Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Persahabatan Anda?

Bagaimanakah Teknologi Mempengaruhi Persahabatan Anda?

Melalui SMS, e-mel, panggilan video, dan media sosial, dua orang yang hidup berjauhan dapat berkomunikasi dengan mudah. Maka mereka boleh dikatakan menggunakan teknologi dalam cara yang bermanfaat.

Namun, orang yang bergantung sepenuhnya pada teknologi untuk berinteraksi dengan sahabat mungkin . . .

  • kurang menunjukkan empati kepada sahabat mereka.

  • berasa lebih sunyi dan kecewa.

  • lebih mementingkan diri.

APA YANG PERLU ANDA TAHU

EMPATI

Untuk menyelami perasaan seseorang, kita perlu meluangkan masa untuk berfikir tentang orang itu. Namun, hal ini susah dilakukan semasa kita sibuk membaca dan membalas mesej, atau melihat post di media sosial.

Jika anda menerima terlalu banyak mesej, anda mungkin berasa susah untuk membalas mesej daripada sahabat anda. Tidak kira mesej yang anda terima itu penting atau tidak, anda mungkin hanya ingin membalas semua mesej itu dengan segera, sehingga tidak sedar bahawa seorang sahabat memerlukan bantuan.

FIKIRKAN: Bagaimanakah anda dapat menunjukkan empati semasa menggunakan teknologi untuk menghubungi sahabat-sahabat anda?​—1 PETRUS 3:8.

SUNYI DAN KECEWA

Menurut sebuah kajian, ramai orang berasa kecewa setelah menggunakan media sosial. Para penyelidik mendapati bahawa selepas orang menghabiskan masa untuk melihat gambar dan status terkini orang lain, mereka mungkin “berasa bahawa mereka mensia-siakan masa mereka.”

Tambahan lagi, setelah melihat foto-foto hebat yang dipaparkan orang lain, kita mungkin mula berfikir kehidupan mereka sangat seronok dan kehidupan kita sangat membosankan.

FIKIRKAN: Semasa menggunakan media sosial, bagaimanakah anda dapat mengelak daripada membandingkan diri dengan orang lain?​—GALATIA 6:4.

MEMENTINGKAN DIRI

Seorang cikgu menulis bahawa sebilangan muridnya bersikap mementingkan diri dan hanya menginginkan kawan yang dapat memberikan manfaat kepada mereka. * Sikap sebegini mungkin membuat seseorang memandang kawan-kawannya sebagai alat yang boleh digunakan bila perlu dan diketepikan semasa tidak diperlukan.

FIKIRKAN: Adakah post anda menunjukkan bahawa anda mempunyai sikap suka bersaing atau mementingkan diri?​—GALATIA 5:26.

CUBALAH

MENILAI PENGGUNAAN TEKNOLOGI ANDA

Jika anda menguasai dan bukannya dikuasai teknologi, anda dapat sering menghubungi kawan-kawan anda dan bahkan menjadi lebih rapat dengan mereka.

PRINSIP BIBLE: “Kasih . . . tidak mementingkan diri sendiri.”​—1 KORINTUS 13:4, 5.

Tandakan cadangan yang ingin anda gunakan, atau tuliskan idea anda sendiri.

  • Lebih kerap berbual secara bersemuka (dan bukannya asyik menghantar mesej atau e-mel sahaja)

  • Simpan fon anda (atau guna mod senyap) semasa bercakap dengan orang lain

  • Kurangkan masa yang digunakan untuk melayari media sosial

  • Menjadi pendengar yang lebih prihatin

  • Menghubungi seorang kawan yang menghadapi kesusahan

^ per. 17 Menurut laporan dalam buku Reclaiming Conversation.