Lompat ke kandungan

Mengapakah Wanita Harus Tunduk kepada Lelaki?

Mengapakah Wanita Harus Tunduk kepada Lelaki?

Mengapakah Wanita Harus Tunduk kepada Lelaki?

“Lelaki ialah kepala wanita.”​—1 KOR. 11:3.

1, 2. (a) Apakah yang ditulis oleh Rasul Paulus tentang aturan kekepalaan? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

YEHUWA telah menetapkan aturan kekepalaan. Rasul Paulus kata bahawa “Kristus ialah kepala setiap lelaki” dan “Tuhan ialah kepala Kristus.” (1 Kor. 11:3) Dalam rencana sebelum ini, kita belajar bahawa Yesus bangga untuk tunduk kepada kepalanya, iaitu Tuhan Yehuwa. Saudara Kristian juga rela tunduk kepada Kristus sebagai kepala mereka. Kristus ialah kepala yang baik hati, berbelas kasihan, murah hati, dan lemah lembut. Maka, saudara di sidang juga harus meniru teladan Yesus semasa melayan orang lain, terutamanya isteri mereka.

2 Tetapi siapakah kepala wanita? Paulus menulis, “Lelaki ialah kepala wanita.” Apakah sepatutnya pandangan wanita terhadap hal itu? Bagaimana pula jika suami mereka tidak seiman? Adakah wanita harus berdiam diri dan langsung tidak boleh menyuarakan pandangan mereka? Apakah sifat-sifat yang membuat seorang wanita layak dipuji?

“Tidak Baik Lelaki Itu Hidup Seorang Diri”

3, 4. Apakah hasilnya jika suami isteri mengikut aturan kekepalaan?

3 Selepas Adam diciptakan, Tuhan Yehuwa berfirman, “Tidak baik lelaki itu hidup seorang diri. Aku akan memberinya seorang teman yang sesuai untuk menolongnya.” Adam sangat gembira selepas Hawa diciptakan. Dia berkata, “Inilah dia, tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku.” (Kej. 2:18-24) Adam dan Hawa berpeluang menjadi ibu bapa kepada anak-anak yang sempurna dan tinggal di bumi firdaus buat selama-lamanya.

4 Selepas Adam dan Hawa memberontak, bumi firdaus hilang dan semua manusia menjadi tidak sempurna. (Baca Roma 5:12.) Biarpun lelaki tidak lagi dapat menjadi kepala yang sempurna dan wanita tidak dapat menunjukkan ketundukan dengan sempurna, aturan kekepalaan yang diasaskan oleh Tuhan tidak berubah. Sepertimana Yesus sentiasa bergembira di hadirat kepalanya, iaitu Tuhan, suami dan isteri yang berusaha sedaya upaya untuk mematuhi aturan kekepalaan akan rasa bahagia serta menikmati banyak manfaat.​—Ams. 8:30.

5. Mengapakah suami isteri harus menerapkan nasihat di Roma 12:10?

5 Jika pasangan suami isteri inginkan perkahwinan yang berjaya, mereka perlu menerapkan nasihat berikut: “Sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain, kamu juga harus saling mengasihi. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Rm. 12:10) Selain itu, suami isteri juga harus saling menunjukkan kebaikan hati, belas kasihan, dan mengampuni dengan rela hati.​—Ef. 4:32.

Pasangan Hidup yang Tidak Seiman

6, 7. Apakah hasil baik yang mungkin diraih jika seorang isteri taat kepada suaminya yang tidak seiman?

6 Andai kata suami anda tidak seiman, bagaimanakah anda harus melayaninya? Bible kata, “Hai para isteri, taatilah suami kamu, supaya jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa, kerana mereka sudah menyaksikan kelakuan kamu yang murni dan sikap hormat kamu yang mendalam.”—1 Ptr. 3:1, 2.

7 Firman Tuhan menggalakkan para isteri untuk taat kepada suami mereka. Kelakuan isteri dapat mendorong suami yang tidak seiman untuk mengetahui mengapa isterinya menunjukkan sifat-sifat yang baik. Hasilnya, dia mungkin tergerak untuk belajar Bible dan dibaptis.

