Apa yang Kita Pelajari daripada Benda Hidup
Benda hidup di sekeliling kita dapat bertumbuh, bergerak, dan membiak. Benda hidup juga mengindahkan planet kita. Manusia hari ini mengetahui jauh lebih banyak hal tentang benda hidup berbanding dahulu. Apakah asal usul benda hidup? Perhatikan hal-hal berikut.
Benda hidup terlalu rumit untuk muncul secara kebetulan. Sel merupakan unit asas kehidupan. Setiap sel adalah seperti kilang yang kecil, yang mampu menjalankan beribu-ribu jenis proses yang rumit untuk menampung kehidupan dan membiak. Rekaan yang rumit dalam sel terdapat dalam hampir semua benda hidup. Sebagai contoh, yis roti atau ragi roti merupakan benda hidup yang terdiri daripada satu sel. Berbanding sel manusia, sel yis nampaknya ringkas. Namun, sel yis sebenarnya sangat rumit. Sebagai contoh, nukleus sel yis mengandungi DNA. Setiap sel yis juga mempunyai “mesin-mesin” kecil yang mengasing-asingkan, mengangkut, dan mengubah molekul, supaya sel yis dapat terus hidup. Apabila sel yis kehabisan makanan, sel itu akan memulakan sejenis proses kimia yang rumit untuk memperlahankan aktiviti dalam sel. Itulah sebabnya yis dapat disimpan untuk masa yang lama dan masih dapat diaktifkan semula untuk membuat roti.
Walaupun para saintis sudah mengkaji sel yis selama puluhan tahun untuk lebih memahami sel manusia, ada banyak hal lagi tentang yis yang belum diketahui mereka. Ross King, seorang profesor di Chalmers University of Technology di Sweden, berkata, “Untuk mengkaji sel ringkas seperti yis pun, kami tidak ada ahli biologi yang mencukupi untuk membuat semua eksperimen yang diperlukan.”
Setelah melihat betapa rumitnya sel yis, apakah pendapat anda? Adakah sel yis direka atau wujud dengan sendirinya?
Benda hidup hanya dapat dihasilkan daripada benda yang hidup. DNA dalam sel terdiri daripada molekul-molekul yang dipanggil nukleotida. Setiap sel manusia mengandungi 3.2 bilion nukleotida. Nukleotida-nukleotida perlu disusun dalam kombinasi yang spesifik supaya sel dapat menghasilkan enzim dan protein.
Menurut kiraan, kebarangkalian untuk mendapat kombinasi nukleotida yang tepat secara rambang ialah 1 dalam 10150 (1 diikuti 150 sifar). Dalam kata lain, hal ini hampir mustahil berlaku.
Tiada eksperimen saintifik yang pernah membuktikan bahawa benda hidup dapat dihasilkan secara kebetulan daripada benda yang bukan hidup.
Manusia ialah hidupan yang unik. Sebagai manusia, kita memiliki banyak kebolehan untuk menikmati kehidupan dengan sepenuhnya. Sebagai contoh, manusia mempunyai kemahiran seni, kemahiran sosial, dan kemampuan untuk mengungkapkan perasaan, yang tidak dapat ditandingi hidupan lain. Kita mampu membezakan dan menikmati pelbagai jenis rasa, bau, bunyi, warna, dan pemandangan. Kita juga merancang untuk masa depan dan mencari makna kehidupan.
Apakah pandangan anda? Adakah kebolehan-kebolehan itu muncul dalam diri kita secara evolusi kerana kita memerlukannya untuk membiak dan terus hidup? Atau adakah semua itu menunjukkan bahawa kehidupan ialah kurniaan daripada Pencipta yang pengasih?