Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 37

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

Sepucuk Surat yang Dapat Membantu Kita Bertabah sampai Akhir

Sepucuk Surat yang Dapat Membantu Kita Bertabah sampai Akhir

“Kita berpegang teguh pada keyakinan yang kita miliki pada mulanya, dan berbuat demikian sampai akhir.”​—IBR. 3:14.

FOKUS

Mengkaji nasihat yang praktikal daripada surat Paulus kepada orang Kristian berbangsa Ibrani yang dapat membantu kita tetap tabah dan setia sampai akhir sistem dunia ini.

1-2. (a) Apakah situasi di Yudea semasa Rasul Paulus menulis suratnya kepada orang Kristian Ibrani? (b) Mengapakah surat itu ditulis tepat pada waktunya?

 ORANG Kristian Ibrani yang tinggal di Yerusalem dan Yudea menghadapi banyak kesusahan selepas kematian Yesus. Contohnya, tidak lama selepas sidang Kristian ditubuhkan, mereka menghadapi penganiayaan yang teruk. (Kis. 8:1) Dua puluh tahun kemudian, mereka menghadapi masalah kewangan, yang mungkin disebabkan oleh kebuluran yang berlaku sebelum itu. (Kis. 11:​27-30) Namun, sekitar tahun 61 M, keadaan di situ menjadi agak damai. Pada masa itu, mereka menerima sepucuk surat daripada Paulus, yang kemudiannya menjadi buku Ibrani dalam Bible.

2 Surat itu ditulis tepat pada waktunya kerana kedamaian yang dinikmati oleh mereka tidak akan berkekalan. Nasihat yang praktikal dalam surat itu dapat membantu mereka tabah menghadapi pembinasaan Yerusalem yang bakal berlaku. (Luk. 21:20) Memang, Paulus dan orang Kristian di Yudea tidak tahu secara tepat bila hal itu akan berlaku. Namun, mereka dapat menggunakan masa yang tertinggal untuk membina sifat-sifat seperti iman dan ketabahan.​—Ibr. 10:25; 12:​1, 2.

3. Mengapakah orang Kristian zaman ini patut mengkaji buku Ibrani?

3 Tidak lama lagi, kita akan menghadapi kesengsaraan yang jauh lebih besar daripada apa yang menimpa orang Kristian Ibrani. (Mat. 24:21; Why. 16:​14, 16) Nasihat yang disediakan oleh Yehuwa untuk mereka juga dapat membantu kita. Oleh itu, kita patut mengkajinya.

“BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MENJADI MATANG”

4. Apakah cabaran yang dihadapi oleh orang Yahudi yang menjadi orang Kristian? (Lihat juga gambar.)

4 Orang Yahudi yang menjadi orang Kristian menghadapi cabaran besar. Selama bertahun-tahun, orang Yahudi merupakan umat pilihan Yehuwa. Raja yang memerintah di Yerusalem mewakili Yehuwa, dan Rumah Tuhan ialah pusat ibadat sejati. Semua orang Yahudi yang setia mengikut Hukum Musa yang diajarkan pemimpin agama mereka. Hukum Musa mengandungi peraturan tentang makanan, bersunat, dan cara untuk melayan orang daripada bangsa lain. Namun selepas Yesus meninggal, Hukum Musa dimansuhkan dan Yehuwa tidak lagi menerima korban yang dipersembahkan di Rumah-Nya. Maka orang Yahudi yang menjadi orang Kristian perlu mengubah cara mereka beribadat. (Ibr. 10:​1, 4, 10) Hal ini tidak mudah, bahkan untuk orang Kristian yang matang seperti Rasul Petrus. (Kis. 10:​9-14; Gal. 2:​11-14) Disebabkan kepercayaan baharu mereka, mereka dianiaya oleh pemimpin agama Yahudi.

Orang Kristian perlu berpegang teguh pada kebenaran dan menolak pandangan pemimpin agama Yahudi yang menentang mereka (Lihat perenggan 4-5)


5. Apakah tekanan yang dihadapi oleh orang Kristian Ibrani?

5 Orang Kristian Ibrani menghadapi tekanan dari dua arah. Dari luar sidang, terdapat pemimpin agama Yahudi yang melayan mereka seperti pembelot agama. Dari dalam sidang pula, ada orang yang mengajar bahawa orang Kristian mesti terus mematuhi Hukum Musa, barangkali supaya dapat mengelakkan penganiayaan. (Gal. 6:12) Apakah yang dapat membantu orang Kristian agar tetap berpegang pada kebenaran?

6. Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk melakukan apa? (Ibrani 5:14–6:1)

6 Dalam suratnya, Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk mengkaji dan merenungkan Firman Tuhan. (Baca Ibrani 5:14–6:1.) Paulus memetik Kitab Ibrani dan menjelaskan mengapa cara ibadat orang Kristian jauh lebih unggul daripada cara ibadat orang Yahudi. a Paulus menggalakkan orang Kristian untuk mengenali dan memahami Ayat-Ayat Suci dengan lebih baik supaya mereka dapat mengenal pasti ajaran yang salah serta menolaknya.

7. Apakah cabaran yang kita hadapi hari ini?

7 Hari ini, banyak orang menyebarkan maklumat dan idea yang bertentangan dengan standard Yehuwa. Ada orang kata bahawa Saksi-Saksi Yehuwa berfikiran kolot kerana mematuhi perintah Bible tentang seks. Sebenarnya, sikap dan pandangan dunia makin lama makin jauh daripada pandangan Tuhan yang sempurna. (Ams. 17:15) Maka, kita mesti menguatkan kebolehan kita untuk mengenal pasti dan menolak pandangan para penentang yang boleh membuat kita tawar hati atau bahkan membuat kita meninggalkan Yehuwa.​—Ibr. 13:9.

8. Apakah yang akan membantu kita menjadi orang Kristian yang matang?

8 Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk menjadi orang Kristian yang matang, dan kita juga mahu menerapkan nasihatnya. Maka kita perlu terus mengkaji Bible dengan teliti dan memahami pemikiran Yehuwa dengan lebih baik, bahkan selepas kita sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Tidak kira berapa lama kita sudah berada dalam kebenaran, kita semua mesti kerap membaca dan mengkaji Bible. (Mzm. 1:2) Dengan demikian, kita dapat menguatkan iman kita, iaitu sifat penting yang disebut oleh Paulus dalam suratnya kepada orang Kristian Ibrani.​—Ibr. 11:​1, 6.

“KITA IALAH ORANG YANG BERIMAN, KERANA NYAWA ORANG SEDEMIKIAN AKAN TERPELIHARA”

9. Mengapakah orang Kristian Ibrani memerlukan iman yang kuat?

9 Orang Kristian Ibrani memerlukan iman yang kuat untuk terselamat semasa Yudea diserang musuh. (Ibr. 10:​37-39) Yesus memberitahu pengikutnya bahawa semasa mereka melihat Yerusalem dikelilingi askar musuh, mereka harus melarikan diri ke kawasan pergunungan. Baik orang Kristian yang tinggal di dalam mahupun yang di luar kota mesti mengikut nasihat Yesus ini agar terselamat. (Luk. 21:​20-24) Namun, orang Kristian Ibrani memerlukan iman yang kuat untuk mengikut nasihat Yesus kerana nasihatnya tidak masuk akal bagi mereka. Mengapa? Pada masa itu, orang yang diancam oleh tentera musuh selalunya melarikan diri ke dalam kota yang bertembok, seperti Yerusalem, dan bukannya ke luar kota.

10. Iman yang kuat mendorong orang Kristian Ibrani melakukan apa? (Ibrani 13:17)

10 Orang Kristian Ibrani juga perlu mempercayai orang yang digunakan oleh Yesus untuk memberikan arahan dalam sidang. Mereka yang mengambil pimpinan mungkin memberikan arahan spesifik tentang masa dan cara untuk melarikan diri. (Baca Ibrani 13:17.) Dalam bahasa Yunani asal, perkataan “patuhilah” di Ibrani 13:17 menunjukkan bahawa seseorang mengikut arahan para penatua bukan kerana terpaksa atau disebabkan kedudukan mereka, tetapi kerana dia mempercayai mereka. Maka orang Kristian Ibrani perlu belajar untuk mempercayai mereka yang mengambil pimpinan sebelum masa kesengsaraan tiba. Jika mereka sudah biasa mematuhi arahan para penatua pada masa yang senang, mereka akan berasa lebih mudah untuk berbuat demikian pada masa yang susah.

