Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 39

LAGU 125 “Berbahagialah Orang yang Berbelas Kasihan!”

Nikmati Kebahagiaan yang Lebih Besar kerana Memberi

Nikmati Kebahagiaan yang Lebih Besar kerana Memberi

“Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—KIS. 20:35.

FOKUS

Cara-cara untuk mengekalkan dan bahkan meningkatkan sukacita yang kita raih semasa memberi.

1-2. Mengapakah Yehuwa menciptakan kita untuk berasa bahagia semasa memberi?

 SEMASA Yehuwa menciptakan manusia, Dia memberi kita kebolehan untuk berasa lebih bahagia semasa memberi daripada menerima. (Kis. 20:35) Adakah hal ini bermaksud kita langsung tidak berasa gembira semasa menerima sesuatu? Tidak. Kita memang berasa gembira semasa menerima hadiah. Tetapi kita berasa lebih gembira semasa memberikan hadiah. Sebenarnya, Yehuwa menciptakan kita dalam cara sebegini demi manfaat kita. Mengapa?

2 Oleh sebab Yehuwa menciptakan kita dalam cara sebegini, kita sendiri dapat mencari kebahagiaan tanpa perlu bergantung pada orang lain. Kita dapat berbuat demikian dengan mencari peluang untuk memberi. Cara Yehuwa menciptakan kita sangat menakjubkan, bukan?​—Mzm. 139:14.

3. Mengapakah Yehuwa digambarkan sebagai “Tuhan yang gembira”?

3 Bible mengajar kita bahawa orang yang memberi selalunya bahagia. Maka tidak hairanlah Yehuwa digambarkan dalam Bible sebagai “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Dialah Pemberi yang pertama dan yang paling murah hati. Rasul Paulus berkata, “Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.” (Kis. 17:28) Sememangnya, “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna” berasal daripada Yehuwa.​—Yak. 1:17.

4. Apakah yang dapat membantu kita meningkatkan sukacita sendiri?

4 Kita semua mahu meningkatkan sukacita sendiri. Kita dapat berbuat demikian dengan meniru kemurahan hati Yehuwa semasa memberi. (Ef. 5:1) Dalam rencana ini, kita akan belajar cara Yehuwa memberi dan apa yang dapat kita lakukan jika kita rasa orang lain tidak menghargai apa yang kita buat untuk mereka. Peringatan ini akan membantu kita mengekalkan dan bahkan meningkatkan sukacita kita semasa memberi.

TIRULAH KEMURAHAN HATI YEHUWA

5. Apakah sesetengah barang keperluan yang disediakan oleh Yehuwa untuk kita?

5 Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kemurahan hati? Perhatikan beberapa contoh. Yehuwa menyediakan barang keperluan kita. Yehuwa tidak selalunya beri kita barang yang mewah, namun Dia memastikan kita memiliki barang keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. (Mzm. 4:8; Mat. 6:​31-33; 1 Tim. 6:​6-8) Adakah Yehuwa berbuat demikian hanya kerana Dia wajib melakukannya? Tidak! Jadi mengapakah Yehuwa menjaga keperluan kita?

6. Apakah yang kita pelajari daripada Matius 6:​25, 26?

6 Yehuwa menjaga keperluan kita kerana Dia mengasihi kita. Perhatikan kata-kata Yesus di Matius 6:​25, 26. (Baca.) Dia berkata, “Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan.” Kemudian Yesus bertanya, “Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?” Apakah pengajarannya? Dalam mata Yehuwa, penyembah-Nya jauh lebih berharga daripada binatang yang diciptakan-Nya. Jika Yehuwa menjaga keperluan binatang, sudah pasti Dia akan menjaga keperluan kita! Yehuwa ialah Bapa kita yang penyayang, dan kita ialah ahli keluarga-Nya. Maka Dia pasti menjaga kita kerana Dia mengasihi kita.​—Mzm. 145:16; Mat. 6:32.

