Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati

‘Lakukanlah Apa yang Difirmankan oleh Tuhan’

‘Lakukanlah Apa yang Difirmankan oleh Tuhan’

“Hendaklah kamu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Janganlah mendengar sahaja.”​—YAK. 1:22.

FOKUS

Rencana ini akan menguatkan keinginan kita bukan hanya untuk membaca Firman Tuhan setiap hari, tetapi juga untuk merenungkan dan menerapkannya.

1-2. Mengapakah umat Tuhan gembira? (Yakobus 1:​22-25)

 YEHUWA dan Anak-Nya mahu kita gembira. Penulis Mazmur 119:2 menyatakan, “Berbahagialah orang yang mematuhi ajaran-Nya, dan yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.” Yesus juga berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”​—Luk. 11:28.

2 Umat Yehuwa ialah umat yang bahagia. Mengapa? Terdapat banyak sebab. Namun, salah satu sebab penting adalah kerana kita sering membaca Bible dan berusaha menerapkan apa yang kita pelajari.—Baca Yakobus 1:​22-25.

3. Apakah manfaat yang kita raih apabila kita menerapkan apa yang kita belajar dalam Firman Tuhan?

3 Kita meraih banyak manfaat apabila kita ‘melakukan apa yang difirmankan Tuhan.’ Contohnya, kita berasa gembira kerana kita tahu usaha kita menyenangkan hati Yehuwa. (Pkh. 12:13) Selain itu, keluarga kita menjadi lebih bahagia dan hubungan kita dengan rakan seiman menjadi lebih akrab. Anda mungkin sudah merasai manfaat sebegini. Tambahan lagi, dengan menerapkan apa yang kita belajar dalam Bible, kita mengelakkan banyak masalah yang menimpa orang yang tidak mengikut prinsip Yehuwa. Kita memang setuju dengan kata-kata Daud. Selepas menggubah sebuah lagu tentang hukum, peraturan, dan penghakiman Yehuwa, dia mengakhiri lagunya dengan berkata, “Orang yang menurut penghakiman-Nya akan diberkati dengan berlimpah-limpah.”​—Mzm. 19:​7-11.

4. Mengapakah tidak selalunya mudah untuk melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan?

4 Memang benar, tidak selalunya mudah untuk melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Kita semua sangat sibuk. Jadi kita perlu mencari masa untuk membaca dan mengkaji Bible agar dapat memahami apa yang dikehendaki Yehuwa daripada kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa cadangan yang akan membantu kita membaca Bible setiap hari. Kita juga akan membincangkan cara untuk merenungkan apa yang kita baca dan menerapkannya dalam hidup kita.

TETAPKAN MASA UNTUK MEMBACA FIRMAN TUHAN

5. Apakah tanggungjawab yang memakan banyak masa kita?

5 Kebanyakan daripada umat Yehuwa hari ini sangat sibuk. Kita mempunyai banyak tanggungjawab yang disebut dalam Bible. Contohnya, kebanyakan antara kita perlu bekerja untuk menyediakan keperluan diri sendiri dan keluarga kita. (1 Tim. 5:8) Ramai orang Kristian juga perlu menjaga ahli keluarga yang sakit atau lanjut usia. Selain itu, kita semua perlu menjaga kesihatan diri sendiri. Tambahan lagi, kita mempunyai tanggungjawab yang penting dalam sidang, seperti bergiat dalam kerja penyebaran. Memandangkan kita mempunyai begitu banyak tanggungjawab, bagaimanakah anda dapat mencari masa untuk membaca Bible secara tetap, merenungkannya, serta menerapkan apa yang anda belajar?

6. Bagaimanakah anda dapat mengutamakan pembacaan Bible? (Lihat juga gambar.)

6 Pembacaan Bible ialah salah satu “perkara yang lebih penting” bagi orang Kristian, maka kita harus mengutamakannya. (Flp. 1:10) Penulis mazmur menyatakan, “Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam!” (Mzm. 1:​1, 2) Jelaslah, kita harus meluangkan masa untuk membaca Bible. Bilakah masa yang paling sesuai untuk membaca Bible? Hal itu bergantung pada anda. Pilihlah masa di mana anda dapat membaca Bible secara tetap. Seorang saudara yang bernama Victor berkata, “Saya suka baca Bible pada waktu pagi. Saya memang tidak suka bangun awal. Tapi itulah masanya saya dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik kerana tidak ada banyak hal yang mengalihkan perhatian saya.” Bagaimana pula dengan anda? Tanyalah diri, “Bilakah masa yang paling sesuai bagi saya untuk membaca Bible?”

