Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ibu bapa mengajar anak tentang kasih melalui teladan sendiri

USAHA UNTUK MENANGANI CABARAN

Pendidikan Moral

Pendidikan Moral

Semasa lawatan sekolah, beberapa orang pemuda dituduh melakukan gangguan seks terhadap seorang pemuda yang lain. Mereka semua merupakan pelajar daripada sekolah swasta yang terkemuka di Kanada. Selepas kejadian itu, Leonard Stern menulis dalam akhbar Ottawa Citizen, “Kedudukan tinggi, kecerdikan, dan pendidikan tidak mencegah orang muda daripada terjebak dalam perbuatan yang tidak bermoral.”

Stern juga menulis, “Kita mungkin fikir matlamat utama ibu bapa adalah untuk mendidik anak mereka secara moral. Namun, ramai ibu bapa nampaknya lebih ingin anak mereka mendapat keputusan cemerlang atau gaji yang tinggi pada masa depan.”

Pendidikan memang penting, tetapi pendidikan sekular yang terbaik pun tidak dapat membantu seseorang untuk melawan nafsu atau kecenderungan yang buruk. Maka, dari manakah kita boleh menemui bimbingan moral yang dapat menangani masalah itu?

PENDIDIKAN YANG MENYEDIAKAN BIMBINGAN MORAL DAN ROHANI

Bible bagaikan cermin. Semasa kita menelitinya, kita akan lebih mengenali kelemahan dan keterbatasan sendiri. (Yakobus 1:23-25) Bukan itu sahaja, Bible dapat mengubah kita dan membantu kita memupuk sifat yang menyumbang kepada kedamaian dan keharmonian, seperti sifat kebaikan, kesabaran, kebaikan hati, kawalan diri, dan kasih. Sebenarnya, kasih dipanggil “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kolose 3:14) Mengapakah kasih begitu istimewa? Perhatikan apa yang dikatakan Bible.

  • “Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh, tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri, dan tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai. Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah, tetapi bersukacita atas perkara yang benar. Kasih menanggung segala sesuatu, . . . menghadapi segala sesuatu dengan tabah. Kasih itu abadi.”​—1 Korintus 13:4-8.

  • “Seseorang yang mempunyai kasih tidak akan berbuat jahat terhadap orang lain.”​—Roma 13:10.

  • “Yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam, kerana kasih dapat menutup banyak dosa.”​—1 Petrus 4:8.

Apakah perasaan anda semasa berada di sisi orang yang mengasihi anda? Adakah anda berasa aman, selamat, dan tenang? Sudah tentu, kerana anda tahu bahawa mereka mementingkan kesejahteraan anda dan tidak akan sengaja melukai anda.

Kasih mampu menggerakkan orang untuk membuat pengorbanan atau mengubah gaya hidup sendiri demi kebaikan orang lain. Contohnya, seorang lelaki yang baru bergelar datuk sangat ingin menghabiskan masa bersama cucunya. Namun, dia perokok tegar, dan menantu lelakinya tidak ingin dia merokok berhampiran bayi itu. Jadi, dia telah menghentikan tabiatnya, walaupun dia sudah merokok selama 50 tahun. Tidakkah hal ini menunjukkan kuasa kasih sayang?

Bible membantu kita memupuk banyak sifat yang baik, seperti kebaikan, kebaikan hati, dan terutama sekali kasih

Kita perlu belajar untuk memupuk kasih. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengajar anak-anak tentang kasih. Mereka menjaga, melindungi, dan membantu anak, terutamanya semasa anak mereka sakit atau cedera. Ibu bapa yang baik akan bercakap dengan anak dan mengajar mereka. Ibu bapa juga akan mendisiplinkan anak dan membantu mereka mengetahui prinsip tentang apa yang salah dan benar. Selain itu, ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik untuk anak mereka.

Sedihnya, sesetengah ibu bapa tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Namun, adakah hal itu bermaksud anak mereka tidak mungkin menjadi insan yang berguna? Tidak! Ramai orang dewasa, termasuk mereka yang membesar dalam keluarga bermasalah, telah membuat perubahan yang besar lalu menjadi orang yang jujur dan penyayang. Rencana berikutnya mengandungi kisah hidup sesetengah individu yang berjaya berbuat demikian, meskipun dahulunya mereka dipandang sebagai orang yang tidak mungkin berubah.