Kesihatan Fizikal
Biarpun Bible bukanlah buku teks perubatan, Bible menggalakkan cara hidup yang sihat. Perhatikan beberapa prinsip Bible yang dapat membantu anda hidup dalam cara yang lebih sihat.
MENJAGA TUBUH SENDIRI
PRINSIP BIBLE: “Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya.”—Efesus 5:29.
MAKSUDNYA: Prinsip ini menggalakkan kita untuk berusaha menjaga tubuh kita dengan sebaik-baiknya. Sebuah kajian menunjukkan bahawa kesihatan kita berkait rapat dengan cara hidup kita. Jadi jika kita memilih cara hidup yang sihat, kita akan mempunyai kesihatan yang baik.
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN:
-
Pemakanan. Makan makanan yang berkhasiat dan minum air yang mencukupi.
-
Gaya Hidup yang Aktif. Tidak kira anda tua atau muda, kurang upaya atau menghidap penyakit kronik, kegiatan fizikal dapat meningkatkan kesihatan anda. Ahli keluarga, kawan, atau doktor dapat mencadangkan program senaman dan menggalakkan anda untuk bersenam, tetapi anda sendirilah yang harus berusaha!
-
Tidur yang Mencukupi. Menggunakan masa tidur untuk hal-hal lain bukanlah pilihan yang bijak, kerana orang yang selalu tidak cukup tidur mungkin akan menghidap penyakit yang serius. Jika anda ingin menjadi lebih sihat, pilihlah untuk mendapatkan tidur yang mencukupi.
JAUHI TABIAT YANG BURUK
PRINSIP BIBLE: “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.”—2 Korintus 7:1.
MAKSUDNYA: Kesihatan kita akan bertambah baik jika kita tidak mencemari tubuh kita dengan bahan-bahan yang berbahaya, seperti tembakau. Kajian menunjukkan bahawa tembakau ialah salah satu punca utama penyakit dan kematian.
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN: Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, dan tandakannya pada kalendar anda. Sebelum hari itu tiba, buanglah semua rokok, tempat abu rokok, pemetik api, dan alat-alat merokok yang lain. Hindarilah tempat-tempat orang merokok. Beritahulah kawan dan keluarga anda tentang keputusan anda untuk berhenti merokok agar mereka dapat membantu anda.
PRINSIP-PRINSIP BIBLE YANG LAIN
UTAMAKAN KESELAMATAN.
“Jika kamu membina rumah baharu, kamu harus memasang pagar di sekeliling bumbung rumah itu. Dengan demikian, kamu dan keluarga kamu tidak akan berhutang darah jika seseorang terjatuh dari situ.”—ULANGAN 22:8.
KAWAL KEMARAHAN.
“Orang yang sangat berpengertian lambat naik marah, tetapi orang yang cepat marah mempamerkan kebodohannya.”—AMSAL 14:29.
JANGAN MAKAN BERLEBIHAN.
‘Janganlah tergolong sebagai orang yang makan dengan gelojoh.’—AMSAL 23:20.