Bilakah masa yang terbaik untuk membaca Bible setiap hari? (Lihat perenggan 6)


RENUNGKAN APA YANG ANDA BACA

7-8. Apakah yang mungkin menghalang kita daripada meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible? Berikan contoh.

7 Biarpun kita sudah menjadualkan masa untuk membaca Bible setiap hari, ada satu hal lagi yang perlu kita ingat. Pernahkah anda lupa apa yang sudah anda baca, padahal anda baru sahaja membacanya? Hal ini mungkin berlaku semasa kita membaca Bible. Kita mungkin menetapkan matlamat untuk membaca beberapa bab dalam Bible setiap hari. Itu memang baik kerana kita harus menetapkan matlamat dan berusaha mencapainya. (1 Kor. 9:26) Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible, sekadar membaca Bible tidak mencukupi.

8 Fikirkan contoh ini: Tanaman memerlukan air hujan untuk bertumbuh. Tetapi jika hujan terlalu lebat, air yang berlebihan itu tidak dapat diserap oleh tanah dan tidak bermanfaat untuk tanaman. Namun, apabila air hujan membasahi tanah secara perlahan-lahan, air itu dapat diserap dan membawa manfaat kepada tanaman. Begitu juga, kita tidak mahu membaca Bible dengan tergesa-gesa sehingga tidak dapat “menyerap” mesejnya. Sebaliknya, kita ingin membacanya secara perlahan-lahan supaya kita dapat mengingat dan menerapkan apa yang kita baca.​—Yak. 1:24.

Sebagaimana tanah memerlukan masa untuk menyerap air hujan, kita memerlukan masa untuk merenungkan dan menerapkan apa yang kita baca dalam Firman Tuhan (Lihat perenggan 8)


9. Apakah yang patut kita lakukan jika kita mendapati bahawa kita membaca Bible dengan terlalu laju?

9 Apakah yang patut anda lakukan jika anda mendapati bahawa anda membaca Bible dengan terlalu laju? Berusahalah untuk membaca dengan lebih perlahan supaya anda dapat merenungkan apa yang anda baca. Hal ini tidaklah susah. Anda boleh meluangkan sedikit masa selepas sesi pembelajaran supaya dapat membuat perenungan. Atau, anda boleh mengekalkan tempoh masa pembelajaran anda, tetapi mengurangkan jumlah ayat Bible yang anda baca supaya anda dapat menggunakan masa yang selebihnya untuk membuat perenungan. Victor, yang disebut tadi, berkata, “Setiap kali, saya hanya baca satu bab. Oleh sebab saya baca Bible pada waktu pagi, saya dapat memikirkan apa yang saya baca sepanjang hari.” Tidak kira apa cara yang anda gunakan, pastikanlah bahawa anda membaca Bible secara perlahan supaya anda dapat merenungkan apa yang dibaca.​—Mzm. 119:97; lihat kotak “ Soalan untuk Direnungkan.”

10. Bagaimanakah anda dapat menerapkan apa yang anda baca? Berikan contoh. (1 Tesalonika 5:​17, 18)

10 Semasa membaca sesetengah ayat Bible, fikirkan bagaimana anda dapat menerapkannya. Tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat terapkan maklumat ini sekarang atau pada masa depan?” Contohnya, katakan anda sedang membaca 1 Tesalonika 5:​17, 18. (Baca.) Selepas membaca dua ayat itu, anda boleh berhenti sejenak dan fikirkan kekerapan dan mutu doa anda. Selain itu, anda boleh memikirkan hal-hal yang membuat anda berasa syukur. Kemudian, anda mungkin membuat keputusan untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa atas tiga hal yang spesifik. Dengan hanya meluangkan beberapa minit untuk memikirkan hal sebegini, anda akan dibantu untuk mendengar dan melakukan apa yang difirmankan Tuhan. Jika anda berbuat demikian setiap hari semasa membaca Bible, seraya masa berlalu, anda akan menjadi orang Kristian yang matang. Namun, bagaimana pula jika anda mendapati bahawa terdapat terlalu banyak hal yang perlu anda perbaiki?

TETAPKAN MATLAMAT YANG MAMPU DICAPAI

11. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana kita mungkin berasa bahawa kita ada terlalu banyak perubahan yang perlu dibuat.