7. Apakah satu cara kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

7 Seperti Yehuwa, kita juga dapat memberi orang apa yang mereka perlukan kerana kasih. Contohnya, adakah anda mengenali seorang rakan seiman yang memerlukan makanan atau pakaian? Yehuwa dapat menggunakan anda untuk membantunya. Umat Yehuwa selalu menunjukkan kemurahan hati, terutamanya semasa bencana melanda. Misalnya semasa pandemik COVID-19, saudara saudari mengongsi makanan, pakaian, dan bekalan lain dengan orang yang memerlukannya. Ramai juga menyumbang kepada kerja sedunia dengan murah hati. Sumbangan mereka membantu organisasi untuk menghulurkan bantuan kepada rakan seiman di seluas dunia yang ditimpa bencana. Sememangnya mereka menerapkan nasihat di Ibrani 13:16 yang kata, “Janganlah lupa untuk berbuat baik dan untuk mengongsi apa yang kamu miliki dengan orang lain, kerana korban-korban sebegitu menyenangkan hati Tuhan.”

Kita semua dapat meniru kemurahan hati Yehuwa (Lihat perenggan 7)


8. Kuasa yang diberikan oleh Yehuwa membantu kita untuk melakukan apa? (Filipi 2:13)

8 Yehuwa memberi kita kuasa. Yehuwa mempunyai kuasa yang tidak terhad, dan Dia sudi mengongsikan kuasa-Nya dengan penyembah-Nya yang setia. (Baca Filipi 2:13.) Pernahkah anda berdoa meminta kekuatan untuk melawan godaan, bertabah menghadapi cubaan, atau untuk menjalankan tanggungjawab seharian? Apabila doa anda dijawab, anda pasti setuju dengan Rasul Paulus yang berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”​—Flp. 4:13.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa semasa menggunakan kuasa kita? (Lihat juga gambar.)

9 Walaupun kita tidak sempurna, kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa semasa menggunakan kuasa kita. Memang benar, kita tidak dapat memberikan kuasa atau kekuatan kita kepada orang lain, tetapi kita dapat membantu mereka. Contohnya, kita dapat membantu rakan seiman yang lanjut usia atau yang kurang upaya untuk membeli barang di kedai atau melakukan kerja di rumah mereka. Jika keadaan kita mengizinkan, kita dapat membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Apabila kita menggunakan kuasa kita dalam cara sebegini, kita membawa manfaat kepada penyembah Yehuwa yang lain.

Kita dapat menggunakan kekuatan kita untuk membantu orang lain (Lihat perenggan 9)


10. Bagaimanakah kita dapat menggunakan kata-kata kita untuk membantu orang lain?

10 Ingatlah, kata-kata kita juga ada kuasa. Adakah anda terfikir tentang rakan seiman yang memerlukan pujian yang ikhlas atau kelegaan? Anda dapat mengambil inisiatif untuk membantunya. Bagaimana? Anda dapat melawatnya, menelefonnya, dan menghantar kad, e-mel, atau mesej kepadanya. Kata-kata anda tidak perlu berbunga-bunga. Selalunya, apa yang rakan seiman anda perlukan untuk bertabah dan menjadi lebih positif ialah kata-kata yang ringkas dari hati.​—Ams. 12:25; Ef. 4:29.

11. Apakah reaksi Yehuwa semasa kita meminta kebijaksanaan daripada-Nya?

11 Yehuwa memberi kita kebijaksanaan. Yakobus menulis, “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan mencari kesalahannya. Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati terhadap semua orang.” (Yak. 1:5; nota kaki) Ya, Yehuwa tidak kedekut ilmu. Tambahan lagi, semasa Yehuwa memberi seseorang kebijaksanaan, Dia melakukannya dengan murah hati. Yehuwa “tidak akan memarahinya,” “mencari kesalahannya,” atau membuatnya berasa bersalah. Sebaliknya, Dia ingin kita meminta kebijaksanaan daripada-Nya.​—Ams. 2:​1-6.

12. Apakah peluang yang kita ada untuk mengongsi pengetahuan kita?

12 Dapatkah kita meniru kemurahan hati Yehuwa semasa mengongsi pengetahuan kita? (Mzm. 32:8) Sebagai umat Yehuwa, kita ada banyak peluang untuk berbuat demikian. Contohnya, kita sering melatih penyiar baharu semasa menginjil. Para penatua melatih pembantu sidang dan saudara-saudara yang terbaptis untuk menjalankan tugas dalam sidang. Rakan seiman yang berpengalaman dalam kerja pembinaan dan penyelenggaraan pula melatih orang baharu untuk membina dan menjaga bangunan-bangunan teokratik.

13. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa semasa melatih orang lain?

13 Seperti Yehuwa, kita mahu bersikap murah hati semasa mengongsi pengetahuan dan pengalaman kita dengan orang lain. Kita tidak akan kedekut ilmu kerana takut orang yang kita latih mungkin menggantikan kita pada kemudian hari. Kita juga tidak akan berfikir, “Biarlah dia belajar sendiri! Dulu tiada orang latih saya. Saya pun belajar sendiri.” Umat Yehuwa tidak patut mempunyai sikap sedemikian. Sebaliknya, kita bukan sahaja mahu mengongsi ilmu kita, tetapi bahkan sudi ‘menyerahkan jiwa kita’ demi orang yang kita latih. (1 Tes. 2:8) Kita berharap “agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain” pada kemudian hari. (2 Tim. 2:​1, 2) Jika kita semua mengongsi pengetahuan kita dengan murah hati, kita sendiri dan orang lain akan menjadi lebih bijak dan bahagia.

JIKA USAHA KITA NAMPAKNYA TIDAK DIHARGAI

14. Apakah reaksi kebanyakan orang semasa kita bersikap murah hati?

14 Jika kita bersikap murah hati, orang lain, terutamanya saudara saudari kita, sering kali menunjukkan penghargaan. Mereka mungkin menulis kad untuk mengucapkan terima kasih atau mengungkapkan penghargaan melalui cara lain. (Kol. 3:15) Semasa orang lain menunjukkan penghargaan, kita memang berasa bahagia.

15. Apakah yang harus kita ingat jika orang tidak menunjukkan penghargaan?

15 Biarpun kita mengorbankan masa, tenaga, dan harta untuk membantu sesetengah orang, mereka mungkin tidak mengucapkan terima kasih dan nampaknya tidak menghargai usaha kita. Jika hal itu berlaku, bagaimanakah kita dapat memastikan agar kita tidak menjadi marah atau kehilangan sukacita? Ingatlah ayat tema kita di Kisah 20:35. Sukacita kita semasa memberi tidak bergantung pada reaksi orang lain. Kita boleh memilih untuk memberi dengan sukacita biarpun orang tidak menghargai usaha kita. Apakah yang dapat membantu kita?

16. Semasa memberi, kita harus berfokus kepada apa?

16 Berfokus kepada meniru teladan Yehuwa. Yehuwa memberi orang apa yang baik tidak kira mereka menghargainya atau tidak. (Mat. 5:​43-48) Yehuwa berjanji bahawa jika kita memberi “tanpa mengharapkan sebarang balasan,” termasuk ucapan terima kasih, kita akan “mendapat ganjaran yang besar.” (Luk. 6:35) Ingatlah, Yehuwa akan sentiasa membalas kebaikan kita jika kita “memberi dengan senang hati.”​—2 Kor. 9:7; Ams. 19:17.

17. Apakah yang dapat membantu kita tetap berfokus kepada teladan Yehuwa? (Lukas 14:​12-14)

17 Untuk membantu kita tetap berfokus kepada teladan Yehuwa, kita juga dapat menerapkan prinsip di Lukas 14:​12-14. (Baca.) Memang tidak salah untuk bermurah hati kepada orang yang dapat membalas kebaikan kita. Namun, jika kita mendapati bahawa kita selalu bermurah hati kerana mengharapkan balasan, cubalah cadangan Yesus. Tunjukkanlah kemurahan hati kepada seseorang yang kita tahu tidak mampu membalas budi kita. Dengan itu, kita akan bersukacita kerana kita sedang meniru Yehuwa. Pandangan ini dapat membantu kita semasa orang lain nampaknya tidak menghargai usaha kita.

