Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Prasangka​—Penyakit yang Berbahaya

Prasangka​—Penyakit yang Berbahaya

Prasangka adalah seperti penyakit berbahaya yang mudah berjangkit, dan orang mungkin tidak sedar bahawa mereka sudah dijangkiti sikap ini.

Sesetengah orang berprasangka terhadap orang yang berlainan bangsa, suku, kaum, bahasa, agama, jantina, atau kedudukan sosial. Ada pula yang berpandangan buruk terhadap orang lain kerana usia, tahap pendidikan, kesihatan, atau paras rupa mereka. Hakikatnya, meskipun seseorang berpandangan negatif terhadap orang lain atas faktor-faktor tadi, dia mungkin tidak berasa bahawa dia memiliki sikap prasangka.

Adakah anda sudah dijangkiti sikap prasangka? Biasanya, memang agak mudah untuk melihat sikap prasangka dalam diri orang lain, tetapi agak susah untuk mengesannya dalam diri kita sendiri. Sebenarnya, kita semua memiliki sikap prasangka pada tahap tertentu. Menurut seorang profesor yang bernama David Williams, jika seseorang berfikiran negatif terhadap golongan tertentu, dia akan melayan orang daripada golongan itu dengan cara yang berbeza tanpa menyedarinya.

Fikirkan contoh Jovica, yang tinggal di Eropah. Di negaranya, terdapat satu kumpulan minoriti yang sering dipandang rendah. Jovica mengaku, “Saya fikir semua orang dalam kumpulan itu ialah orang jahat. Tetapi saya tidak rasa bahawa saya sebenarnya berprasangka terhadap mereka, kerana saya fikir apa yang saya ketahui tentang mereka memang benar.”

Banyak kerajaan menggubal undang-undang untuk membendung masalah perkauman dan sikap prasangka. Namun, masalah ini masih wujud. Mengapa? Undang-undang hanya dapat mengawal perbuatan seseorang tetapi tidak dapat mengawal punca sebenar sikap prasangka, iaitu hati dan minda seseorang. Adakah hal ini bermaksud sikap prasangka tidak mungkin dilenyapkan? Mungkinkah kita berjaya mengatasinya?

Rencana-rencana berikutnya akan membincangkan lima prinsip yang telah membantu banyak orang melawan sikap prasangka yang sudah berurat berakar dalam hati dan minda mereka.