Bimbingan untuk Mempunyai Hubungan yang Baik
Pencipta kita mengajar kita cara untuk menikmati hubungan yang baik dengan orang lain, sama ada di rumah, tempat kerja, atau bersama kawan-kawan. Perhatikan beberapa nasihat bijak daripada-Nya yang telah membantu ramai orang.
Sudi Mengampuni
“Teruslah . . . mengampuni dengan rela hati, biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung.”—KOLOSE 3:13.
Kita semua melakukan kesilapan. Tidak kira kita yang membuat orang lain tersinggung atau orang lain yang menyinggung kita, kita semua perlu sudi mengampuni satu sama lain. Apabila kita sudi mengampuni, kita tidak akan menyimpan dendam, “membalas kejahatan dengan kejahatan,” atau asyik mengungkit kesalahan orang lain. (Roma 12:17) Namun, bagaimana pula jika seseorang membuat kita sangat sakit hati dan kita tidak dapat melupakan apa yang berlaku? Bincangkanlah hal itu bersamanya dengan hormat dan tanpa melibatkan orang lain. Ingatlah bahawa tujuan kita adalah untuk berdamai dan bukannya menentukan siapa yang betul atau salah.—Roma 12:18.
Rendah Hati dan Menunjukkan Hormat
“Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.”—FILIPI 2:3.
Orang lain akan suka bersama dengan kita jika kita rendah hati dan bersikap hormat. Mereka tahu bahawa kita akan menunjukkan kebaikan hati, bertimbang rasa, dan tidak akan sengaja menyakiti hati mereka. Namun, jika kita anggap diri kita lebih baik daripada orang lain atau selalu mahu
orang lain ikut cara kita, hal ini dapat menimbulkan masalah. Akibatnya, orang lain akan menjauhi kita dan kita tidak akan mempunyai ramai kawan.Tidak Berat Sebelah
“Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”—KISAH 10:34, 35.
Pencipta kita tidak memandang sesetengah orang lebih baik hanya kerana kewarganegaraan, bahasa, kedudukan sosial, atau warna kulit mereka. Ayat Suci menyatakan, “Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa.” (Kisah 17:26) Dalam kata lain, semua manusia ialah adik-beradik. Apabila kita melayan semua orang dengan hormat dan baik hati, mereka akan berasa gembira, kita sendiri akan berasa gembira, dan Pencipta kita juga akan berasa gembira.
Bersikap Lemah Lembut
“Hendaklah kamu mengenakan . . . kelemahlembutan.”—KOLOSE 3:12.
Apabila kita bersikap lemah lembut, orang lain akan berasa selesa untuk berbual dan bahkan menasihati kita, kerana mereka tahu kita akan sentiasa tenang. Apabila kita menjawab dengan lemah lembut kepada seseorang yang marah terhadap kita, hal ini juga dapat menenangkan orang itu. Amsal 15:1 menyatakan, “Jawapan yang lemah lembut meredakan kemarahan, tetapi kata-kata yang pedas membangkitkan kemurkaan.”
Bermurah Hati dan Bersyukur
“Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—KISAH 20:35.
Hari ini, ramai orang bersikap tamak dan mementingkan diri. Namun, kita boleh memperoleh kebahagiaan yang sejati jika kita bermurah hati. (Lukas 6:38) Orang yang murah hati berasa gembira kerana mereka lebih mengasihi orang daripada kebendaan. Kasih kepada orang lain juga mendorong mereka untuk bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang bermurah hati kepada mereka. (Kolose 3:15) Jadi tanyalah diri, “Adakah saya suka bersama dengan orang yang kedekut dan tidak tahu bersyukur, atau dengan orang yang murah hati dan tahu bersyukur?” Apakah pengajarannya? Layanlah orang lain sebagaimana anda ingin dilayan.—Matius 7:12.