SIAPAKAH PEREKANYA?
Bebenang Kupang Laut
SEPERTI teritip, kupang laut melekat pada batu, kayu, atau badan kapal. Namun, tidak seperti teritip yang menempel pada suatu permukaan, kupang laut berjuntai daripada suatu permukaan dengan menggunakan bebenang halus. Cara ini memudahkan kupang laut untuk mendapat makanan dan berpindah. Namun, bebenang itu nampaknya terlalu halus untuk menahan pukulan ombak. Bagaimanakah bebenang itu membolehkan kupang terus berjuntai pada suatu permukaan dan tidak dihanyutkan arus laut?
Fikirkan: Bebenang kupang laut mempunyai satu hujung yang keras dan satu hujung yang lembut dan lentur. Para penyelidik mendapati bahawa bebenang itu terdiri daripada 80 peratus bahan keras dan 20 peratus bahan lembut. Nisbah yang tepat ini membolehkan bebenang itu menjadi sangat kuat dan tidak putus semasa kupang laut dipukul ombak.
Profesor Guy Genin berkata bahawa hasil kajian itu “sangat menakjubkan.” Dia menambah, “Kehebatan kupang laut terletak pada paduan bahan keras dan bahan lembut dalam bebenangnya.” Para ahli sains percaya bahawa rekaan bebenang kupang laut dapat digunakan dalam pelbagai hal, contohnya untuk menghasilkan penyambung tendon dengan tulang, pelekat untuk menutup luka pembedahan, dan pelekat untuk memasang alat-alat pada bangunan atau perlengkapan pada kapal selam. Seorang profesor di Universiti California Santa Barbara, Amerika Syarikat, yang bernama J. Herbert Waite, berkata, “Alam semula jadi dapat mengajar kita banyak hal tentang kaedah pelekatan.”
Apakah pandangan anda? Adakah bebenang kupang laut wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?