Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Fikiran Anda?
Manusia sentiasa perlu belajar, sama ada untuk sekolah, kerja, atau hal lain. Teknologi dapat memudahkan proses belajar. Dengan teknologi, kita dapat mengakses bermacam-macam maklumat tanpa meninggalkan rumah atau bahkan kerusi kita.
Namun, orang yang menghabiskan terlalu banyak masa untuk menggunakan teknologi mendapati bahawa mereka . . .
-
susah menumpukan perhatian semasa membaca.
-
susah bertumpu kepada satu tugas pada satu masa.
-
cepat berasa bosan ketika seorang diri.
APA YANG PERLU ANDA TAHU
MEMBACA
Orang yang menghabiskan banyak masa untuk guna alat elektronik sering kali tidak cukup sabar untuk membaca seluruh artikel atau buku. Jadi mereka hanya membacanya sepintas lalu.
Membaca secara sepintas lalu berguna apabila anda perlu mencari jawapan dalam masa singkat. Namun, cara itu tidak membantu semasa anda perlu mendalami suatu topik.
FIKIRKAN: Sejauh manakah anda dapat baca teks yang panjang dengan teliti? Mengapakah hal ini dapat meningkatkan kebolehan belajar anda?—AMSAL 18:15.
FOKUS
Sesetengah orang menganggap bahawa teknologi akan membantu mereka melakukan dua hal pada masa yang sama, misalnya menghantar mesej kepada kawan sambil belajar. Namun, oleh sebab tumpuan mereka sudah berbelah bahagi, mereka tidak dapat melakukan kedua-dua tugas dengan baik.
Kita memang perlu disiplin diri untuk berfokus, tetapi usaha untuk berbuat demikian memang berbaloi. Seorang remaja yang bernama Grace berkata, “Kesilapan dan stres kita akan berkurang. Saya sudah belajar bahawa adalah lebih baik untuk bertumpu kepada satu hal pada satu masa, dan bukannya membiarkan fokus saya tersimpang.”
FIKIRKAN: Adakah teknologi mengurangkan kebolehan anda untuk memahami dan mengingati apa yang anda pelajari?—AMSAL 17:24.
WAKTU BERSENDIRIAN
Sesetengah orang tidak dapat tahan jika mereka bersendirian. Jadi, mereka menggunakan teknologi untuk menghilangkan rasa sunyi. Seorang wanita yang bernama Olivia berkata, “Kalau saya duduk diam selama 15 minit tanpa melihat fon, tablet, atau TV, saya akan rasa bosan.”
Namun, waktu bersendirian sebenarnya kesempatan yang baik untuk membuat perenungan dan belajar. Hal ini penting, baik untuk orang muda mahupun orang dewasa.
FIKIRKAN: Dapatkah anda menggunakan waktu bersendirian untuk membuat sesuatu yang bermanfaat?—1 TIMOTIUS 4:15.
CUBALAH
PERIKSA CARA ANDA MENGGUNAKAN TEKNOLOGI
Bagaimanakah anda dapat menggunakan teknologi untuk meningkatkan kemahiran berfikir? Bagaimanakah teknologi dapat menghalang anda daripada berfokus dan belajar?
PRINSIP BIBLE: “Janganlah lepaskan hikmat dan daya pemikiran.”—AMSAL 3:21, NOTA KAKI.