Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA MASALAH ITU AKAN DILENYAPKAN

Kerajaan Tuhan Membawa “Kedamaian yang Melimpah”

Kerajaan Tuhan Membawa “Kedamaian yang Melimpah”

Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan mendatangkan keamanan dan keharmonian sejagat. Pada masa itu, manusia akan “menikmati kedamaian yang melimpah,” seperti yang dijanjikan di Mazmur 72:7. Bilakah Kerajaan Tuhan akan mula memerintah bumi? Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan bertindak? Bagaimanakah anda dapat menikmati berkat yang dijanjikan?

BILAKAH KERAJAAN TUHAN AKAN DATANG?

Bible menyatakan bahawa sejurus sebelum Kerajaan Tuhan datang, bumi akan dilanda peristiwa-peristiwa besar seperti peperangan, kebuluran, dan wabak. Selain itu, gempa bumi akan sering berlaku dan kejahatan akan semakin bertambah. Semua peristiwa itu merupakan “tanda” bahawa Kerajaan Tuhan akan memerintah tidak lama lagi.​—Matius 24:3, 7, 12; Lukas 21:11; Wahyu 6:2-8.

Bible juga menyatakan, “Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, . . . tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia, tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga . . . sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.” (2 Timotius 3:1-4) Sifat-sifat ini memang ada pada sesetengah orang sejak zaman lampau. Namun sekarang, kebanyakan orang memiliki sifat-sifat sebegini.

Hal-hal yang dinyatakan Bible itu mula terjadi pada tahun 1914. Ramai sejarawan, negarawan, dan penulis telah mengulas tentang perubahan dunia selepas tahun itu. Contohnya, Peter Munch, sejarawan dari Denmark, menulis, “Perang yang tercetus pada tahun 1914 ialah detik perubahan yang besar dalam sejarah manusia. Sebelum itu, kita nampaknya semakin maju, . . . tetapi kita kemudiannya melangkah ke zaman yang penuh dengan bencana, ketakutan, kebencian, dan ancaman.”

Sebenarnya, peristiwa-peristiwa yang menakutkan itu merupakan tanda bahawa sesuatu yang baik bakal berlaku: Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi tidak lama lagi. Semasa menyebut tentang tanda penghujung dunia, Yesus juga berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”​—Matius 24:14.

Saksi-Saksi Yehuwa berusaha mengkhabarkan berita baik itu. Sebenarnya, bahan bacaan utama mereka bertajuk Menara Pengawal​—Mengumumkan Kerajaan Yehuwa. Majalah itu sering membincangkan perkara-perkara baik yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan demi bumi dan manusia.

BAGAIMANAKAH KERAJAAN TUHAN AKAN BERTINDAK?

Terdapat empat fakta yang penting:

  1. Kerajaan Tuhan tidak akan diwakili oleh pemimpin politik dunia ini.

  2. Pemimpin politik dunia enggan melepaskan kuasa mereka dan akan menentang Kerajaan Tuhan.​—Mazmur 2:2-9.

  3. Kerajaan Tuhan perlu menghancurkan kerajaan-kerajaan dunia yang ingin terus menguasai manusia. (Daniel 2:44; Wahyu 19:17-21) Perang terakhir yang akan tercetus itu dipanggil Armagedon.​—Wahyu 16:14, 16.

  4. Semua orang yang taat kepada Kerajaan Tuhan akan diselamatkan semasa Armagedon. Bible menyatakan bahawa satu “kumpulan besar manusia,” yang jumlahnya mungkin mencecah jutaan orang, akan memasuki dunia baharu yang damai.​—Wahyu 7:9, 10, 13, 14.

BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT MENIKMATI BERKATNYA?

Langkah pertama untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan adalah melalui pendidikan. Yesus berdoa, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 17:3.

Orang yang mengenali Tuhan Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya akan meraih banyak manfaat. Fikirkan dua manfaat: Pertama, mereka memiliki iman yang kukuh kepada Tuhan setelah mengkaji bukti-bukti yang ada. Iman itu akan meyakinkan mereka bahawa Kerajaan Tuhan memang wujud dan akan memerintah tidak lama lagi. (Ibrani 11:1) Kedua, mereka semakin mengasihi Tuhan dan orang lain. Kasih kepada Tuhan mendorong mereka untuk mentaati-Nya dengan rela hati. Kasih kepada orang lain pula menggerakkan mereka untuk mengamalkan nasihat Yesus, “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka.”​—Lukas 6:31.

Bapa kita yang di syurga menginginkan yang terbaik untuk kita. Dia ingin kita menikmati “kehidupan yang sejati.” (1 Timotius 6:19) Kehidupan hari ini bukanlah “kehidupan yang sejati.” Jutaan orang hidup susah dan perlu bertungkus-lumus untuk terus hidup. Bagaimanakah rasanya “kehidupan yang sejati”? Lihatlah sesetengah berkat yang akan dinikmati oleh rakyat Kerajaan Tuhan.

Di bawah Kerajaan Tuhan, orang akan hidup aman dan selamat, serta mempunyai makanan yang melimpah