Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mukjizat Yesus​—Apa yang Dapat Anda Pelajari?

Mukjizat Yesus​—Apa yang Dapat Anda Pelajari?

Mukjizat Yesus​—Apa yang Dapat Anda Pelajari?

SEMASA Bible menyebut tentang mukjizat Yesus, terdapat tiga istilah Yunani yang biasa digunakan. Salah satunya ialah dyʹna·mis. Secara harfiah, perkataan dyʹna·mis bermaksud “kuasa.” (Lukas 8:46) Istilah Yunani ini juga boleh diterjemahkan sebagai “kebolehan.” (Matius 25:15) Menurut seorang pakar, istilah Yunani ini “menonjolkan perbuatan hebat daripada kuasa yang luar biasa. Perbuatan itu dilaksanakan melalui kuasa Tuhan.”

Istilah Yunani teʹras pula biasanya diterjemahkan sebagai “perkara yang ajaib.” (Yohanes 4:48) Perkataan ini bertumpu kepada kesan mukjizat terhadap orang yang melihatnya. Sering kali, orang ramai terpegun dan kagum apabila melihat mukjizat yang dilakukan Yesus.​—Markus 2:12; 4:41; 6:51; Lukas 9:43.

Satu lagi istilah Yunani (se·meiʹon) digunakan untuk menunjukkan bahawa mukjizat Yesus ialah suatu “tanda.” Seorang pakar yang bernama Robert Deffinbaugh berkata bahawa perkataan itu “bertumpu kepada maksud di sebalik mukjizat.” Dia menambah, “Tanda yang ditunjukkan melalui mukjizat menyampaikan kebenaran tentang Tuan Yesus.”

Pertunjukan Silap Mata atau Kuasa daripada Tuhan?

Bible tidak mengatakan bahawa mukjizat Yesus ialah pertunjukan silap mata yang dibuat untuk menghiburkan orang. Sebaliknya, Bible menjelaskan bahawa mukjizat membuktikan “keagungan kuasa Tuhan.” Hal ini jelas dilihat semasa Yesus mengusir roh jahat daripada seorang budak lelaki. (Lukas 9:37-43) Sudah pasti Tuhan Yehuwa yang maha kuasa dan “amat bertenaga” dapat melakukan hal yang menakjubkan ini!​—Yesaya 40:26.

Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam Bible menyebut kira-kira 35 mukjizat Yesus. Tetapi Bible tidak memberitahu kita jumlah mukjizat yang telah dilakukan oleh Yesus semasa dia di bumi. Contohnya, di Matius 14:14, Bible tidak kata bilangan orang sakit yang telah disembuhkan. Sebaliknya, ayat itu kata, “[Yesus] melihat banyak orang di situ. Dia berasa kasihan terhadap mereka lalu menyembuhkan semua orang yang sakit.”

Perbuatan menakjubkan sedemikian menunjukkan dengan jelas bahawa Yesus ialah Anak Tuhan dan Mesias yang dijanjikan. Bible juga membuktikan bahawa kuasa Tuhanlah yang membolehkan Yesus melakukan mukjizat. Rasul Petrus berkata bahawa Yesus “diutus oleh Tuhan.” Dia menyambung, “Kamu sendiri tahu tentang mukjizat, tanda, dan keajaiban, yang dilakukan oleh Tuhan melaluinya dalam kalangan kamu.” (Kisah 2:22) Pernah sekali, Petrus berkata, “Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya, dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.”​—Kisah 10:37, 38.

Mukjizat Yesus juga berkait rapat dengan ajarannya. Dalam Markus 1:21-27, kita melihat reaksi orang ramai semasa mendengar ajaran Yesus dan melihat mukjizatnya. Markus 1:22 kata bahawa mereka “sangat kagum dengan cara dia mengajar.” Di ayat 27, orang ramai “sangat hairan” semasa Yesus mengusir roh-roh jahat. Sememangnya, mukjizat Yesus dan ajarannya jelas menunjukkan bahawa dialah Mesias yang dilantik Tuhan.

Maka, semasa sesetengah orang mempersoalkan identiti Yesus, dia dapat menjawab dengan yakin, “Aku mempunyai kesaksian yang lebih besar daripada kesaksian Yohanes [Pembaptis]. Aku melaksanakan kerja yang ditugaskan oleh Bapaku dan kerja-kerja itu memberikan kesaksian bahawa Bapa mengutus aku.”​—Yohanes 5:36.

Bukti bahawa Mukjizat Yesus Benar-Benar Berlaku

Mengapakah kita dapat yakin bahawa mukjizat Yesus benar-benar berlaku? Mari kita pertimbangkan beberapa perkara berikut.

Semasa melakukan mukjizat, Yesus tidak menghalakan perhatian kepada dirinya. Dia selalu menghalakan segala pujian dan kemuliaan kepada Tuhan. Sebagai contoh, sebelum menyembuhkan seorang lelaki buta, Yesus menyatakan bahawa lelaki itu akan disembuhkan “supaya perbuatan Tuhan dapat disingkapkan.”​—Yohanes 9:1-3; 11:1-4.

