Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kata-kata yang hormat seperti simen yang dapat menguatkan perkahwinan anda

SUAMI ISTERI

3: Hormat

3: Hormat

MAKSUDNYA

Suami isteri yang saling menghormati akan mengasihi satu sama lain, biarpun semasa mereka tidak bersependapat. Buku Ten Lessons to Transform Your Marriage menyatakan, “Mereka tidak akan berkeras mengikut pendirian sendiri. Sebaliknya mereka akan terus berbincang tentang konflik, menghormati dan mendengar pandangan masing-masing, dan mencari jalan tengah yang sesuai untuk kedua-dua pihak.”

PRINSIP BIBLE: “Kasih . . . tidak mementingkan diri sendiri.”​—1 Korintus 13:4, 5.

“Menghormati isteri saya bermaksud saya menghargainya dan menjauhi apa sahaja yang mungkin melukainya atau merosakkan perkahwinan kami.”​—Micah.

MENGAPA PENTING

Tanpa sikap hormat, perbualan antara suami isteri mungkin dicampuri kritikan, sindiran, dan hinaan. Menurut penyelidik, itulah tanda awal perceraian.

“Jika kamu sindir, ejek, atau tertawakan isteri kamu, kamu akan hancurkan keyakinannya terhadap dirinya dan kamu, serta rosakkan perkahwinan sendiri.”​—Brian.

LANGKAH-LANGKAH

UJILAH DIRI

Perhatikan perbualan dan kelakuan anda selama seminggu. Kemudian tanyalah diri:

  • “Seberapa kerapkah saya memuji pasangan saya, dan seberapa kerapkah saya mengkritiknya?”

  • “Bagaimanakah saya telah menunjukkan bahawa saya menghormati pasangan saya?”

BINCANGLAH DENGAN PASANGAN ANDA

  • Perbuatan dan kata-kata apakah yang akan membuat anda berdua berasa dihormati?

  • Perbuatan dan kata-kata apakah yang akan membuat anda berdua berasa tidak dihormati?

TIP

  • Tuliskan tiga cara anda ingin dihormati, dan minta pasangan anda melakukan hal yang sama. Saling tukar senarai itu dan usahakan aspek-aspek yang ditulis.

  • Senaraikan sifat-sifat baik pasangan anda dan beritahulah dia bahawa anda sangat menghargai sifatnya itu.

“Menghormati suami saya bermaksud saya melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa saya menghargainya dan ingin dia bahagia. Hal-hal itu tidak semestinya sangat istimewa; melalui hal-hal kecil pun saya dapat tunjukkan hormat kepadanya.”​—Megan.

Yang penting bukanlah sama ada anda rasa anda menunjukkan hormat atau tidak, tetapi sama ada pasangan anda rasa dihormati atau tidak.

PRINSIP BIBLE: “Hendaklah kamu mengenakan belas kasihan, kebaikan hati, kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran.”​—Kolose 3:12.