8, 9. Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang isteri Kristian jika suaminya tidak menerima kebenaran?

8 Bagaimana pula jika suaminya enggan menerima kebenaran? Bible tetap menggalakkan isteri untuk berusaha menunjukkan sifat-sifat yang baik. Sebagai contoh, 1 Korintus 13:4 kata, “Kasih itu sabar.” Isteri Kristian juga harus berusaha untuk ‘sentiasa rendah hati dan lemah lembut.’ (Ef. 4:2) Biarpun hal itu tidak senang, mereka dapat menunjukkan sifat-sifat baik itu dengan bantuan kuasa suci Tuhan.

9 Paulus kata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” (Flp. 4:13) Kuasa suci Tuhan membantu kita melakukan hal-hal yang di luar kemampuan sendiri. Sebagai contoh, jika pasangan kita melayan kita dengan kasar, kita mungkin mahu membalas dendam. Namun Bible menasihati semua orang Kristian, “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan. . . . Ada tertulis, ‘Yehuwa berfirman, “Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.”’” (Rm. 12:17-19) Begitu juga, 1 Tesalonika 5:15 kata, “Kamu harus sentiasa berusaha melakukan apa yang baik terhadap satu sama lain dan terhadap semua orang yang lain.” Dengan bantuan kuasa suci Yehuwa, tiada apa-apa yang mustahil bagi kita. Maka kita harus sentiasa berdoa memohon bantuan kuasa suci-Nya!

10. Bagaimanakah Yesus memperlakukan orang yang melayannya dengan buruk?

10 Teladan Yesus mengajar kita cara untuk melayan orang yang bersikap buruk terhadap kita. Ayat di 1 Petrus 2:23 kata, “Semasa dia dihina, dia tidak membalas dengan hinaan. Semasa dia menderita, dia tidak mengancam orang, tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi dengan adil.” Sudah pasti kita mahu meniru teladan Yesus. Semua orang Kristian digalakkan untuk “berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati. Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan atau hinaan dengan hinaan.”​—1 Ptr. 3:8, 9.

Tidak Boleh Menyuarakan Pendapat?

11. Apakah penghormatan besar yang diberikan kepada kaum wanita?

11 Adakah ketundukan kepada suami bermaksud seorang isteri harus sentiasa berdiam diri dan tidak boleh menyuarakan pendapatnya? Tidak. Yehuwa memberi wanita banyak penghormatan. Contohnya, 144,000 orang yang dipilih untuk menjadi raja dan imam bersama Yesus di syurga juga merangkumi kaum wanita. (Gal. 3:26-29) Sememangnya, bagi Yehuwa, kaum wanita layak diberi penghormatan dan kuasa. Mari kita lihat beberapa contoh.

12, 13. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa sesetengah wanita telah bernubuat.

12 Pada zaman Bible, para wanita juga bernubuat. Yoel 2:28, 29 kata, “Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang. Anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat. . . . Pada masa itu, Aku juga akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku.”

13 Semasa Pentakosta 33 M, terdapat 120 orang murid Yesus yang berkumpul di Yerusalem. Tuhan telah mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas mereka semua. Bagaimanakah kita tahu hal ini merangkumi kaum wanita? Pada masa itu, Petrus telah memetik nubuat Yoel mengenai lelaki dan wanita yang setia. Petrus menyatakan, ‘Hal ini telah dinubuatkan melalui Nabi Yoel yang berkata, “Tuhan berfirman, ‘Pada hari-hari terakhir, Aku akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang, lalu anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat. Pada hari itu, Aku juga akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku, lalu mereka akan bernubuat.’”’​—Kis. 2:16-18.