Yesus bukan seperti ahli silap mata dan orang yang membuat penyembuhan ajaib. Dia tidak pernah menggunakan sihir, jampi, silap mata, upacara yang panjang lebar, ataupun hipnotisme. Dia juga tidak menggunakan sebarang lambang, objek, atau mengikut adat kepercayaan karut. Sebaliknya, perhatikan bagaimana Yesus menyembuhkan dua orang lelaki yang buta. Bible menyatakan, “Yesus berasa kasihan terhadap mereka lalu menyentuh mata mereka. Dengan serta-merta, mereka dapat melihat semula, lalu mereka mengikutnya.” (Matius 20:29-34) Dia tidak perlu melakukan upacara atau pertunjukan yang luar biasa. Semuanya dilakukan dengan ringkas dan di hadapan banyak saksi. Memang, ini berbeza sekali dengan “penyembuhan” atau “mukjizat” hari ini. Kebanyakannya mungkin memerlukan persiapan atau peralatan khas, dan ada pula yang mesti dilakukan secara rahsia.​—Markus 5:24-29; Lukas 7:11-15.

Ada kalanya, Yesus memuji iman orang yang disembuhkannya. Tetapi, mukjizat Yesus tidak bergantung pada iman seseorang. Contohnya, semasa dia berada di Kapernaum di Galilea, “orang ramai membawa banyak orang yang dirasuk roh-roh jahat kepadanya. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit.”​—Matius 8:16.

Tujuan Yesus melakukan mukjizat adalah untuk membantu orang dan bukannya untuk menghiburkan mereka. (Markus 10:46-52; Lukas 23:8) Yesus juga tidak menggunakan mukjizat demi manfaatnya atau untuk mengaut keuntungan.​—Matius 4:2-4; 10:8.

Ketepatan Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes

Kisah tentang mukjizat Yesus dicatatkan dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Dapatkah kita mempercayainya? Apakah bukti-bukti yang dapat membina keyakinan kita? Mari kita kajinya bersama.

Seperti yang dinyatakan tadi, mukjizat Yesus dilakukan di hadapan banyak saksi. Semasa catatan terawal tentang mukjizat Yesus ditulis, kebanyakan saksi yang melihat peristiwa itu masih hidup. Buku The Miracles and the Resurrection berkata, “Memang tidak adil untuk menuduh bahawa penulis [buku Matius, Markus, Lukas, Yohanes] sedang . . . membuat-buat cerita tentang mukjizat demi menyebarkan agama mereka. . . . Mereka hanya mahu mencatatkan peristiwa yang berlaku dengan jujur.”

Orang Yahudi yang menentang Yesus juga tidak pernah mempersoalkan mukjizat Yesus. Mereka hanya mempersoalkan kuasanya untuk melakukan mukjizat. (Markus 3:22-26) Pada kemudian hari, tiada penentang yang dapat mempertikaikan hakikat bahawa mukjizat Yesus pernah berlaku. Sebaliknya, terdapat rujukan pada abad pertama dan kedua Masihi yang mengesahkan bahawa Yesus telah membuat banyak mukjizat. Jelaslah, catatan Bible tentang mukjizat Yesus memang dapat dipercayai.

Lelaki Di Sebalik Mukjizat-Mukjizat Itu

Selain mengetahui mukjizat Yesus, kita juga mahu mengetahui sifat-sifatnya dengan lebih baik. Bible sering menggambarkan Yesus sebagai seorang yang pengasih, berbelas kasihan, dan mengambil berat tentang orang lain.

Contohnya, semasa seorang pesakit kusta mendekati Yesus dan merayu agar disembuhkan, Bible kata bahawa “Yesus mengasihaninya.” Kemudian, dia menghulurkan tangannya dan menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Lelaki itu disembuhkan pada saat itu juga. (Markus 1:40-42) Yesus bukan sahaja menggunakan kuasa Tuhan untuk melakukan mukjizat, tetapi dia juga melakukannya dengan penuh kasih dan empati.

Satu lagi contoh yang menyerlahkan sifat Yesus adalah semasa anak seorang balu dari Nain meninggal. Oleh sebab dia ialah satu-satunya anak balu itu, Yesus “berasa kasihan” lalu berkata kepada wanita itu, “Janganlah menangis.” Kemudian, Yesus telah membangkitkan anak lelaki itu.​—Lukas 7:11-15.

Kisah tentang mukjizat Yesus sangat menyentuh hati, bukan? Yesus didorong untuk membantu orang kerana dia “berasa kasihan” terhadap mereka. Bible kata, “Yesus Kristus tetap sama, baik semalam, hari ini, mahupun selama-lamanya.” (Ibrani 13:8) Sebagai Raja di syurga, Yesus bersedia untuk menggunakan kuasa daripada Tuhan dalam cara yang jauh lebih hebat. Ya, mukjizat-mukjizat yang kita baca bukan sekadar catatan sejarah. Pada masa depan, dia akan melakukan mukjizat di seluas bumi untuk menyembuhkan semua manusia yang taat. Saksi-Saksi Yehuwa berbesar hati untuk membantu anda belajar lebih banyak tentang masa depan yang indah ini.

[Gambar pada muka surat 4, 5]

Mukjizat Yesus membuktikan “keagungan kuasa Tuhan”

[Gambar pada muka surat 7]

Yesus sangat pengasih