11 Semasa membaca Bible dan memikirkan cara untuk menerapkan nasihatnya, anda mungkin mendapati bahawa ada terlalu banyak hal yang perlu anda perbaiki. Fikirkan situasi berikut: Hari ini, semasa membaca Bible, anda belajar bahawa orang Kristian tidak patut bersikap berat sebelah. (Yak. 2:​1-8) Anda sedar bahawa anda perlu memperbaiki cara anda melayan orang lain, jadi anda memutuskan untuk berubah. Pada hari esok, anda membaca ayat Bible yang menekankan pentingnya mengawal tutur kata anda. (Yak. 3:​1-12) Anda sedar bahawa ada kalanya kata-kata anda agak negatif, jadi anda memutuskan untuk mengucapkan kata-kata yang lebih positif dan membina. Pada hari berikutnya, anda membaca amaran dalam Bible bahawa kita tidak patut menjadi sahabat dunia. (Yak. 4:​4-12) Anda sedar bahawa anda harus lebih berhati-hati semasa memilih hiburan. Pada hari keempat, anda mungkin mendapati bahawa anda ada terlalu banyak hal yang perlu dibaiki dan tidak mampu melakukannya.

12. Mengapakah anda tidak patut tawar hati jika anda mendapati anda perlu membuat banyak perubahan? (Lihat juga nota kaki.)

12 Janganlah tawar hati jika anda mendapati ada banyak hal yang perlu anda perbaiki. Reaksi ini menunjukkan bahawa anda rendah hati, mempunyai niat yang betul, dan jujur dengan diri sendiri. a Ingatlah juga bahawa mengenakan “keperibadian baharu” ialah proses yang berterusan. (Kol. 3:10) Apakah yang dapat membantu anda untuk terus menerapkan nasihat Bible?

13. Bagaimanakah anda dapat menetapkan matlamat yang mampu anda capai? (Lihat juga gambar.)

13 Daripada cuba membuat semua perubahan sekali gus, pilihlah beberapa matlamat yang mampu anda capai. (Ams. 11:2) Cubalah cadangan ini: Senaraikan semua hal yang perlu anda perbaiki, dan pilihlah satu atau dua hal itu untuk diusahakan dahulu. Apakah matlamat yang dapat anda pilih?

Daripada cuba membuat semua perubahan sekali gus, tetapkanlah satu atau dua matlamat yang mampu anda capai (Lihat perenggan 13-14)


14. Apakah matlamat yang dapat anda pilih?

14 Anda mungkin membuat keputusan untuk bermula dengan matlamat yang paling senang dicapai. Atau anda mungkin memilih matlamat di mana anda perlu membuat paling banyak perubahan. Selepas menentukan matlamat yang ingin anda capai, buatlah penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan kita, contohnya PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower atau Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Berdoalah agar Yehuwa memberi anda “keinginan dan kekuatan untuk bertindak.” (Flp. 2:13) Kemudian cuba terapkan apa yang anda belajar. Apabila anda berjaya membuat perubahan tertentu ataupun memperbaiki salah satu sifat Kristian anda, anda mungkin lebih terdorong untuk mencuba matlamat yang lain dan mendapati bahawa perubahan lain pun lebih mudah dicapai.

BIARLAH FIRMAN TUHAN “BEKERJA DALAM DIRI KAMU”

15. Bagaimanakah umat Yehuwa berbeza daripada banyak orang yang membaca Bible? (1 Tesalonika 2:13)

15 Sesetengah orang kata mereka sudah membaca Bible banyak kali. Namun, adakah mereka benar-benar mempercayai Bible? Adakah mereka menerapkan nasihatnya atau mengubah hidup mereka agar selaras dengan ajaran Bible? Jawapannya sering kali ialah “tidak.” Namun umat Yehuwa sangat berbeza. Seperti orang Kristian pada abad pertama, kita menerima Bible “sebagai perkhabaran daripada Tuhan” dan berusaha menerapkannya dalam kehidupan kita.​—Baca 1 Tesalonika 2:13.

16. Apakah yang dapat membantu kita menerapkan Firman Tuhan?

16 Kita mungkin menghadapi banyak cabaran untuk membaca dan menerapkan Firman Tuhan. Contohnya, kita mungkin terlalu sibuk, membaca dengan terlalu cepat sehingga tiada masa untuk membuat perenungan, atau berasa tawar hati kerana perlu membuat terlalu banyak perubahan. Namun, ingatlah, tidak kira apa cabaran yang anda hadapi, dengan bantuan Yehuwa, anda dapat mengatasinya. Semoga kita bertekad untuk menerima bantuan-Nya dan menerapkan Firman Tuhan dalam kehidupan. Dengan demikian, hidup kita akan menjadi lebih bahagia.​—Yak. 1:25.

LAGU 94 Bersyukur atas Kurniaan Firman Tuhan