14. Apakah peranan para wanita dalam kerja penyebaran pada abad pertama?

14 Pada abad pertama, para wanita menginjil dan menyokong kerja penyebaran dalam pelbagai cara. (Luk. 8:1-3) Contohnya, Rasul Paulus kata bahawa Fibi “berkhidmat di sidang di Kenkrea.” Semasa Paulus menyampaikan salamnya kepada rakan seiman, dia juga menyebut beberapa wanita yang setia, termasuk ‘Trifena dan Trifosa, yang bekerja keras untuk Tuan Yesus.’ Selain itu, dia menulis, “Sampaikan salam kepada Persis yang kita kasihi, kerana dia sudah bekerja keras untuk Tuan Yesus.”​—Rm. 16:1, 12.

15. Apakah peranan para wanita hari ini?

15 Hari ini, terdapat lebih daripada tujuh juta orang yang menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan di serata dunia. Sebahagian besar daripada mereka ialah wanita. (Mat. 24:14) Ramai antara mereka ialah pekhidmat sepenuh masa, mubaligh, dan ahli Bethel. Daud pernah menulis, “Yehuwa memberikan perintah kepada umat-Nya; wanita-wanita yang mengisytiharkan berita baik bagaikan angkatan tentera yang besar.” (Mzm. 68:11) Sememangnya hal ini terbukti benar! Yehuwa menghargai peranan wanita dalam pelaksanaan kehendak-Nya. Jelaslah, ketundukan para wanita tidak bermaksud mereka harus berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa.

Dua Wanita yang Berani Bersuara

16, 17. Bagaimanakah contoh Sara menunjukkan bahawa kaum wanita boleh menyuarakan pendapat mereka?

16 Memandangkan Yehuwa memberi kaum wanita banyak peluang untuk berkhidmat, para suami yang bijak akan menanya pendapat isteri sebelum membuat keputusan yang besar. Bible menyebut beberapa kisah wanita yang menyuarakan pendapat mereka dan masih mendapat perkenan Tuhan. Mari kita lihat dua contoh.

17 Sara, isteri Abraham, berulang kali menyuruh suaminya untuk mengusir Hagar dan anaknya kerana mereka tidak menunjukkan hormat. Bible kata, “Abraham berasa susah hati semasa mendengar apa yang dikatakan oleh Sara.” Namun Tuhan berkata kepada Abraham, “Janganlah susah hati kerana apa yang dikatakan oleh Sara tentang anakmu dan hamba perempuanmu. Dengarlah cakap Sara.” (Kej. 21:8-12) Abraham mematuhi Yehuwa, lalu mendengar kata-kata Sara dan menunaikan permintaannya.

18. Apakah yang dilakukan Abigail tanpa pengetahuan suaminya?

18 Fikirkan juga contoh Abigail, isteri Nabal. Semasa Daud melarikan diri daripada Raja Saul, dia berkhemah dekat ternakan Nabal. Daud dan anak buahnya tidak pernah mencuri ternakan Nabal, sebaliknya mereka melindungi harta miliknya. Pada suatu hari, apabila anak buah Daud meminta makanan daripada Nabal, dia bersikap “kasar dan berkelakuan buruk.” Dia bahkan menghina mereka. Bible kata “dia memang tidak berguna” dan “orangnya juga tidak berakal.” Apakah yang dilakukan oleh Abigail selepas mendengar apa yang belaku? Tanpa memberitahu suaminya, “Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah bekas besar berisi wain, lima ekor biri-biri yang telah disembelih, lima buah bekas biji-bijian yang telah dipanggang, 100 keping kuih kismis, dan 200 keping kuih buah ara” lalu memberikan semua itu kepada Daud dan anak buahnya. Adakah tindakan Abigail wajar? Ya. Yehuwa tidak menghukum Abigail, sebaliknya Bible kata bahawa Yehuwa telah menghukum Nabal. Pada kemudian hari, Daud telah mengahwini Abigail.​—1 Sam. 25:3, 14-19, 23-25, 38-42.

Wanita yang Layak Dipuji

19, 20. Apakah yang membuat seorang wanita betul-betul layak dipuji?

