Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apa Sudah Jadi dengan Sikap Hormat terhadap Nyawa?

Apa Sudah Jadi dengan Sikap Hormat terhadap Nyawa?

MENGAPA PENTING UNTUK MENGHORMATI NYAWA

Amalan dan tindakan yang membahayakan nyawa mampu mengancam kesihatan dan keselamatan masyarakat.

  • Merokok bukan sahaja menyebabkan kanser, tetapi juga menjejaskan kebolehan tubuh untuk melawan kanser. Kira-kira 90 peratus kematian yang disebabkan oleh kanser paru-paru berpunca daripada merokok atau pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand smoke).

  • Kejadian tembakan beramai-ramai menyebabkan trauma emosi bagi banyak orang setiap tahun. Laporan daripada Stanford University menyatakan, “Menurut kajian, bahkan orang yang terselamat [semasa tembakan beramai-ramai di sekolah] tanpa kecederaan fizikal pun mengalami masalah emosi yang mungkin mempengaruhi hidup mereka selama bertahun-tahun.”

  • Orang yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membahayakan pemandu lain dan bahkan pejalan kaki. Apabila orang tidak menghargai nyawa, orang yang tidak bersalah sering menjadi mangsa.

APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN

Lindungi kesihatan anda. Masih tidak terlambat untuk berhenti merokok, vaping, minum berlebihan, atau mengambil dadah. Amalan sedemikian memudaratkan kesihatan anda dan menunjukkan bahawa anda tidak menghormati nyawa orang lain, termasuk nyawa ahli keluarga anda.

“Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.”​—2 Korintus 7:1.

Utamakan keselamatan. Untuk mencegah kemalangan, pastikan rumah dan benda-benda dalam rumah anda dijaga dengan baik. Pastikan kenderaan anda sentiasa dalam keadaan baik dan pandulah dengan cermat. Janganlah tunduk kepada tekanan orang lain untuk terlibat dalam aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan yang serius atau kematian.

“Jika kamu membina rumah baharu, kamu harus memasang pagar di sekeliling bumbung rumah itu. Dengan demikian, kamu dan keluarga kamu tidak akan berhutang darah jika seseorang terjatuh dari situ.”​—Ulangan 22:8. a

Layan orang lain dengan baik. Jika kita menghormati nyawa, kita akan melayan semua orang dengan baik tidak kira apa latar belakang mereka. Kebanyakan keganasan dan peperangan berpunca daripada kebencian dan sikap prasangka.

“Buangkanlah segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, kata-kata hinaan, dan segala kejahatan. Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain.”​—Efesus 4:​31, 32.

APA YANG SEDANG KAMI LAKUKAN

Saksi-Saksi Yehuwa menggalakkan orang untuk hidup sihat dan seimbang. Program pendidikan Bible kami telah membantu orang mengatasi ketagihan dan amalan yang buruk.

Kami mengikut garis panduan keselamatan dengan teliti semasa melakukan projek pembinaan. Para pekerja sukarela yang membantu membina Dewan Perjumpaan dan bangunan lain yang kami gunakan telah dilatih untuk mengelakkan kecederaan. Bangunan kami diperiksa secara tetap agar memenuhi piawaian keselamatan tempatan.

Kami menyediakan bantuan kemanusiaan. Pada tahun 2022, kami menyediakan bantuan bagi kira-kira 200 bencana di serata dunia dan membelanjakan hampir 12 juta USD untuk membantu mangsa bencana.

Semasa penyakit Ebola mula merebak di Afrika Barat (2014) dan Republik Demokratik Congo (2018), kami mendidik orang tentang cara untuk mencegah penyakit yang membawa maut ini daripada merebak. Kami menghantar wakil untuk memberi taklimat yang bertajuk “Kepatuhan Menyelamatkan Nyawa.” Kami menyediakan tempat cuci tangan di pintu masuk setiap tempat ibadat kami dan menekankan pentingnya mencuci tangan dan mengambil langkah berjaga-jaga yang lain.

Di Sierra Leone, terdapat pengumuman di radio yang memuji Saksi-Saksi Yehuwa kerana membantu orang yang bahkan bukan Saksi untuk menghindari virus Ebola.

Tempat mencuci tangan di Dewan Perjumpaan pada tahun 2014 semasa penyakit Ebola tercetus di Liberia

a Rumah di Timur Tengah kuno mempunyai bumbung yang rata, dan orang biasanya melakukan aktiviti seharian di situ. Peraturan ini menekankan pentingnya mengutamakan keselamatan ahli keluarga dan orang lain.