Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Berusahalah Untuk Mengekalkan Kedamaian

Berusahalah Untuk Mengekalkan Kedamaian

Berusahalah Untuk Mengekalkan Kedamaian

“Kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan.”​—RM. 14:19.

1, 2. Mengapakah kedamaian wujud antara Saksi-Saksi Yehuwa?

DI DALAM dunia hari ini, kedamaian sejati tidak wujud. Orang yang sebangsa dan sebahasa pun berpecah belah akibat perbezaan agama, politik, dan sosial. Tetapi Saksi-Saksi Yehuwa menikmati kedamaian sejagat meskipun mereka datang daripada “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa.”​—Why. 7:9.

2 Terdapat banyak sebab yang boleh menjelaskan mengapa kerukunan, atau kedamaian, wujud sesama kita. Sebab utama adalah kerana kita ‘hidup dalam kedamaian dengan Tuhan.’ Ya, kedamaian dinikmati kerana kita beriman pada korban tebusan Yesus. (Rm. 5:1; Ef. 1:7) Tambahan lagi, Yehuwa memberikan daya aktif kepada umat-Nya yang setia dan satu aspek buah daya aktif Tuhan ialah kedamaian. (Gal. 5:22) Selain itu, kita “bukan lagi milik dunia.” (Yoh. 15:19) Setelah “menempa pedang menjadi bajak,” kita tidak mengambil bahagian dalam perang atau hal ehwal politik.​—Yes. 2:4.

3. Kedamaian membolehkan kita melakukan apa, dan apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Di sidang, kita “saling mengasihi” walaupun kita berasal daripada pelbagai latar, dan mempunyai adat dan cara pemikiran yang berbeza. (Yoh. 15:17) Kita bukan sekadar tidak menyakiti saudara saudari kita. Sebaliknya, kedamaian membolehkan kita “berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman.” (Gal. 6:10) Kedamaian yang dinikmati dengan Yehuwa dan saudara saudari kita sangat berharga dan harus dipelihara. Sekarang, kita akan bincangkan bagaimana kita dapat mengekalkan kedamaian di dalam sidang.

Apabila Kita Tersandung

4. Jika kita telah menyinggung perasaan seseorang, apakah yang boleh kita lakukan untuk berdamai dengannya?

4 Yakobus menulis, “Kita semua sering membuat kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dengan kata-katanya, dia orang yang sempurna.” (Yak. 3:2) Hal ini menunjukkan bahawa perselisihan faham antara saudara saudari tentu akan timbul. (Flp. 4:2, 3) Namun demikian, masalah yang timbul boleh diselesaikan tanpa menjejaskan kedamaian dalam sidang. Sebagai contoh, apakah yang boleh kita lakukan jika kita telah menyinggung perasaan orang lain? Mari kita baca nasihat yang diberikan oleh Yesus.​—Baca Matius 5:23, 24.

5. Apakah yang boleh kita lakukan untuk berdamai dengan seseorang yang telah menyinggung perasaan kita?

5 Bagaimana pula jika orang lain telah menyinggung perasaan kita? Patutkah kita menunggu orang itu untuk meminta maaf daripada kita? Ayat di 1 Korintus 13:5 menyatakan, “[Kasih] tidak mendendam.” Maka, jika seseorang telah menyinggung perasaan kita, kita boleh menunjukkan bahawa kita mahu berdamai dengan memaafkannya dan melupakan masalah tersebut. (Baca Kolose 3:13.) Inilah langkah terbaik yang boleh diambil jika masalah yang timbul kecil sahaja. Hal ini dapat membantu kita untuk mengekalkan perpaduan dan mempunyai ketenangan hati dan minda. Bible menyatakan, ‘Orang bijak mengampunkan kesalahan orang.’​—Ams. 19:11.

6. Apakah yang boleh kita lakukan jika kita tidak dapat melupakan kesalahan yang dilakukan terhadap kita?

6 Bagaimana pula jika kita tidak dapat melupakan kesalahan yang dilakukan terhadap kita? Adalah tidak bijak jika kita mengumpat kerana kedamaian di dalam sidang boleh terancam. Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul? Matius 18:15 (ABB) menyatakan, “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu.” Walaupun konteks di Matius 18:15-17 merujuk kepada dosa yang serius, prinsip di ayat 15 boleh diterapkan dalam situasi ini. Maka, jika kita mempunyai masalah dengan seseorang, kita patut membincangkan masalah itu dengan dia sahaja. Tujuannya adalah supaya kita dapat berdamai semula dengannya. *

7. Mengapakah masalah yang timbul harus diselesaikan dengan segera?

7 Rasul Paulus menulis, “Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. Janganlah berikan peluang kepada Iblis.” (Ef. 4:26, 27, ABB) Ya, jika kita ingin mengekalkan kedamaian, kita harus menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera. Jika kita tidak berbuat demikian, masalah tersebut akan membesar dan menjadi lebih rumit, seperti luka yang membusuk dan bernanah kerana tidak dirawat dengan segera. Kita tidak patut membiarkan keangkuhan, kecemburuan, atau cinta akan wang untuk menghalang kita daripada menyelesaikan masalah yang timbul.​—Yak. 4:1-6.

