Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Perkahwinan Anda?
Jika digunakan dengan baik, teknologi dapat merapatkan hubungan antara suami dengan isteri. Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan teknologi untuk menghubungi satu sama lain sepanjang hari.
Namun, akibat penyalahgunaan teknologi, sesetengah pasangan . . .
-
jarang meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
-
bekerja di rumah semasa tidak perlu.
-
menimbulkan curiga dan bahkan berlaku curang.
APA YANG PERLU ANDA TAHU
WAKTU BERSAMA-SAMA
Seorang suami yang bernama Michael berkata, “Kadang-kadang, bila saya bersama isteri, saya rasa seolah-olah saya seorang diri, sebab dia asyik tengok fon saja. Isteri saya kata, ‘Sekarang baru saya ada masa untuk tengok fon.’” Seorang suami yang bernama Jonathan berkata bahawa situasi sebegini boleh membuat “suami isteri terasa jauh padahal mereka berada di tempat yang sama.”
FIKIRKAN: Berapa kerapkah panggilan telefon, mesej, atau notifikasi, mengganggu masa berkualiti anda bersama pasangan anda?—EFESUS 5:33.
KERJA
Disebabkan jenis pekerjaan mereka, sesetengah orang perlu selalu menjawab panggilan telefon atau membalas e-mel. Tetapi ada pula yang membawa kerja pejabat mereka pulang ke rumah walaupun mereka tidak perlu berbuat demikian. Lee, seorang suami, mengaku, “Saya sudah khaskan masa untuk bersama isteri saya, tetapi masa itu pun saya terfikir untuk balas mesej atau panggilan yang berkaitan dengan kerja.” Joy, seorang isteri berkata, “Saya bekerja dari rumah dan boleh bekerja pada bila-bila masa. Jadi saya perlu berusaha untuk seimbangkan kerja dengan keluarga.”
FIKIRKAN: Adakah anda memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa pasangan anda bercakap kepada anda?—LUKAS 8:18.
KESETIAAN
Menurut satu tinjauan, banyak pergaduhan dalam perkahwinan berlaku kerana aktiviti seorang suami atau isteri di media sosial menimbulkan rasa curiga pasangannya. Sepuluh peratus orang yang menyertai tinjauan ini mengaku bahawa mereka pernah memaparkan sesuatu di Internet yang mereka sembunyikan daripada pasangan mereka.
Itulah sebabnya media sosial boleh merosakkan perkahwinan dan bahkan menjadi tanah subur kepada perzinaan. Ramai peguam perceraian kata media sosial ialah penyumbang besar kehancuran perkahwinan.
FIKIRKAN: Jika anda berkomunikasi dengan seseorang yang berlawanan jantina, adakah anda menyembunyikan perbualan itu daripada pasangan anda?—AMSAL 4:23.
CUBALAH
TETAPKAN KEUTAMAAN
Orang yang tidak makan, tidak dapat jaga badan yang sihat. Begitu juga, orang yang tidak meluangkan masa bersama pasangannya akan menghadapi masalah dalam perkahwinannya.—Efesus 5:28, 29.
PRINSIP BIBLE: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—FILIPI 1:10.
Bincangkan dengan pasangan anda cadangan yang ingin anda gunakan, atau tuliskan idea anda sendiri untuk mencegah teknologi daripada merosakkan perkahwinan anda.
-
Makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali sehari
-
Tetapkan masa untuk tidak menggunakan alat elektronik
-
Jadualkan masa dating atau waktu khas bagi anda berdua
-
Matikan peranti elektronik dan simpannya jauh dari tempat tidur
-
Peruntukkan 15 minit setiap hari untuk bercakap tanpa alat elektronik di sisi kita
-
Matikan sambungan Internet setiap hari pada masa yang ditetapkan