Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

DAPATKAH BUMI KITA DISELAMATKAN?

Air Tawar

Air Tawar

TANPA air, terutamanya air tawar, hidupan di bumi tidak dapat wujud. Sebenarnya, komponen terbesar dalam semua makhluk hidup ialah air. Tasik, sungai, kawasan paya, dan air bawah tanah menyediakan air minum bagi manusia dan haiwan, serta membolehkan kita menyiram tanaman.

Bekalan Air Tawar Terancam

Sebahagian besar bumi kita diliputi air. Namun, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia, “hanya 0.5 peratus daripada air di bumi merupakan air tawar yang boleh digunakan.” Walaupun angka itu nampaknya kecil, jumlah air itu sepatutnya cukup untuk menampung kehidupan di bumi. Sedihnya, banyak daripada air itu sedang dicemari atau tidak dapat digunakan kerana perubahan iklim dan permintaan yang semakin tinggi. Menurut anggaran pakar, dalam masa 30 tahun, lima bilion orang mungkin tidak akan mempunyai bekalan air tawar yang mencukupi.

Bumi​—Direka supaya Terus Menyediakan Air Tawar

Bumi mempunyai proses semula jadi untuk terus menyediakan air tawar yang mencukupi. Selain itu, tanah, hidupan air, dan matahari bekerjasama untuk membersihkan air kita. Perhatikan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa bumi direka untuk terus menyediakan air tawar.

  • Tanah dapat membuang banyak bahan cemar daripada air. Sesetengah tumbuhan di kawasan paya dapat menyingkirkan nitrogen, fosforus, dan racun perosak dalam air.

  • Para ahli sains telah mengenal pasti beberapa proses fizikal dan biologi yang mampu membersihkan air yang mengandungi bahan buangan semula jadi. Bahan-bahan itu akan dicairkan dalam air yang mengalir dan diuraikan oleh mikroorganisma.

  • Kerang dan kupang air tawar dapat menapis bahan kimia yang berbahaya dalam beberapa hari sahaja, dan mungkin lebih berkesan daripada loji rawatan air.

  • Bumi menggunakan kitaran hidrologi dan proses semula jadi yang lain untuk memastikan air di bumi tidak berkurangan atau tersejat ke angkasa lepas.

Usaha Manusia untuk Menjaga Sumber Air

Dengan membaiki kebocoran minyak dan membuang bahan toksik dengan cara yang betul, kita sedang melindungi sumber air tawar kita.

Pakar menggalakkan kita untuk menggunakan air dengan berhemat. Untuk mengurangkan pencemaran air, mereka juga mengesyorkan agar kita membaiki kebocoran minyak pada kenderaan, mengelak daripada membuang ubat-ubatan ke dalam mangkuk tandas, dan tidak membuang bahan toksik ke dalam longkang.

Para jurutera telah membangunkan teknologi yang canggih untuk proses desalinasi (proses mengeluarkan garam daripada air masin). Mereka berharap kaedah ini dapat menambahkan bekalan air tawar.

Tetapi itu tidak cukup. Teknologi desalinasi susah digunakan secara besar-besaran kerana melibatkan penggunaan tenaga yang tinggi dan kos yang mahal. Pada tahun 2021, sebuah laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa usaha di serata dunia untuk meningkatkan mutu pengurusan air perlu digandakan.

Mengapa Bumi Masih Ada Harapan—Bible kata:

“[Tuhan] menyebabkan air naik ke langit, lalu terbentuklah kabus dan titisan air yang akan mencurah dari awan, sebagai hujan yang turun ke atas semua manusia.”​—Ayub 36:​26-28.

Tuhan telah menciptakan kitaran semula jadi untuk melindungi air di bumi.​—Pengkhutbah 1:7.

Fikirkan: Jika Tuhan telah menciptakan proses-proses untuk membersihkan air di bumi, sudah tentu Dia mampu dan ingin menyelesaikan masalah pencemaran air yang disebabkan oleh manusia. Lihat rencana “Tuhan Berjanji Bumi Kita Akan Selamat,” pada muka surat 15.