Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Semasa Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan, di manakah 70 orang muridnya yang lain? Adakah mereka telah meninggalkannya?

Biarpun 70 orang murid itu tidak hadir semasa Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan, hal itu tidak bermaksud mereka telah meninggalkan Yesus atau bahawa Yesus tidak menerima mereka. Yesus hanya ingin menyambut Perjamuan Malam Tuan dengan para rasulnya.

Tujuh puluh orang murid itu dan para rasul semuanya ialah pengikut Yesus. Yesus memilih 12 orang lelaki daripada kalangan pengikutnya dan memanggil mereka para rasul. (Luk. 6:​12-16) Kemudian, semasa di Galilea, dia “mengutus mereka untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan orang.” (Luk. 9:​1-6) Selepas itu, semasa di Yudea, Yesus “memilih 70 orang murid yang lain lalu mengutus mereka secara berpasangan.” (Luk. 9:51; 10:1) Maka Yesus mempunyai murid-murid di mana sahaja dia menginjil.

Orang Yahudi yang menjadi murid Yesus akan menyambut Perayaan Paska setiap tahun. Kemungkinan besar, mereka menyambutnya bersama keluarga masing-masing. (Kel. 12:​6-11, 17-20) Tidak lama sebelum Yesus dibunuh, dia dan rasul-rasulnya pergi ke Yerusalem. Tetapi dia tidak memanggil semua muridnya dari Yudea, Galilea, dan Perea untuk datang ke Yerusalem dan menyambut Perayaan Paska secara beramai-ramai. Yesus hanya ingin menyambutnya bersama para rasulnya. Dia memberitahu mereka, “Aku teringin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum aku menderita.”​—Luk. 22:15.

Yesus akan mati sebagai “Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia.” (Yoh. 1:29) Hal itu akan berlaku di Yerusalem, iaitu tempat di mana korban-korban sudah lama dipersembahkan kepada Tuhan. Orang Israel memakan biri-biri Paska bersama keluarga untuk mengingatkan mereka bahawa Tuhan telah membebaskan mereka dari Mesir. Namun, kematian Yesus jauh lebih penting kerana dia akan membebaskan semua manusia daripada cengkaman dosa dan maut. (1 Kor. 5:​7, 8) Jadi mengapakah Yesus hanya mahu makan jamuan Paska yang terakhir bersama para rasul? Kerana mereka mempunyai peranan yang penting dalam tujuan Tuhan. Kematian Yesus membuka jalan agar mereka dapat menjadi batu asas sidang Kristian. (Ef. 2:​20-22) Bible kata bahawa kota suci Yerusalem mempunyai “12 batu asas” dan padanya tertulis “12 nama, iaitu nama 12 orang rasul Anak Bebiri.” (Why. 21:​10-14) Maka tidak hairanlah Yesus mahu makan jamuan Paska itu bersama mereka dan kemudiannya memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan.

Pada malam itu, Yesus memberitahu para rasulnya bahawa dia mahu membuat perjanjian dengan mereka supaya mereka dapat memerintah bersamanya. Meskipun begitu, perjanjian itu adalah untuk semua orang Kristian terurap. (Luk. 22:​29, 30) Jadi walaupun 70 orang murid Yesus dan murid-murid lain tidak menyambut Perjamuan Malam Tuan bersama Yesus, mereka semua masih akan meraih manfaat daripada perjamuan itu jika mereka tetap setia.