11. Mengapakah iman yang kuat penting bagi orang Kristian hari ini?

11 Hari ini, kita juga memerlukan iman yang kuat. Kebanyakan orang mencemuh kita kerana kita mempercayai ajaran Bible bahawa akhir sudah dekat. (2 Ptr. 3:​3, 4) Selain itu, walaupun Bible memberitahu kita sesetengah maklumat tentang bagaimana kesengsaraan besar akan berlaku, masih ada banyak butiran yang kita tidak tahu. Maka kita memerlukan iman yang kuat untuk percaya bahawa Yehuwa sudah menentukan bila akhir akan datang dan bahawa Dia akan menjaga kita.​—Hab. 2:3.

12. Apakah yang perlu kita lakukan sekarang agar diselamatkan semasa kesengsaraan besar?

12 Kita juga perlu menguatkan iman kita bahawa Yehuwa sedang menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk membimbing kita hari ini. (Mat. 24:45) Sebagaimana orang Kristian Ibrani menerima arahan yang jelas untuk menyelamatkan diri semasa serangan tentera Roma, kita mungkin diberi arahan yang spesifik semasa kesengsaraan besar agar kita terselamat. Maka sekaranglah masanya untuk menguatkan kepercayaan kita terhadap mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa. Jika sekarang pun kita berasa susah untuk mematuhi mereka, kita akan berasa lebih susah lagi untuk berbuat demikian semasa kesengsaraan besar.

13. Mengapakah nasihat di Ibrani 13:5 penting?

13 Sementara menunggu arahan untuk melarikan diri, orang Kristian Ibrani juga perlu terus hidup sederhana dan “bebas daripada cinta akan wang.” (Baca Ibrani 13:5.) Sesetengah antara mereka pernah hidup miskin, mengalami kebuluran, dan menderita demi berita baik. (Ibr. 10:​32-34) Namun sekarang, mereka mungkin mula berfikir mereka mesti mengumpulkan kekayaan supaya dapat mengelakkan kesusahan. Tetapi biarpun harta mereka bertimbun-timbun, itu tidak dapat melindungi mereka daripada pembinasaan yang bakal tiba. (Yak. 5:3) Sebenarnya, mereka yang mencintai kekayaan akan berasa lebih susah untuk melarikan diri kerana terlalu menyayangi rumah dan harta mereka.

14. Bagaimanakah iman yang kuat akan mempengaruhi keputusan kita?

14 Jika kita memiliki iman yang kuat bahawa akhir dunia ini sudah sangat dekat, kita akan menolak sikap mencintai kebendaan. Semasa kesengsaraan besar, orang akan “mencampakkan perak mereka di jalan” kerana sedar bahawa “baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan Yehuwa.” (Yeh. 7:19) Jadi daripada sibuk mengejar wang, kita akan membuat keputusan yang membolehkan kita menjaga keperluan hidup tanpa mengabaikan ibadat kita kepada Yehuwa. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengelak daripada menanggung hutang yang tidak perlu atau menghabiskan terlalu banyak masa untuk menjaga harta milik kita. Kita juga mesti berhati-hati agar harta kita tidak menjadi hal yang terpenting dalam hidup. (Mat. 6:​19, 24) Apabila akhir semakin dekat, kita mungkin menghadapi situasi di mana kita harus menunjukkan sama ada kita bergantung pada Yehuwa atau pada kekayaan.

“KAMU MEMERLUKAN KETABAHAN”

15. Mengapakah orang Kristian Ibrani memerlukan ketabahan?

15 Orang Kristian Ibrani memerlukan ketabahan kerana keadaan di Yudea akan menjadi semakin teruk. (Ibr. 10:36) Biarpun sesetengah orang Kristian Ibrani pernah menghadapi penganiayaan yang teruk, ramai dalam kalangan mereka menerima kebenaran semasa tentangan tidak begitu kuat. Paulus memberitahu mereka bahawa biarpun mereka pernah mengalami penganiayaan, mereka belum menderita seperti Yesus, iaitu sehingga perlu mengorbankan nyawa. (Ibr. 12:4) Namun, apabila agama Kristian mula tersebar luas, para penentang Yahudi menjadi semakin ganas dan keji. Contohnya, beberapa tahun sebelum Paulus menulis buku Ibrani, dia diserang oleh kumpulan perusuh di Yerusalem. Ketika itu, lebih daripada 40 orang Yahudi “bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.” (Kis. 22:22; 23:​12-14) Biarpun orang Kristian Ibrani dibenci dan ditentang, mereka masih perlu menghadiri perjumpaan, menginjil, dan memastikan iman mereka kuat.

