Matlamat Rohani Memuliakan Pencipta
Matlamat Rohani Memuliakan Pencipta
“TIADA angin yang dapat bantu pelayar yang tiada hala tuju,” kata seorang ahli falsafah Roma. Inilah hakikatnya jika seseorang tiada matlamat hidup.
Dalam Bible, kita dapat membaca tentang kisah hamba Tuhan yang menetapkan matlamat dalam hidup. Contohnya, Nuh telah menghabiskan kira-kira 50 tahun untuk “membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan rumah tangganya.” Nabi Musa pula “menumpukan perhatian kepada ganjaran yang bakal diterima.” (Ibrani 11:7, 26) Pengganti Musa, iaitu Yosua, juga mempunyai matlamat untuk menawan tanah Kanaan.—Ulangan 3:21, 22, 28; Yosua 12:7-24.
Selain itu, Rasul Paulus yang hidup pada abad pertama mempunyai matlamat untuk melaksanakan arahan Yesus yang berikut: “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.” (Matius 24:14) Paulus mendapat penglihatan dan pesanan untuk ‘memberitakan nama Yesus kepada bangsa-bangsa.’ Sememangnya, dorongan daripada Tuan Yesus menggerakkannya untuk mengasaskan sidang-sidang Kristian di seluruh Asia Kecil hingga ke Eropah.—Kisah 9:15; Kolose 1:23.
Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa hamba Tuhan sejak dulu lagi menetapkan matlamat rohani dan mencapainya. Sudah pasti hal ini memuliakan Tuhan Yehuwa. Hari ini, bagaimanakah kita dapat menetapkan matlamat rohani? Apakah matlamat yang dapat kita tetapkan dan apakah yang diperlukan untuk mencapainya?
Motif yang Betul Sangat Penting
Dunia menggalakkan kita untuk menetapkan matlamat dan mempunyai cita-cita tinggi. Namun, tujuannya adalah untuk memuliakan diri sendiri dan mengejar kekayaan, kedudukan, dan kuasa. Sebaliknya, matlamat rohani bertujuan untuk memuliakan Tuhan Yehuwa dan memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:33) Matlamat sebegini didorong oleh kasih kepada Tuhan dan orang lain.—Matius 22:37-39; 1 Timotius 4:7.
Maka, tidak kira matlamat anda adalah untuk meluaskan khidmat atau membuat kemajuan rohani, pastikanlah motif anda adalah betul. Tetapi, bagaimanakah kita dapat menetapkan matlamat yang realistik lalu mencapainya?
Pupuk Keinginan yang Kuat
Mari kita lihat pengajaran yang dapat diperoleh daripada cara Yehuwa menciptakan alam semesta. Semasa menggambarkan setiap hari penciptaan, Bible kata bahawa “malam dan pagi pun berlalu.” (Kejadian 1:5, 8, 13, 19, 23, 31) Jadi, Yehuwa mempunyai matlamat tertentu untuk setiap hari penciptaan dan Dia melaksanakan semua kerja yang ditetapkan untuk hari itu. Hasilnya, terciptalah segala sesuatu di seluruh alam semesta. (Wahyu 4:11) Ayub berkata, “Apabila [Yehuwa] ingin melakukan sesuatu, Dia pasti akan melaksanakannya.” (Ayub 23:13) Sudah tentu Yehuwa “sangat berpuas hati” semasa melihat hasil kerja tangan-Nya!—Kejadian 1:31.
Jika kita mahu mencapai matlamat kita, adalah penting untuk mempunyai keinginan yang kuat. Apakah yang dapat membantu kita? Perhatikan sekali lagi contoh Yehuwa. Semasa bumi masih kosong dan belum terbentuk, Yehuwa sudah dapat membayangkan betapa cantiknya planet yang akan menjadi kediaman manusia. Begitu juga, kita dapat menguatkan keinginan kita dengan merenungkan hasil akhir dan manfaat matlamat kita. Itulah yang dialami Tony yang berumur 19 tahun. Selepas melawat pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Eropah Barat, dia sangat kagum dan berhasrat untuk kerja di sana suatu hari nanti. Sejak itu, dia selalu memikirkan bagaimana kehidupannya jika dia berkhidmat di situ. Dia tidak pernah melupakan hasratnya itu dan terus bekerja keras untuk mencapainya. Alangkah gembiranya Tony apabila permohonannya telah diterima beberapa tahun kemudian!
Pergaulan dengan orang yang telah mencapai cita-cita rohani juga dapat membantu kita. Contohnya, Jayson yang berumur 30 tahun tidak suka menginjil semasa remaja. Mengapakah dia menjadi perintis pada kemudian hari? Jayson berkata, “Saya sering berbual dengan perintis lain dan menginjil bersama mereka. Teladan mereka sangat menggalakkan saya.” Maka, setelah dia tamat sekolah menengah, dia menceburi khidmat perintis.
Tuliskan Matlamat Anda
Idea kita akan menjadi lebih jelas apabila kita mencatatkannya. Raja Salomo dalam Bible menulis bahawa kata-kata yang baik adalah seperti tongkat yang digunakan untuk menggiring binatang. (Pengkhutbah 12:11) Maka, matlamat yang diungkapkan dalam bentuk tulisan dapat menggerakkan kita ke hala tuju yang betul. Lagipun semasa kita mencatatkan sesuatu, hal itu akan terpahat di hati dan minda kita. Itulah sebabnya Yehuwa menyuruh raja-raja Israel untuk menyalin Hukum Musa. (Ulangan 17:18) Semasa menulis matlamat kita, catatkan juga cabarannya dan cara-cara untuk mengatasinya. Kita boleh tuliskan hal-hal yang harus dipelajari, kemahiran yang diperlukan, dan orang yang dapat menyokong kita.