Apabila Masalah yang Timbul Melibatkan Banyak Orang

8, 9. (a) Apakah perbalahan yang timbul di dalam sidang Kristian di Roma? (b) Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus kepada orang Kristian di Roma?

8 Sesetengah masalah yang timbul dalam sidang melibatkan ramai orang. Hal ini telah berlaku di dalam sidang Kristian di Roma. Sesetengah saudara saudari di sidang memandang rendah orang yang mempunyai hati nurani yang lemah, atau yang terlalu sensitif. Dan mereka yang mempunyai hati nurani yang lemah pula menghakimi orang yang mempunyai hati nurani yang lebih kuat. Tetapi perbalahan mereka semua berkisarkan pilihan peribadi. Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus kepada mereka?​—Rm. 14:1-6.

9 Paulus menasihati kedua-dua kumpulan orang yang terlibat. Mereka yang mempunyai hati nurani yang lebih kuat faham bahawa mereka tidak perlu mematuhi Hukum Musa lagi. Jadi Paulus menasihati mereka supaya tidak memandang rendah saudara saudari lain yang mempunyai hati nurani yang lemah. (Rm. 14:2, 10) Pemikiran dan perbuatan sebegini boleh menyebabkan mereka yang mempunyai hati nurani yang lemah untuk meninggalkan Yehuwa. Paulus berkata, ‘Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan, hanya kerana soal makanan. Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa [“tersandung,” NW].’ (Rm. 14:14, 15, 20, 21, ABB) Sebaliknya, mereka yang mempunyai hati nurani yang lemah berfikir bahawa adalah salah untuk makan makanan yang dilarang oleh Hukum Musa. Paulus menasihati mereka supaya tidak menghakimi orang lain. (Rm. 14:13) Dia berkata, “Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya.” (Rm. 12:3) Selepas menasihati kedua-dua kumpulan orang yang terlibat, Paulus menulis, “Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman.”​—Rm. 14:19, ABB.

10. Seperti sidang Kristian di Roma, apakah yang perlu kita lakukan untuk menyelesaikan perselisihan faham yang timbul hari ini?

10 Sudah tentu sidang di Roma telah menerima dan menerapkan nasihat yang diberikan oleh Paulus. Hari ini, kita juga boleh menyelesaikan masalah yang timbul di dalam sidang dengan cara yang memperlihatkan kasih. Seperti di dalam sidang Roma, semua pihak yang terlibat dalam suatu masalah harus mengikut nasihat Bible dan membuat penyesuaian agar mereka dapat “hidup rukun.”​—Mrk. 9:50.

Cara Penatua Memberikan Bantuan

11. Apakah yang patut dilakukan oleh seorang penatua jika seseorang mempunyai masalah dengan orang lain dan mahu meluahkan perasaannya?

11 Bagaimana pula jika seorang individu mempunyai masalah dengan ahli keluarga atau dengan orang Kristian lain dan mahu meluahkan kerunsingannya kepada seorang penatua? Amsal 21:13 (ABB) menyatakan, “Orang yang tidak mahu mendengarkan keluhan orang miskin, tidak akan diperhatikan apabila dia sendiri minta pertolongan.” Sudah tentu para penatua akan mendengar keluhan saudara saudari di sidang. Tetapi satu lagi ayat Bible memberikan amaran berikut: “Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa.” (Ams. 18:17, ABB) Seorang penatua harus berhati-hati agar tidak membuat keputusan sebelum melakukan penyelidikan. Selepas mendengarkan masalah seseorang, penatua boleh bertanya sama ada masalah itu telah dibincangkan dengan pihak yang terlibat. Penatua juga boleh menggunakan Bible untuk menunjukkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan kedamaian.