16. Bagaimanakah surat Paulus kepada orang Kristian Ibrani membantu mereka menghadapi penganiayaan dengan tabah? (Ibrani 12:7)

16 Apakah yang dapat membantu orang Kristian Ibrani untuk menghadapi penganiayaan dengan tabah? Paulus mahu mereka sedar bahawa cubaan dapat membawa hasil yang baik. Maka dia menjelaskan bahawa apabila orang Kristian menghadapi cubaan, Tuhan dapat menggunakan cubaan itu untuk melatih mereka. (Baca Ibrani 12:7.) Latihan sebegini dapat membantu mereka memupuk atau memantapkan sifat-sifat Kristian. Jika orang Kristian Ibrani berfokus kepada hasil baik ini, mereka akan berasa lebih senang untuk bertabah.​—Ibr. 12:11.

17. Paulus mengingatkan orang Kristian Ibrani untuk melakukan apa semasa menghadapi penganiayaan?

17 Paulus menggalakkan orang Kristian Ibrani untuk bertabah dan tidak berputus asa semasa menghadapi cubaan. Mengapakah Paulus ialah orang yang sesuai untuk memberikan nasihat itu? Sebelum dia menjadi pengikut Kristus, dia pernah menganiaya orang Kristian dan tahu betapa teruknya mereka dilayan. Namun selepas dia menjadi orang Kristian, dia sendiri mengalami pelbagai jenis penganiayaan. (2 Kor. 11:​23-25) Maka Paulus tahu apa yang diperlukan oleh orang Kristian supaya dapat bertabah. Paulus mengingatkan mereka bahawa semasa menghadapi penganiayaan, mereka perlu bergantung pada Yehuwa dan bukannya pada diri sendiri. Paulus berkata dengan yakin, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”​—Ibr. 13:6.

18. Apakah yang akan berlaku kepada “semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan”? Bagaimanakah kita dapat membuat persiapan untuk menghadapinya?

18 Sesetengah saudara saudari kita sedang menghadapi penganiayaan sekarang. Satu cara kita dapat menunjukkan kasih kita adalah dengan berdoa bagi mereka. Kadangkala, kita juga mungkin dapat memberikan bantuan secara praktikal. (Ibr. 10:33) Namun Bible menyatakan dengan jelas bahawa “semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.” (2 Tim. 3:12) Maka kita semua harus membuat persiapan untuk menghadapi penganiayaan. Kita mahu percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya dan yakin bahawa Dia akan membantu kita menghadapi apa-apa penganiayaan dengan tabah. Pada masa yang ditentukan oleh-Nya, Dia akan membawa kelegaan kepada semua penyembah-Nya yang setia.​—2 Tes. 1:​7, 8.

19. Apakah nasihat praktikal yang dapat membantu kita menghadapi kesengsaraan besar? (Lihat juga gambar.)

19 Sememangnya, surat Paulus kepada orang Kristian Ibrani telah membantu mereka menghadapi kesengsaraan yang bakal menimpa mereka. Paulus menggesa saudara saudarinya untuk mengenali dan memahami Ayat-Ayat Suci dengan lebih baik. Dengan itu, mereka dapat mengenal pasti dan menolak ajaran yang dapat melemahkan iman mereka. Dia juga menggalakkan mereka untuk menguatkan iman mereka agar dapat mengikut arahan Yesus dan saudara yang mengambil pimpinan dengan segera. Selain itu, Paulus menggalakkan mereka untuk memandang cubaan sebagai peluang untuk dilatih oleh Yehuwa. Hasilnya, mereka dapat lebih bertabah semasa menghadapi cubaan. Semoga kita juga menerapkan nasihat praktikal yang diberikan oleh Paulus. Dengan itu, kita pasti berjaya bertabah sampai akhir.​—Ibr. 3:14.

Orang Kristian yang setia diberkati kerana mereka bertabah. Mereka terselamat semasa Yerusalem dibinasakan dan dapat terus menyembah Yehuwa bersama-sama. Apakah yang dapat kita belajar daripada hal ini? (Lihat perenggan 19)

LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah

a Dalam bab pertama buku Ibrani sahaja, Paulus telah memetik Kitab Ibrani sebanyak tujuh kali untuk membuktikan bahawa cara ibadat orang Kristian lebih unggul daripada cara ibadat orang Yahudi.—Ibr. 1:​5-13.