Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penyelesaian yang berkesan mesti bermula dari akar umbi masalah

CABARANNYA

Akar Umbi Masalah Kita

Akar Umbi Masalah Kita

Adakah anda percaya bahawa manusia dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang mengancam masa depan kita dan yang menyebabkan kita berasa takut dan risau? Kaedah penyelesaian yang berkesan mesti bermula dari akar umbi masalah kita.

Fikirkan contoh ini: Seorang pesakit yang bernama Tom telah meninggal. Apakah punca kematiannya? Doktor dari hospital yang merawat Tom sebelum dia meninggal menulis, “Semasa tanda-tanda awal penyakitnya muncul, tiada orang terfikir untuk mencari puncanya.” Nampaknya, para perawat Tom yang sebelumnya hanya memberinya ubat untuk mengurangkan kesakitannya.

Adakah manusia juga menggunakan kaedah yang sama untuk mengubati masalah dunia? Misalnya, untuk membanteras jenayah, pihak kerajaan menetapkan undang-undang, memasang CCTV, dan menambahkan bilangan anggota polis. Langkah-langkah sebegini memang ada kesan positif, tetapi tidak menangani akar umbi masalah. Hal ini demikian kerana kelakuan manusia berkait rapat dengan sikap, perasaan, dan keinginan mereka.

Daniel tinggal di sebuah negara Amerika Selatan yang ekonominya makin merosot. Dia berkata, “Dahulu kami menjalani kehidupan yang normal dan tidak perlu takut akan perompak. Sekarang, pekan atau kampung yang aman tidak lagi wujud. Masalah ekonomi telah mendedahkan sifat sebenar ramai orang: Mereka tamak dan tidak menghormati nyawa atau harta orang lain.”

Seorang lelaki dari Timur Tengah telah melarikan diri daripada konflik di negaranya dan kemudiannya belajar tentang Bible. Dia berkata, “Ramai pemuda dari kota saya mendapat galakan daripada keluarga, pemimpin agama, dan ahli politik untuk menyertai perang dan menjadi wira. Pemuda di pihak musuh juga diberitahu hal yang sama! Semua itu buat saya sedar bahawa kita akan kecewa jika kita percaya kepada pemimpin manusia.”

Bible menyatakan:

  • “Kecenderungan untuk berbuat jahat sudah ada dalam hati manusia sejak kecil lagi.”​—Kejadian 8:21.

  • “Hati manusia nekad dan lebih licik daripada segala-galanya. Siapakah yang dapat memahami hati manusia?”​—Yeremia 17:9.

  • “Dari hatilah timbul fikiran-fikiran jahat yang menyebabkan orang membunuh, . . . melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, mencuri, memberikan kesaksian palsu.”​—Matius 15:19.

Manusia tidak mampu mencari penawar untuk melenyapkan sifat-sifat buruk yang berakar dalam diri sendiri. Meskipun dunia kita kaya dengan maklumat, dan kebolehan alat-alat komunikasi menjadi semakin canggih, perangai buruk manusia menjadi semakin parah, seperti yang disebutkan dalam rencana sebelum ini. (2 Timotius 3:1-5) Mengapakah kita tidak dapat menjadikan dunia ini tempat yang aman dan selamat? Adakah cita-cita itu di luar jangkauan kita? Adakah hal itu mustahil?

ADAKAH HAL ITU MUSTAHIL?

Andai kata kita menemui penawar untuk melenyapkan sifat buruk manusia, dunia ini masih tidak akan aman dan selamat. Mengapa? Kerana kebolehan kita terhad.

Inilah hakikatnya: “Manusia . . . tidak dapat mengarahkan langkahnya.” (Yeremia 10:23) Ya, kita tidak diciptakan untuk memerintah diri sendiri. Sebagaimana kita tidak diciptakan untuk hidup di dalam air atau di angkasa lepas, kita tidak diciptakan untuk menguasai orang lain.

Sebagaimana kita tidak diciptakan untuk hidup di dalam air, kita tidak diciptakan untuk menguasai orang lain

Fikirkan: Biasanya, adakah manusia suka orang lain memberitahu mereka cara hidup atau prinsip moral yang patut diikuti? Adakah manusia suka orang lain mengajar mereka tentang pandangan yang sewajarnya mengenai pengguguran bayi, hubungan seks, atau cara mendisiplinkan anak? Topik-topik sebegini sering menimbulkan perpecahan. Jadi, biarpun susah diterima, hakikat yang dinyatakan Bible terbukti benar. Kita tidak mampu dan tidak berhak memerintah manusia lain. Jika begitu, siapakah yang dapat membantu kita?

Jawapan yang paling masuk akal ialah: Pencipta kita. Sesetengah orang mungkin fikir bahawa Tuhan telah melupakan kita, tetapi hal itu tidak benar. Nasihat bijak yang terkandung dalam Bible menunjukkan bahawa Dia mengambil berat tentang kita. Jika kita memahami Bible, kita akan lebih memahami keterbatasan sendiri dan mengetahui sebabnya sejarah manusia dibanjiri kesusahan. Kita juga akan melihat mengapa seorang ahli falsafah Jerman menulis: “Manusia dan kerajaan tidak pernah mengambil iktibar daripada sejarah dan tidak mengamalkan pengajaran yang diperoleh.”

NASIHAT BIBLE MELINDUNGI KITA!

Yesus pernah berkata bahawa “kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan,” atau hasilnya. (Lukas 7:35) Salah satu nasihat Bible yang bijak tercatat di Yesaya 2:22, “Janganlah percaya kepada manusia fana.” Nasihat itu dapat melindungi kita agar tidak mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenneth tinggal di sebuah kota Amerika Utara yang penuh dengan keganasan. Dia berkata, “Semua ahli politik berjanji untuk membaiki keadaan, tetapi mereka selalu gagal. Hal ini mengingatkan saya betapa bijaknya nasihat Bible.”

Daniel, yang disebut tadi, menulis, “Setiap hari, saya semakin yakin bahawa manusia tidak dapat memerintah dengan baik. . . . Akaun bank atau wang pencen tidak menjamin kehidupan yang selesa. Ramai orang sangat kecewa kerana mengharapkan hal-hal sebegini.”

Bible bukan sahaja melindungi kita daripada harapan yang tidak masuk akal, malah memberi kita harapan yang cerah, seperti yang akan kita lihat nanti.