Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengetahuan yang Mendekatkan Kita kepada Tuhan

Pengetahuan yang Mendekatkan Kita kepada Tuhan

Pencipta kita bukan sahaja berkuasa, tetapi juga mempunyai sifat-sifat yang baik. Dia mahu kita belajar tentang-Nya dan menghampiri-Nya. (Yohanes 17:3; Yakobus 4:8) Itulah sebabnya Dia mengajar kita banyak hal tentang-Nya.

Pencipta Kita Mempunyai Nama

“Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.”​—MAZMUR 83:18.

Bible mengajarkan bahawa Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar, dan Dia ialah Pencipta seluruh alam semesta dan semua kehidupan. Dia sahaja yang layak kita sembah.​—Wahyu 4:11.

Yehuwa ialah Tuhan yang Pengasih

“Tuhan itu kasih.”​—1 YOHANES 4:8.

Yehuwa menggunakan Bible dan ciptaan-Nya untuk mengajar kita tentang sifat-sifat-Nya. Sifat utama-Nya ialah kasih kerana segala sesuatu yang dilakukan-Nya didorong oleh kasih. Semakin banyak kita belajar tentang Yehuwa, semakin dalam kasih kita terhadap-Nya.

Yehuwa ialah Tuhan yang Sudi Mengampuni

“Engkau Tuhan yang sedia mengampuni.”​—NEHEMIA 9:17.

Yehuwa tahu kita tidak sempurna. Oleh itu, Dia “sedia mengampuni” kita. Jika kita meminta maaf kepada-Nya dan berusaha untuk berhenti berbuat jahat, Dia akan memaafkan kita dan tidak menghukum kita atas dosa lampau kita.​—Mazmur 103:12, 13.

Yehuwa Menjemput Kita untuk Berdoa kepada-Nya

“Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya . . . Apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar.”​—MAZMUR 145:18, 19.

Kita tidak perlu mengikuti upacara khas atau menggunakan gambar atau objek-objek untuk menyembah Yehuwa. Dia mendengar doa kita sepertimana ibu bapa yang pengasih mendengar kata-kata anak-anak mereka.