Lompat ke kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Memandangkan Bible tidak menyebut tentang minum ucap selamat, mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa tidak melakukan hal ini?

Perbuatan minum ucap selamat yang biasanya dilakukan dengan wain (atau minuman alkohol yang lain) ialah suatu amalan yang biasa di banyak negara. Di sesetengah tempat, orang mengangkat dan menyentuh gelas mereka dengan gelas orang lain. Kemudian, mereka mungkin memberikan ucapan seperti, “Moga panjang umur,” atau “Moga anda kekal bahagia,” dan lain-lain. Orang lain di jamuan itu juga akan mengangkat gelas mereka lalu minum. Bagi kebanyakan orang, amalan ini nampaknya tidak berbahaya.

Sebenarnya, semua orang termasuk Saksi-Saksi Yehuwa mahu orang lain hidup bahagia dan menikmati kesihatan yang baik. Badan pimpinan pada abad pertama juga mengakhiri surat mereka dengan kata-kata ucapan seperti, “Semoga saudara sekalian sihat selalu.” (Kisah 15:29) Selain itu, penyembah Tuhan pernah mengucapkan kata-kata seperti, “Semoga tuanku . . . hidup selama-lamanya” atau “Daulat tuanku.”​—1 Raja-Raja 1:31; Nehemia 2:3.

Tetapi, terdapat sebab yang penting mengapa Saksi-Saksi Yehuwa mengelakkan amalan minum ucap selamat. Hal ini berkaitan dengan asal usulnya. Menara Pengawal 1 Januari 1968 memetik The Encyclopædia Britannica (1910), Jilid 13, muka surat 121 yang menyatakan, “Besar kemungkinan adat untuk minum sambil mengucapkan agar seseorang mempunyai kesihatan yang baik berasal daripada upacara agama kuno atau upacara orang mati. Pada waktu makan, orang Yunani dan Roma menuangkan air persembahan kepada dewa dewi mereka, dan semasa upacara tertentu, mereka mengajukan minum ucap selamat kepada dewa dewi mereka dan orang mati.” Rujukan itu menambah, “Maka, adat minum ucap selamat memang mempunyai kaitan rapat dengan upacara pada zaman kuno.”

Selain itu, buku International Handbook on Alcohol and Culture yang diterbitkan pada 1995 menyatakan, “[Amalan minum ucap selamat] mungkin berasal daripada upacara agama palsu zaman kuno. Semasa upacara itu, orang akan mempersembahkan darah atau wain kepada tuhan-tuhan mereka agar hajat mereka dikabulkan. Kemudian mereka akan berkata, ‘Semoga panjang umur!’ atau ‘Semoga anda sihat sejahtera!’”

Jadi, adakah hal ini bermaksud bahawa semua objek, amalan, corak, atau rekaan yang mempunyai asal usul agama palsu zaman kuno dilarang bagi orang Kristian sejati? Tidak semestinya. Salah satu contoh ialah buah delima. Sebuah ensiklopedia Bible menyatakan, “Buah delima juga digunakan sebagai simbol yang suci dalam agama kafir.” Namun begitu, Tuhan mengarahkan agar corak buah delima digunakan untuk menghiasi pakaian imam agung dan tiang tembaga di Rumah Tuhan. (Keluaran 28:33; 2 Raja-Raja 25:17) Satu lagi contoh objek yang mempunyai asal usul keagamaan ialah cincin kahwin. Tetapi pada hari ini, kebanyakan orang hanya memandang cincin kahwin sebagai tanda bahawa seseorang itu sudah berpunya.

Fikirkan juga penggunaan wain dalam upacara keagamaan. Contohnya, orang Sikhem yang menyembah Baal “makan dan minum serta mengutuk Abimelekh [anak Gideon] di kuil dewa mereka.” (Hakim-Hakim 9:22-28) Sudah pasti umat Yehuwa yang setia tidak akan turut minum wain pada masa itu kerana pesta itu berkaitan dengan penyembahan palsu. Jika umat Yehuwa ikut minum wain sambil menyembah tuhan palsu, ini dianggap sebagai perbuatan khianat. Hal ini telah berlaku kepada orang Israel yang tidak setia pada zaman Amos. Bible kata, ‘Di setiap tempat ibadat [atau, mazbah] dan di rumah tuhan mereka, mereka minum wain.’ (Amos 2:8) Sememangnya, mereka telah memberontak terhadap Yehuwa dan menyakiti hati-Nya. (Yeremia 7:18) Jadi, wajarkah penyembah Tuhan mengajukan wain atau minuman lain ke syurga untuk memohon rahmat daripada kuasa yang misteri? Pasti tidak! Tetapi, bagaimana pula dengan amalan mengangkat tangan ke syurga?

Amalan mengangkat tangan ke syurga tidak salah jika ditujukan kepada Tuhan yang benar. Pada zaman dahulu, Bible kata, ‘Salomo berdiri di hadapan mazbah Yehuwa dan mengangkat kedua-dua tangannya ke langit lalu berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tidak ada Tuhan lain seperti Engkau. Semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga, ya semoga Engkau mendengar dan mengampuni mereka.”’ (1 Raja-Raja 8:22, 23, 30) Begitu juga, “[Ezra] memuji Yehuwa, Tuhan yang agung dan benar. Mereka semua pun mengangkat tangan dan berkata, ‘Amin! Amin!’ Kemudian mereka membongkok dan bersujud kepada Yehuwa.” (Nehemia 8:6; 1 Timotius 2:8) Perbuatan mereka tidak dikutuk Tuhan kerana mereka bukannya mengangkat tangan dan memohon berkat daripada dewa nasib.​—Yesaya 65:11.

Hari ini, orang yang minum ucap selamat mungkin tidak mengaitkan perbuatan mereka dengan memohon berkat daripada dewa dewi. Namun, mereka juga tidak dapat menjelaskan mengapa mereka mengajukan gelas mereka ke syurga. Meskipun orang duniawi tidak kisah tentang asal usul sesuatu perbuatan, orang Kristian sejati perlu membuat pertimbangan yang baik tentang hal ini. Kita tidak mahu ikut perbuatan orang lain secara membabi buta.

Contohnya, ramai orang menabik bendera atau lambang negara. Mereka mungkin melakukannya tanpa menyedari bahawa hal ini ialah suatu bentuk penyembahan dan bercanggah dengan ajaran Bible. (Keluaran 20:4, 5; 1 Yohanes 5:21) Biarpun orang Kristian sejati tidak menghalang orang lain daripada berbuat demikian, kita tidak akan ikut menabik bendera atau lambang negara. Namun, kita sentiasa berusaha menunjukkan hormat dan bersikap sopan dalam situasi sedemikian. Begitu juga, kebanyakan orang hari ini tidak menganggap minum ucap selamat sebagai upacara keagamaan. Tetapi, memandangkan mengajukan gelas ke syurga boleh dipandang sebagai permohonan rahmat daripada tuhan palsu, orang Kristian tidak mahu terlibat dalam amalan sedemikian.​—Keluaran 23:2.