18. Apakah yang tidak patut kita lakukan, dan mengapa?

18 Jangan bersangka buruk. (1 Kor. 13:7) Jika orang lain tidak mengucapkan terima kasih, kita boleh menanya diri, “Adakah mereka benar-benar tidak menghargainya, atau adakah mereka hanya lupa mengucapkannya?” Barangkali, ada sebab lain mereka tidak menunjukkan penghargaan dalam cara yang kita harapkan. Sesetengah orang mungkin sangat bersyukur, tetapi berasa susah untuk meluahkannya. Ada juga yang malu kerana memerlukan bantuan orang lain, terutamanya jika merekalah yang sering membantu orang pada masa lalu. Tidak kira apa sebabnya, kasih akan mendorong kita untuk bersangka baik terhadap rakan seiman kita dan terus memberi dengan sukacita.​—Ef. 4:2.

19-20. Mengapakah kesabaran penting semasa memberi? (Lihat juga gambar.)

19 Bersabarlah. Mengenai sikap murah hati, Raja Salomo menulis, “Lemparkanlah rotimu ke dalam air kerana kamu akan menemuinya semula pada kemudian hari.” (Pkh. 11:1) Kata-kata itu menunjukkan bahawa sesetengah orang mungkin menunjukkan penghargaan mereka “pada kemudian hari,” atau lama selepas kita bermurah hati kepada mereka. Mari kita lihat pengalaman berikut.

20 Bertahun-tahun lalu, isteri seorang penyelia litar telah menulis sepucuk surat untuk menggalakkan seorang saudari yang baru dibaptis. Lapan tahun kemudian, saudari itu membalas surat isteri penyelia litar tersebut. Dia menulis, “Kamu mungkin tidak menyedarinya, tetapi surat yang kamu tulis telah membantu saya selama ini.” Dia menyambung, “Kata-kata kamu sangat menggalakkan, tetapi yang paling menyentuh hati saya ialah ayat Bible yang kamu kongsi. Saya tidak pernah melupakannya.” a Selepas menjelaskan beberapa cabaran yang dia hadapi, saudari itu berkata, “Kadangkala saya begitu tawar hati sehingga mahu meninggalkan Yehuwa dan kebenaran. Tapi saya selalu ingat ayat yang kamu tulis dan hal itu bantu saya untuk tidak putus asa.” Dia juga menulis, “Sepanjang lapan tahun itu, surat kamulah yang paling menggalakkan saya.” Bayangkan betapa gembiranya isteri penyelia litar itu semasa menerima surat itu! Begitu juga, orang lain mungkin mengucapkan terima kasih kepada kita lama selepas kita membantu mereka.

Orang lain mungkin mengucapkan terima kasih kepada kita lama selepas kita membantu mereka (Lihat perenggan 20) b


21. Mengapakah anda bertekad untuk terus meniru kemurahan hati Bapa kita yang di syurga?

21 Seperti yang disebutkan di awal rencana, Yehuwa menciptakan kita dengan kebolehan yang istimewa. Walaupun kita berasa gembira semasa menerima hadiah, kita berasa lebih gembira semasa memberi. Kita berasa puas semasa dapat membantu rakan seiman. Jika mereka mengungkapkan penghargaan, kita memang gembira. Tetapi jika mereka tidak mengucapkan terima kasih pun, kita masih gembira kerana kita telah menyenangkan hati Yehuwa. Tidak kira berapa banyak yang sudah kita beri, jangan sekali-kali lupa bahawa “Yehuwa dapat memberikan lebih daripada itu” kepada kita. (2 Taw. 25:9) Tambahan lagi, ganjaran yang diberikan oleh Yehuwa sentiasa membawa kebahagiaan yang terbesar! Maka, marilah kita bertekad untuk terus meniru kemurahan hati Bapa kita yang di syurga.

LAGU 17 “Aku Rela”

a Ayat Bible yang dikongsi dengan saudari itu ialah 2 Yohanes 8, yang menyatakan, “Berhati-hatilah agar kamu tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan. Dengan demikian kamu akan memperoleh ganjaran yang sepenuhnya.”

b KETERANGAN GAMBAR: Dalam lakonan semula ini, isteri seorang penyelia litar menulis sepucuk surat untuk menggalakkan seorang saudari. Bertahun-tahun kemudian, dia menerima surat penghargaan.