Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapa Penting untuk Mengetahui Jawapannya

Mengapa Penting untuk Mengetahui Jawapannya

Mengapakah penting untuk tahu sama ada Pencipta wujud atau tidak? Jika bukti-bukti yang dibincangkan tadi meyakinkan anda bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa wujud, anda mungkin ingin menyelidiki bukti bahawa Bible diilhami-Nya. Jika anda percaya kata-kata Bible, anda akan meraih manfaat berikut:

Hidup anda lebih bermakna

BIBLE KATA: “[Tuhan] melakukan apa yang baik. Dia memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.”​—Kisah 14:17.

MAKSUDNYA: Segala yang anda nikmati dalam dunia ini ialah kurniaan daripada Pencipta. Anda akan lebih menghargai kurniaan-kurniaan ini apabila anda mengetahui bahawa Tuhan mengambil berat terhadap anda.

Memperoleh bimbingan dalam kehidupan setiap hari

BIBLE KATA: “Kamu akan memahami apa yang benar, adil, dan saksama. Ya, kamu akan memahami haluan yang harus kamu tempuh.”​—Amsal 2:9.

MAKSUDNYA: Sebagai Pencipta anda, Tuhan tahu apa yang anda perlukan untuk hidup bahagia. Dengan mengkaji Bible, anda akan belajar banyak hal yang bermanfaat untuk anda.

Mendapat jawapan kepada soalan anda

BIBLE KATA: “Kamu akan memperoleh pengetahuan tentang Tuhan.”—Amsal 2:5.

MAKSUDNYA: Apabila anda tahu Pencipta wujud, anda dapat menjumpai jawapan kepada soalan-soalan yang penting seperti: Apakah tujuan hidup? Mengapakah ada banyak penderitaan? Apakah yang berlaku apabila kita mati? Anda dapat memperoleh jawapan yang memuaskan dalam Bible.

Memiliki harapan untuk masa depan

BIBLE KATA: “‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.’”​—Yeremia 29:11.

MAKSUDNYA: Tuhan berjanji bahawa pada masa depan, Dia akan menghapuskan kejahatan, penderitaan, dan juga kematian. Apabila anda mempercayai janji-janji Tuhan, harapan masa depan ini akan membantu anda untuk menghadapi cabaran hidup dengan berani.