Ikan Badut yang Luar Biasa
IKAN badut merupakan ikan yang sangat unik. Warnanya yang cerah mungkin mengingatkan kita tentang badut di sarkas. Ikan badut juga tinggal di tempat yang luar biasa, iaitu di antara sesungut buran laut yang dapat menyengat. Maka tidak hairanlah ikan badut juga dikenali sebagai ikan buran.
Ikan badut sering berada berhampiran tempat tinggalnya dan tidak takut kepada orang. Jadi, para penyelam dapat mengambil gambar ikan badut dengan mudah. Seperti bintang Hollywood, ikan badut tidak keberatan semasa orang mendekatinya untuk mengambil gambarnya.
Namun, yang membuat ikan badut luar biasa ialah tempat tinggalnya yang nampaknya sangat berbahaya, kerana sesungut buran laut yang beracun bagaikan sarang ular berbisa. Tetapi ikan badut dan buran laut yang dipilihnya tidak dapat dipisahkan. Apakah yang membuat hubungan yang nampaknya pelik ini berjaya?
“SAYA TIDAK DAPAT HIDUP TANPAMU”
Ikan badut dan buran laut saling memerlukan agar dapat terus hidup. Para ahli biologi marin mendapati bahawa ikan badut
tidak dapat hidup tanpa buran laut. Ikan itu tidak dapat berenang dengan baik dan mudah diserang pemangsa tanpa perlindungan buran laut. Dengan menjadikan buran laut sebagai tempat tinggal dan tempat berlindung, ikan badut dapat mencapai umur 10 tahun.Buran laut bukan sahaja menjadi tempat tinggal ikan badut, tetapi juga menjadi tempat ikan itu bertelur. Ikan badut akan bertelur di bahagian pangkal buran laut, dan telur-telur itu akan diawasi oleh ibu dan bapa ikan badut. Pada kemudian hari, keluarga ikan badut itu akan berenang berhampiran buran laut yang sama.
Apakah manfaat kerjasama ini bagi buran laut pula? Ikan badut menjadi seperti penjaga yang akan menghalau ikan kupu-kupu yang ingin memakan sesungut buran laut. Menurut para penyelidik, terdapat sekurang-kurangnya satu jenis buran laut yang tidak dapat hidup tanpa ikan badut. Mereka mendapati bahawa apabila ikan badut dipisahkan daripada buran laut, dalam masa 24 jam sahaja, buran laut itu sudah habis dimakan oleh ikan kupu-kupu.
Nampaknya, ikan badut juga membekalkan tenaga kepada buran laut. Ammonia daripada bahan buangan ikan badut dapat membantu pertumbuhan buran laut. Selain itu, semasa ikan badut berenang di antara sesungut buran laut, pergerakan air yang terhasil membolehkan buran laut menerima lebih banyak oksigen.
TINGGAL DI TEMPAT YANG DITAKUTI IKAN LAIN
Ikan badut mempunyai lapisan lendir pada kulitnya yang melindunginya daripada sengatan buran laut. Dengan adanya lapisan lendir itu, buran laut menganggap ikan badut seperti buran laut lain. Seorang penyelidik berkata bahawa lapisan lendir itu menjadikan ikan badut seperti “ikan yang berbajukan buran laut.”
Kajian menunjukkan bahawa semasa ikan badut memilih buran laut untuk dijadikan tempat tinggal, ikan itu perlu menggunakan masa berjam-jam untuk membiasakan diri. Ikan badut akan menyentuh buran laut sekali-sekala untuk menyesuaikan lapisan lendirnya supaya kebal terhadap racun dalam sesungut buran laut. Sepanjang proses ini, ikan badut mungkin disengat beberapa kali. Namun, selepas itu, kedua-duanya akan menjadi sahabat baik.
Hubungan antara dua benda hidup yang amat berbeza ini mengajar kita hal yang penting tentang kerjasama. Apabila orang daripada pelbagai budaya dan latar belakang bekerjasama, mereka dapat meraih hasil yang menakjubkan. Seperti ikan badut, kita mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan orang lain, tetapi usaha kita tidak akan sia-sia.