TOPIK UTAMA | PENYAKIT—CARA UNTUK MENCEGAHNYA
Lindungi Diri Anda daripada Penyakit
BANYAK kota pada zaman kuno dilindungi oleh tembok yang besar. Jika musuh berjaya menembusi satu bahagian kecil tembok itu pun, keselamatan seluruh kota akan terancam. Badan kita bagaikan kota yang bertembok itu. Cara kita menjaga pertahanan tubuh kita akan menentukan tahap kesihatan kita. Perhatikan lima perkara yang dapat menyebabkan penyakit dan cara anda dapat mencegahnya.
1 AIR
ANCAMAN: Organisma yang berbahaya dapat memasuki tubuh anda melalui air yang tercemar.
PENCEGAHAN: Langkah yang terbaik adalah dengan melindungi bekalan air anda. Jika anda mendapati atau mengesyaki bahawa sumber air anda sudah tercemar, anda dapat merawat air itu. * Simpan air di dalam bekas yang tertutup, dan gunakan pili, senduk, atau gayung yang bersih untuk mengambilnya. Jangan sekali-kali memasukkan tangan anda ke dalam sumber air. Jika dapat, tinggallah di kawasan yang mempunyai sistem pembetungan yang baik, supaya sumber air anda tidak dicemari bahan kumbahan.
2 MAKANAN
ANCAMAN: Makanan anda mungkin mengandungi organisma yang berbahaya.
PENCEGAHAN: Makanan yang kelihatan segar dan berkhasiat pun mungkin sudah tercemar. Maka, pupuklah kebiasaan untuk mencuci bersih semua buah-buahan dan sayur-sayuran. Pastikan peralatan memasak, tempat menyediakan makanan, dan tangan anda, bersih sebelum menyediakan atau menghidangkan makanan. Sesetengah makanan perlu dimasak pada suhu tertentu untuk membunuh kuman. Jika bau, warna, dan rasa makanan sudah berubah, hal itu menunjukkan bahawa makanan itu sudah dicemari dan mungkin tidak selamat untuk dimakan. Simpan makanan di dalam peti sejuk dengan secepat mungkin jika anda tidak memakannya. Elakkan daripada menyediakan makanan untuk orang lain semasa anda sakit. *
3 SERANGGA
ANCAMAN: Sesetengah serangga mempunyai parasit yang berbahaya bagi manusia.
PENCEGAHAN: Jangan keluar dari rumah sewaktu serangga sedemikian aktif. Jika anda perlu keluar, pakailah baju berlengan panjang dan seluar panjang. Gunakan kelambu semasa tidur atau gunakan penghalau serangga. Hapuskan semua tempat dan bekas yang menakung air, yang menjadi tempat nyamuk membiak. *
4 BINATANG
ANCAMAN: Mikroorganisma yang hidup di dalam tubuh binatang dapat mengancam kesihatan anda. Jika anda digigit atau dicakar oleh binatang peliharaan, atau jika anda terkena najis binatang, kesihatan anda mungkin terancam.
PENCEGAHAN: Sesetengah orang tidak membiarkan binatang masuk ke dalam rumah. Basuh tangan anda selepas menyentuh binatang peliharaan, dan jangan menyentuh binatang liar. Jika anda digigit atau dicakar, basuhlah luka anda dan berjumpalah dengan doktor. *
5 ORANG
ANCAMAN: Sesetengah kuman tersebar semasa seseorang batuk atau bersin. Kuman juga dapat tersebar melalui sentuhan, contohnya semasa berpelukan atau berjabat tangan. Kuman daripada orang lain juga mungkin melekat pada tombol pintu, selusur tangan, telefon, alat kawalan jauh, skrin komputer, dan papan kekunci.
PENCEGAHAN: Jangan mengongsi barangan peribadi seperti pisau cukur, berus gigi, atau tuala mandi. Elakkan daripada menyentuh cecair tubuh binatang atau orang lain, termasuk darah dan produk darah. Jangan lupa untuk selalu membasuh tangan dengan teliti. Nampaknya amalan ini ialah langkah yang paling berkesan untuk mencegah penularan penyakit.
Jika dapat, tinggallah di rumah semasa anda sakit. Centers for Disease Control and Prevention A.S. mengesyorkan agar anda menutup mulut dan hidung dengan tisu atau lengan baju semasa bersin, dan bukannya dengan tangan.
Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Nasihat ini memang berguna dalam dunia yang penuh dengan penyakit berbahaya! Maka dapatkanlah maklumat kesihatan yang secukupnya, dan jagalah kebersihan untuk mengelakkan bahaya penyakit. Tingkatkanlah pertahanan tubuh anda, dan kurangkanlah risiko dijangkiti penyakit!
^ per. 6 Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan beberapa langkah untuk merawat air di rumah, seperti menggunakan klorin, menjemur air, menapis air, dan memasak air.
^ per. 9 Untuk maklumat lanjut tentang keselamatan makanan, lihat Sedarlah! bahasa Indonesia, terbitan Jun 2012, muka surat 3, 4, 5, 6, 7, 8-9.
^ per. 12 Untuk mengetahui langkah-langkah mencegah malaria, lihat Sadarlah! bahasa Indonesia, terbitan Julai 2015, muka surat 14-15.
^ per. 15 Jika luka anda disebabkan oleh binatang berbisa, dapatkan rawatan dengan segera.