Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Anak-Anak Anda?

Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Anak-Anak Anda?

Orang dewasa mungkin memerlukan banyak masa untuk membiasakan diri dengan teknologi baharu, tetapi kanak-kanak sekarang membesar bersama teknologi dan sangat pandai menggunakannya.

Namun, sesetengah pihak mendapati anak muda yang menggunakan banyak masa dalam talian lebih mudah . . .

  • mempunyai masalah ketagihan peranti elektronik.

  • terlibat dalam perbuatan buli siber.

  • terdedah kepada pornografi, sama ada sengaja atau tidak.

APA YANG PERLU ANDA TAHU

KETAGIHAN

Sesetengah aktiviti di Internet, contohnya online game, direka untuk membuat orang cepat ketagih. Buku Reclaiming Conversation menyatakan, “Aplikasi dalam fon direka supaya kita asyik memandang fon.” Semakin banyak masa kita guna aplikasi yang mengandungi iklan, semakin banyak keuntungan yang diperoleh syarikat iklan.

FIKIRKAN: Adakah anak-anak anda berasa susah untuk berpisah dengan gajet mereka? Bagaimanakah anda dapat bantu mereka menggunakan masa dengan lebih baik?​—EFESUS 5:15, 16.

BULI SIBER

Semasa menggunakan Internet, sesetengah orang menjadi lebih agresif, biadap, dan tidak bertimbang rasa. Orang sebegini mungkin menjadi pembuli siber.

Sesetengah orang menyalahgunakan media sosial kerana ingin mendapatkan perhatian atau menjadi popular. Ada pula yang berasa diri mereka dibuli kerana mendapat tahu mereka tidak dijemput ke suatu parti.

FIKIRKAN: Adakah anak-anak anda bersikap sopan semasa dalam talian? (Efesus 4:31) Apakah reaksi mereka jika orang lain berseronok tanpa mengajak mereka?

PORNOGRAFI

Bahan lucah sangat mudah diperoleh di Internet. Ibu bapa harus ingat bahawa walaupun penapis (filter) dapat membantu, perisian sebegini tidak 100% berkesan.

Sexting merupakan amalan menghantar atau menerima gambar lucah diri sendiri atau orang lain, biasanya melalui telefon pintar. Di sesetengah negara, sexting dianggap sebagai jenayah. Bergantung pada undang- undang atau usia orang yang terlibat, orang yang melakukan sexting boleh didakwa menyebarkan pornografi kanak-kanak.

FIKIRKAN: Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda melawan godaan untuk melihat atau menghantar bahan lucah melalui Internet?​—EFESUS 5:3, 4.

CUBALAH

MELATIH ANAK ANDA

Biarpun kanak-kanak mahir menggunakan alat elektronik, mereka memerlukan bimbingan ibu bapa. Buku Indistractable menyatakan bahawa memberi kanak-kanak telefon pintar atau alat elektronik sebelum mereka tahu cara yang betul untuk menggunakannya, ialah “tindakan yang tidak bertanggungjawab, yang dapat disamakan dengan membiarkan mereka terjun ke dalam kolam sebelum mereka tahu berenang.”

PRINSIP BIBLE: “Ajarilah anak haluan yang harus ditempuhnya; maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.”​—AMSAL 22:6.

Tandakan cadangan yang ingin anda gunakan, atau tuliskan idea anda sendiri.

  • Bincang dengan anak saya tentang bersikap sopan semasa menggunakan Internet

  • Bantu anak saya menangani perasaan kecewa semasa tidak dijemput ke aktiviti orang lain

  • Cuba sedaya upaya untuk menyekat laman yang tidak senonoh

  • Periksa fon anak saya dari masa ke masa

  • Tetapkan had bagi masa skrin anak anda

  • Melarang anak saya membawa peranti elektronik ke dalam bilik tidur

  • Melarang ahli keluarga menggunakan peranti elektronik semasa makan bersama-sama