Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Luaskan Lingkungan Persahabatan Anda

Luaskan Lingkungan Persahabatan Anda

Masalahnya

Jika kita menjauhi golongan tertentu kerana berpandangan negatif terhadap mereka, sikap prasangka kita mungkin akan bertambah teruk. Tambahan lagi, jika kita hanya bersahabat dengan orang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita, kita mungkin cenderung berfikir bahawa fikiran, perasaan, dan kelakuan kita sahaja yang betul.

Prinsip Bible

“Bukalah hati kamu lebar-lebar.”​—2 KORINTUS 6:13.

Apakah maksudnya? “Hati” kita merujuk kepada perasaan kita. Jika kita hanya mengasihi orang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita, kasih kita akan terbatas. Untuk mengelakkan hal itu, kita mesti sudi bersahabat dengan orang yang memiliki latar belakang, budaya, dan sifat yang berbeza daripada kita.

Pentingnya Meluaskan Lingkungan Persahabatan Kita

Apabila kita mengenali orang lain dengan lebih baik, kita dapat memahami sebabnya mereka bertindak dalam cara yang berbeza. Apabila kita semakin akrab dengan mereka, jurang perbezaan antara kita dengan mereka akan semakin berkurang. Kita akan lebih menghargai mereka dan lebih mampu menyelami suka dan duka mereka.

Perhatikan contoh Nazaré, yang dahulunya berprasangka terhadap pendatang asing. Dia menjelaskan apa yang membantunya mengatasi sikap itu. Dia berkata, “Saya meluangkan masa bersama mereka dan bekerja bersama mereka. Walaupun kebanyakan orang mempunyai tanggapan buruk tentang mereka, saya pernah berjumpa dengan pendatang asing yang sangat baik. Setelah bersahabat dengan orang daripada budaya lain, saya belajar bahawa setiap orang mempunyai keunikan tersendiri dan harus dikasihi dan dihargai sebagai individu.”

Apa yang Dapat Anda Lakukan

Carilah peluang untuk bercakap dengan orang dari negara lain, atau yang bangsa atau bahasa mereka berbeza daripada anda. Semasa bercakap dengan mereka, anda boleh:

  • Menjemput mereka untuk bercerita tentang diri mereka.

  • Mengajak mereka untuk makan bersama-sama.

  • Mendengar kisah hidup mereka, dan mengenal pasti apa yang dianggap penting oleh mereka.

Jika anda berusaha mengetahui apa yang pernah dilalui mereka, anda dapat lebih memahami keperibadian mereka. Hasilnya, anda mungkin mula berpandangan positif terhadap mereka dan orang lain daripada golongan mereka.