19 Bible memuji isteri yang bertindak selaras dengan haluan Yehuwa. Buku Amsal menyatakan, “Siapakah yang dapat menemui isteri yang cekap? Isteri yang cekap jauh lebih berharga daripada batu permata. Suaminya mempercayainya dengan sepenuh hati, dan suaminya tidak kekurangan apa-apa pun. Sepanjang hayatnya, dia sentiasa berbuat baik terhadap suaminya. Dia tidak berbuat jahat terhadap suaminya. Dia mengucapkan kata-kata bijak; dia sentiasa menunjukkan kebaikan semasa dia mengajar. Dia mengawasi kegiatan rumah tangganya, dan dia tidak malas untuk melakukan kerjanya. Anak-anaknya bangun dan memuliakannya; suaminya bangkit dan memujinya.”​—Ams. 31:10-12, 26-28.

20 Apakah yang membuat seorang wanita betul-betul layak dipuji? Amsal 31:30 kata, “Kejelitaan menipu mata dan kecantikan tidak berkekalan, tetapi wanita yang takut akan Yehuwa pasti dipuji.” Sudah pasti wanita yang takut kepada Yehuwa akan mematuhi aturan kekepalaan. Bible mengingatkan kita, “Kristus ialah kepala setiap lelaki; lelaki ialah kepala wanita; dan Tuhan ialah kepala Kristus.”​—1 Kor. 11:3.

Menghargai Kurniaan Tuhan

21, 22. (a) Mengapakah pasangan Kristian patut meluahkan kesyukuran kepada Tuhan? (b) Mengapakah kita patut menghormati aturan kekepalaan? (Lihat kotak pada muka surat 17.)

21 Pasangan yang berkahwin mempunyai banyak sebab untuk meluahkan kesyukuran kepada Tuhan. Melalui aturan perkahwinan, mereka dapat menjadi satu dan bersama-sama menyembah Tuhan. (Rut 1:9; Mi. 6:8) Jika mereka sentiasa hidup mengikut haluan Yehuwa, mereka dapat menikmati kebahagiaan sejati dan “sukacita daripada Yehuwa,” bahkan dalam dunia yang penuh dengan cabaran.—Neh. 8:10.

22 Seorang suami yang mengasihi isterinya akan bersikap lemah lembut dan bertimbang rasa. Seorang isteri yang menyokong dan menghormati suaminya dengan mendalam pasti akan lebih dikasihi oleh suaminya. Sudah pasti perkahwinan sebegini akan memuliakan Yehuwa, Tuhan kita yang layak dipuji!

Ingatkah Anda?

• Apakah aturan kekepalaan yang ditetapkan Yehuwa?

• Mengapakah suami isteri harus saling menghormati?

• Bagaimanakah isteri Kristian patut melayan suaminya yang tidak seiman?

• Mengapakah suami patut meminta pendapat isteri sebelum membuat keputusan yang besar?

[Soalan Pembelajaran]

[Kotak]

Mengapakah Kita Harus Menghormati Kekuasaan?

Yehuwa telah memberi kuasa kepada semua makhluk ciptaan-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga. Tetapi Dia juga mahu kita mengikut aturan kekepalaan yang ditetapkan-Nya. Maka semua makhluk ciptaan Tuhan berpeluang menggunakan kebebasan memilih untuk memuliakan Tuhan dan berkhidmat kepada-Nya dengan bersatu padu.​—Mzm. 133:1.

Orang Kristian terurap perlu tunduk kepada kekuasaan Yesus. (Ef. 1:22, 23) Yesus juga perlu tunduk kepada kekuasaan Yehuwa. Bible kata, “Anak sendiri akan tunduk kepada Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya. Dengan ini, Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.” (1 Kor. 15:27, 28) Oleh itu, kita yang sudah membaktikan diri kepada Tuhan juga patut bekerjasama dengan aturan kekepalaan yang ditetapkan oleh Tuhan bagi sidang dan keluarga. (1 Kor. 11:3; Ibr. 13:17) Dengan berbuat demikian, kita akan mendapat manfaat dan menerima perkenan dan berkat Yehuwa.​—Yes. 48:17.

[Gambar]

Doa dapat membantu isteri Kristian menunjukkan sifat-sifat yang baik

[Gambar]

Yehuwa menghargai peranan wanita dalam kerja penyebaran