Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Kita Menderita, Menjadi Tua, dan Mati?

Mengapakah Kita Menderita, Menjadi Tua, dan Mati?

Pencipta kita menganggap kita sebagai anak-anak-Nya dan Dia tidak mahu kita menderita. Jadi, mengapakah dunia ini penuh dengan penderitaan?

Pasangan Manusia Pertama Menyebabkan Kita Menderita

“Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang.”​—ROMA 5:12.

Tuhan menciptakan pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, dengan tubuh dan minda yang sempurna. Dia juga memberi mereka tempat tinggal yang cantik di bumi, yang dipanggil Taman Eden. Tuhan memberitahu mereka bahawa mereka boleh makan buah daripada setiap pokok di taman itu kecuali daripada satu pokok. Namun, Adam dan Hawa memilih untuk makan buah daripada satu pokok itu, dan perbuatan itu merupakan satu dosa. (Kejadian 2:15-17; 3:1-19) Selepas mereka tidak mentaati Tuhan, Tuhan telah menghalau mereka daripada Taman Eden, dan mereka hidup susah sejak itu. Seraya masa berlalu, mereka mempunyai anak, dan anak mereka juga hidup dalam kesusahan. Mereka semua menjadi tua dan mati. (Kejadian 3:23; 5:5) Kita juga jatuh sakit, menjadi tua, dan mati kerana kita merupakan keturunan pasangan manusia yang pertama.

Roh-Roh Jahat Menambahkan Lagi Penderitaan Kita

“Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.”​—1 YOHANES 5:19.

“Si Jahat” yang dipanggil Syaitan merupakan makhluk roh yang telah memberontak terhadap Tuhan. (Yohanes 8:44; Wahyu 12:9) Kemudian, terdapat makhluk roh lain yang menyertai pemberontakan Syaitan, dan mereka dipanggil roh-roh jahat. Roh-roh jahat menggunakan kuasa mereka untuk menyesatkan manusia dan membuat manusia mengingkari Pencipta. Mereka juga mempengaruhi ramai orang untuk melakukan hal-hal yang jahat. (Mazmur 106:35-38; 1 Timotius 4:1) Syaitan dan roh-roh jahat suka membuat hidup manusia menderita.

Ada Kalanya, Kita yang Menyebabkan Penderitaan Kita

“Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”​—GALATIA 6:7.

Terdapat banyak penderitaan yang berlaku kerana kita mewarisi dosa dan kerana pengaruh Syaitan dalam dunia ini. Namun, ada kalanya manusia menderita akibat perbuatan diri mereka sendiri. Bagaimana? Apabila mereka melakukan perkara yang jahat atau membuat keputusan yang bodoh, selalunya mereka akan menuai hasil yang buruk. Sebaliknya, apabila mereka melakukan perkara yang baik, mereka akan menuai hasil yang baik. Contohnya, jika seorang suami dan bapa bersikap jujur, bekerja keras, dan mengasihi keluarganya, dia akan menuai banyak hasil yang baik dan membuat keluarganya bahagia. Namun, jika dia kaki judi, kaki botol, atau pemalas, dia akan membuat dirinya sendiri dan keluarganya jatuh miskin. Jadi adalah bijak untuk mendengar nasihat Pencipta kita. Dia mahu kita menuai banyak hasil yang baik, termasuk “kedamaian yang melimpah.”​—Mazmur 119:165.

Kita Hidup pada “Hari-Hari Terakhir”

“Pada hari-hari terakhir, . . .  manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, . . . tidak mematuhi ibu bapa, . . . tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan.” ​—2 TIMOTIUS 3:1-5.

Hari ini, ramai orang bersikap seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut. Hal ini membuktikan bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir.” Ayat-Ayat Suci juga menyatakan bahawa pada “hari-hari terakhir,” peperangan, kekurangan makanan, gempa bumi yang dahsyat, dan wabak, akan berlaku. (Matius 24:3, 7, 8; Lukas 21:10, 11) Hal-hal ini menyebabkan banyak penderitaan dan kematian.