Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

MEREKA BERJAYA MENGATASINYA

Kisah Ricardo dan Andres

Kisah Ricardo dan Andres

Pendidikan daripada Bible mampu mengubah kehidupan orang. Perhatikan contoh Ricardo dan Andres.

RICARDO: Pada usia 15 tahun, saya menyertai sekumpulan gengster. Mereka mempengaruhi saya sehingga saya ingin menghabiskan 10 tahun dalam penjara! Cita-cita itu mungkin kedengaran aneh, tetapi di kawasan saya, orang yang pernah dipenjarakan selalu disanjung. Saya mahu layanan yang sama.

Saya mencuba semua kegiatan gengster, termasuk dadah, seks, dan keganasan. Pada suatu malam, saya terlibat dalam kejadian tembak-menembak. Saya fikir saya akan mati, tetapi saya tidak diapa-apakan. Selepas itu, saya mula berfikir tentang kehidupan dan hala tuju saya dengan lebih serius. Saya mahu berubah, tetapi siapakah yang dapat bantu saya?

Kebanyakan saudara-mara saya tidak bahagia, dan kehidupan mereka penuh dengan masalah. Namun, salah seorang pak cik saya sangat berbeza. Dia dan keluarganya orang baik dan hidup mengikut ajaran Bible. Pernah sekali, mereka beritahu saya bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. Maka, tidak lama selepas kejadian tembak-menembak itu, saya berdoa dengan menggunakan nama Yehuwa dan meminta bantuan-Nya. Hari berikutnya, saya terkejut apabila seorang Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu saya! Saksi itu telah menjadi guru Bible saya.

Tidak lama kemudian, saya menghadapi cabaran besar. Kawan-kawan lama sering menelefon saya dan mengajak saya untuk lepak bersama mereka. Walaupun tidak mudah, saya menolak jemputan mereka. Saya bertekad untuk terus belajar Bible, dan saya bersyukur kerana usaha itu memberi saya kebahagiaan sejati dan kehidupan yang jauh lebih baik.

Saya pernah beritahu Tuhan bahawa dahulunya saya ingin dipenjarakan selama 10 tahun supaya menjadi gengster yang disegani. Maka saya berdoa agar Dia mengizinkan saya menginjil sepenuh masa sekurang-kurangnya 10 tahun, supaya saya dapat membantu orang lain. Doa saya telah dijawab, kerana saya telah menginjil sepenuh masa selama 17 tahun!

Ramai daripada bekas kawan saya telah dijatuhkan hukuman penjara yang lama, dan ada yang sudah mati. Saya sangat berterima kasih kerana saudara-mara saya yang merupakan Saksi itu rela hidup mengikut ajaran Bible. Meskipun mereka berbeza, saya jauh lebih menghormati mereka daripada menghormati ahli-ahli gengster dahulu. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana mengajar saya cara hidup yang terbaik.

ANDRES: Saya lahir di kawasan miskin yang penuh dengan masalah dadah, peras ugut, pembunuhan, dan pelacuran. Ayah seorang kaki botol dan penagih kokain. Dia dan Mak selalu bertengkar dan saling mencederakan.

Sejak muda lagi, saya minum alkohol dan mengambil dadah. Saya selalu berkeliaran di jalanan dan mencuri barang untuk dijual. Beberapa tahun kemudian, Ayah ingin menjadi lebih rapat dengan saya, tetapi melalui cara yang salah. Dia mengajar saya untuk menyeludup dadah dan barangan yang haram untuk dijual. Saya mendapat banyak wang dalam masa yang singkat, tetapi pada suatu hari, polis datang ke rumah saya. Saya dituduh cuba membunuh, lalu dipenjarakan selama lima tahun.

Suatu pagi di penjara, saya dengar pengumuman bahawa para banduan dijemput untuk menghadiri perbincangan Bible yang diadakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Saya turut menghadirinya. Kata-kata mereka masuk akal, maka saya mula belajar Bible dengan para Saksi. Mereka menjelaskan piawaian moral Tuhan yang tinggi dengan terus terang, termasuk hal-hal yang mungkin sensitif.

Saya sedar bahawa saya memerlukan bantuan untuk berubah, terutamanya semasa diugut oleh banduan lain yang tidak suka melihat saya belajar Bible. Saya berdoa meminta kekuatan dan kebijaksanaan, dan Yehuwa telah membantu saya. Hasilnya, saya bukan sahaja tidak tunduk kepada gertakan mereka, malah dapat mengongsi berita Bible dengan banduan lain.

Sewaktu dibebaskan, saya berasa begitu gementar sehingga ingin dipenjarakan lebih lama lagi! Semasa saya beredar, beberapa orang banduan melambai-lambai kepada saya, dan ada yang bahkan berkata dengan mesra, “Pulanglah hai paderi muda.”

Jika Tuhan tidak mendidik saya, entah bagaimana kehidupan saya sekarang. Saya amat bersyukur kerana Tuhan mengasihi saya dan tidak berputus asa terhadap saya. *

^ Terdapat banyak lagi contoh tentang bagaimana Bible dapat mengubah kehidupan. Sila layari www.pr418.com/ms, lihat PERPUSTAKAAN, dan cari siri rencana “Bible Mengubah Hidup”.