah teruk semasa pilihanraya. Pada 13 Mei 1970, Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan di negara itu. Pejabat cawangan kami baru digunakan selama kira-kira lima bulan, tetapi pihak kerajaan telah merampasnya. Dalam masa seminggu, semua mubaligh, termasuk saya dan Sheila, diusir dari Cameroon. Kami berat hati untuk meninggalkan saudara saudari kerana kami sangat mengambil berat terhadap mereka dan risau tentang apa yang akan berlaku kepada mereka.
Kami menghabiskan enam bulan berikutnya di pejabat cawangan Perancis. Di situ, saya terus berusaha sedaya upaya untuk menjaga keperluan saudara saudari di Cameroon. Pada bulan Disember tahun itu, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Nigeria, yang mula menjaga kerja penyebaran di Cameroon. Saudara saudari di Nigeria menyambut kami dengan tangan terbuka, dan kami menikmati khidmat di situ untuk beberapa tahun.
KEPUTUSAN YANG SUSAH
Pada tahun 1973, kami perlu berdepan dengan keputusan yang sangat susah. Buat suatu masa, Sheila mengalami masalah kesihatan yang serius. Semasa kami menghadiri konvensyen di New York, dia menangis dan berkata kepada saya, “Saya tidak dapat tahan lagi! Saya penat dan selalu jatuh sakit.” Sheila telah berkhidmat bersama saya di Afrika Barat untuk lebih daripada 14 tahun. Saya sangat bangga dengannya, tetapi nampaknya hidup kami perlu berubah. Selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh dan berbincang tentang situasi kami, kami memutuskan untuk pulang ke Kanada supaya Sheila dapat dirawat. Meninggalkan tugasan sebagai mubaligh dan khidmat sepenuh masa merupakan keputusan yang paling menyedihkan bagi kami.
Di Kanada, saya bekerja untuk seorang kawan lama yang menjual kereta di sebuah pekan di utara Toronto. Kami menyewa sebuah apartmen, membeli perabot terpakai, dan dapat memulakan hidup kami tanpa berhutang. Kami mahu terus hidup sederhana dan berharap suatu hari nanti kami dapat berkhidmat sepenuh masa semula. Kami tidak sangka harapan itu menjadi kenyataan dengan begitu cepat.
Setiap hari Sabtu, saya akan membantu di tapak pembinaan Dewan Perhimpunan di Norval, Ontario. Tidak lama kemudian, saya dijemput untuk menjadi penyelia Dewan Perhimpunan. Pada masa itu, kesihatan Sheila sudah bertambah baik, dan kami rasa dia mampu menjalankan tugasan ini. Maka kami berpindah ke apartmen Dewan Perhimpunan pada Jun 1974. Kami sangat gembira kerana dapat berkhidmat sepenuh masa lagi!
Mujurlah kesihatan Sheila terus bertambah baik. Dua tahun kemudian, kami dapat menerima tugasan dalam kerja litar di Manitoba, sebuah wilayah di Kanada. Cuaca di sana sangat sejuk, tetapi kasih saudara saudari cukup hangat. Kami belajar bahawa tempat kami berkhidmat tidak penting. Yang penting ialah kami terus berkhidmat kepada Yehuwa di mana sahaja kami ditugaskan.
PENGAJARAN YANG PENTING
Selepas melakukan kerja litar selama beberapa tahun, kami dijemput untuk berkhidmat di Bethel Kanada pada tahun 1978. Tidak lama kemudian, saya belajar sesuatu yang penting. Semasa perjumpaan istimewa di Montreal, saya dijemput untuk memberikan ceramah selama satu jam setengah dalam bahasa Perancis. Sedihnya, ceramah saya membuat hadirin bosan, jadi seorang saudara daripada Bahagian Kerja Penyebaran telah memberi saya nasihat. Saya sepatutnya sedar bahawa saya bukanlah penceramah yang mahir, tetapi masa itu saya rasa susah untuk menerima nasihatnya. Perbualan kami menjadi tegang, dan saya sakit hati kerana saya rasa dia hanya mengkritik saya dan tidak memuji saya. Saya menolak nasihat saudara itu kerana cara dia memberikan nasihat dan kerana saya berprasangka terhadapnya.
Beberapa hari kemudian, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan bercakap dengan saya tentang apa yang berlaku. Saya memberitahunya bahawa saya menyesal kerana tidak menerima nasihat dengan baik. Kemudian saya berjumpa dengan saudara yang menasihati saya itu untuk meminta maaf, dan dia pun memaafkan saya. Pengalaman ini mengajar saya bahawa saya mesti memupuk kerendahan hati. (Ams. 16:18) Saya telah berdoa kepada Yehuwa banyak kali tentang hal ini, dan saya bertekad untuk tidak lagi menolak nasihat yang diberikan.
Kini, saya sudah berkhidmat di Bethel Kanada untuk lebih daripada 40 tahun. Sejak tahun 1985, saya berpeluang menjadi ahli Jawatankuasa Cawangan. Pada Februari 2021, isteri kesayangan saya Sheila telah meninggal. Selain menghadapi kehilangan isteri saya, saya juga menghadapi masalah kesihatan. Namun, saya begitu sibuk berkhidmat kepada Yehuwa sehingga ‘tidak sedar bahawa kehidupan saya berlalu dengan begitu cepat.’ (Pkh. 5:20) Walaupun hidup saya ada cabaran, sukacita yang saya nikmati jauh lebih banyak. Mengutamakan ibadat Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya selama lebih daripada 70 tahun sememangnya merupakan berkat yang besar. Saya berdoa agar saudara saudari muda terus mengutamakan Yehuwa dalam hidup mereka, kerana saya yakin bahawa inilah satu-satunya cara untuk menikmati kehidupan yang puas dan bermakna.
a Lihat kisah hidup Marcel Filteau, “Yehuwa Tempat Berlindung dan Kekuatan Saya,” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 Februari 2000.
b Sebelum tahun 1957, Ghana merupakan kawasan jajahan Britain dan dipanggil Gold Coast (Pantai Emas).
c Lihat kisah hidup Herbert Jennings, “Kamu Tidak Tahu Bagaimana Hidupmu Besok,” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 Disember 2000.
d Pada masa itu, Nathan H. Knorr mengambil pimpinan dalam kalangan umat Tuhan.