Sebenarnya, matlamat juga dapat membantu kita semasa kesusahan melanda. Geoffrey sudah lama berkhidmat sebagai perintis khas di Asia. Tanpa diduga, isterinya telah meninggal dunia. Selepas suatu tempoh berlalu, Geoffrey bertekad untuk menumpukan seluruh usahanya dalam khidmat perintisnya. Dia menetapkan matlamat untuk memulakan tiga pembelajaran Bible yang baharu pada bulan itu. Dia berdoa dengan tekun dan menulis rancangannya. Setiap hari, dia akan melihat apa yang telah dilakukannya, dan setiap 10 hari, dia akan menilai kemajuannya. Adakah dia berjaya mencapai matlamatnya? Ya! Dia bukan hanya dapat memulakan tiga pembelajaran Bible, tetapi empat!
Tetapkan Matlamat Jangka Pendek
Ada sesetengah matlamat yang mungkin nampak besar pada mulanya. Apakah yang dapat anda buat? Itulah pengalaman Tony yang disebutkan tadi. Semasa dia melawat pejabat cawangan itu, Tony belum lagi dibaptis sebagai seorang Saksi. Gaya hidupnya pun tidak selaras dengan prinsip Bible. Jadi mula-mula, Tony harus mengubah hidupnya lalu membaktikan diri kepada Yehuwa. Selepas dia dibaptis, dia menetapkan matlamat untuk menjadi perintis sokongan dan perintis biasa. Dia menandakan pada kalendar tarikh dia ingin memulakan khidmatnya. Akhirnya, dia berjaya mencapai kedua-dua matlamat itu! Setelah merintis buat suatu jangka masa, matlamatnya untuk berkhidmat di pejabat cawangan tidak lagi kelihatan mustahil.
Seperti Tony, kita boleh membahagikan matlamat jangka panjang menjadi beberapa matlamat yang kecil. Semua ini dapat menjadi batu loncatan dan membantu kita tetap bertumpu kepada matlamat jangka panjang kita. Rasul Paulus juga menggalakkan kita untuk “berdoalah sentiasa.” Maka, janganlah lupa untuk berdoa kepada Yehuwa agar tidak tersimpang.—1 Tesalonika 5:17.
Kuatkan Tekad dan Jangan Putus Asa
Kadangkala, bahkan matlamat yang dirancang dengan baik dan keinginan yang kuat tidak menjamin bahawa matlamat kita akan tercapai. Inilah yang berlaku kepada Markus ketika dia tidak dapat mengikut Paulus semasa perjalanannya yang kedua untuk menginjil. (Kisah 15:37-40) Namun, Markus tidak putus asa. Sebaliknya, dia menyesuaikan matlamatnya dan melipatgandakan usahanya dalam khidmat kepada Yehuwa. Pada kemudian hari, Markus dipuji oleh Rasul Paulus dan dapat berkhidmat rapat dengan Rasul Petrus di Babilon. (2 Timotius 4:11; 1 Petrus 5:13) Dia juga diberikan penghormatan besar untuk menulis kisah hidup Yesus dalam Bible.
Kadangkala, kita mungkin gagal mencapai matlamat kita. Tetapi, janganlah putus asa. Semasa cabaran timbul, anda boleh menilai semula keadaan anda dan membuat penyesuaian. Teruslah bertekad dan curahkan usaha agar anda dapat berjaya. Raja Salomo meyakinkan kita, “Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.”—Amsal 16:3.
Sedihnya, keadaan hidup mungkin menyebabkan kita mustahil mencapai matlamat kita. Contohnya, kita mungkin jatuh sakit atau mempunyai tanggungjawab keluarga yang lain. Tetapi ingatlah, matlamat akhir kita adalah untuk meraih berkat kehidupan kekal, sama ada di syurga atau di bumi Firdaus. (Lukas 23:43; Filipi 3:13, 14) Bagaimanakah kita dapat mencapai matlamat ini? Rasul Yohanes menulis, “Orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yohanes 2:17) Jadi biarpun kita tidak dapat mencapai semua matlamat rohani kita sekarang, kita masih dapat melakukan apa yang disebutkan dalam ayat ini: “Takutlah kepada Tuhan yang benar, dan patuhilah perintah-Nya.” (Pengkhutbah 12:13) Sememangnya, matlamat rohani dapat membantu kita bertumpu kepada kehendak Tuhan. Semoga kita berusaha untuk terus memuliakan Pencipta kita, Yehuwa.
[Kotak]
Matlamat Rohani yang Dapat Difikirkan
○ Baca Bible setiap hari
○ Baca setiap terbitan Menara Pengawal dan Sedarlah!
○ Tingkatkan mutu doa
○ Tunjukkan buah kuasa suci Tuhan
○ Luaskan khidmat
○ Jadi penginjil dan pengajar yang lebih efektif
○ Tingkatkan kemahiran menginjil melalui telefon, menginjil secara tidak formal, dan menginjil di kawasan perniagaan