12. Nyatakan tiga contoh Bible yang menunjukkan kesan buruk yang terhasil akibat bertindak secara melulu.

12 Tiga contoh dalam Bible menunjukkan bahaya yang boleh timbul jika kita bertindak secara terburu-buru selepas mendengar cerita daripada satu pihak sahaja. Potifar mempercayai cerita isterinya bahawa Yusuf telah mencuba untuk merogolnya. Oleh sebab dia sangat marah, Potifar telah memenjarakan Yusuf. (Kej. 39:17-20) Raja Daud mempercayai Ziba, yang berkata bahawa Mefiboset berpihak dengan musuh Daud. Daud menjawab secara terburu-buru, “Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu.” (2 Sam. 16:4; 19:25-27) Raja Artahsasta diberitahu bahawa orang Yahudi membina semula tembok Yerusalem dengan tujuan untuk memberontak melawannya. Raja mempercayai tuduhan palsu itu dan mengarahkan supaya kerja pembinaan dihentikan. Hasilnya, orang Yahudi menghentikan kerja membaik pulih Rumah Tuhan. (Ezr. 4:11-13, 23, 24) Penatua Kristian dengan bijaknya mendengarkan nasihat Paulus kepada Timotius dan tidak menghakimi orang tanpa melakukan pemeriksaan teliti terlebih dahulu.​—Baca 1 Timotius 5:21, 22.

13, 14. (a) Semasa perselisihan faham timbul antara dua orang individu, apakah yang harus kita ingat? (b) Apakah yang dapat membantu para penatua mengadili masalah dengan betul?

13 Bible memberikan peringatan yang berikut: “Sesiapa yang menyangka dirinya mengetahui segala-galanya, sebenarnya tidak mengetahui apa yang seharusnya diketahui.” (1 Kor. 8:2, ABB) Kita mungkin berasa bahawa kita tahu apa yang telah berlaku dalam perbalahan antara dua orang individu. Tetapi kita harus ingat bahawa kita tidak memiliki semua fakta. Lagipun, kita mungkin tidak mengetahui atau memahami latar belakang mereka. Maka, semasa mengadili sesuatu masalah, para penatua harus berhati-hati supaya tidak dipengaruhi oleh penipuan atau khabar angin yang disebarkan. Mereka juga tidak patut percaya seseorang semata-mata kerana dia kaya. Sebagai Hakim yang dilantik oleh Tuhan, Yesus Kristus “tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang.” (Yes. 11:3, 4) Sebaliknya, Yesus bergantung pada bimbingan daya aktif Yehuwa. Para penatua juga mesti dibimbing oleh daya aktif Tuhan.

14 Sebelum mengadili sesuatu masalah, para penatua perlu berdoa untuk mendapatkan bantuan daya aktif Tuhan. Mereka mengizinkan daya aktif Tuhan untuk membimbing mereka dengan bergantung pada pedoman Bible dan bahan bacaan yang dikeluarkan oleh hamba yang setia dan bijaksana.​—Mat. 24:45.

Mengekalkan Hubungan Damai dengan Tuhan

15. Bilakah kita mesti memberitahu para penatua tentang dosa serius yang dilakukan oleh seseorang?

15 Walaupun kita digalakkan untuk mengekalkan kedamaian dengan orang lain, Bible juga menyatakan bahawa “kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni.” (Yak. 3:17) Hal ini menunjukkan bahawa kemurnian adalah lebih penting daripada kedamaian. Kemurnian bererti kita menjunjung piawaian moral yang ditetapkan oleh Tuhan dan hidup selaras dengan kehendak-Nya. Jadi, jika kita tahu bahawa seorang saudara atau saudari telah melakukan dosa yang serius, kita patut menggalakkannya untuk mengakui dosanya kepada para penatua. (1 Kor. 6:9, 10; Yak. 5:14-16) Jika dia enggan berbuat demikian, kita bertanggungjawab untuk memberitahu para penatua apa yang telah berlaku. Dalam situasi ini, jika kita memilih untuk berdiam diri kerana mahu berdamai dengan si pendosa, kita juga akan berdosa kerana “bersubahat” dengannya.​—Baca Imamat 5:1.

16. Apakah yang dapat kita pelajari daripada peristiwa yang berlaku antara Yehu dengan Raja Yoram?

16 Kisah Bible tentang Yehu menunjukkan bahawa keadilbenaran Tuhan adalah lebih penting daripada kedamaian. Tuhan telah mengutus Yehu untuk menjatuhkan hukuman ke atas keluarga Raja Ahab. Raja Yoram yang fasiq, iaitu anak Ahab dan Izebel, telah menaiki kereta kuda untuk bertemu dengan Yehu lalu berkata, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?” Apakah jawapan Yehu? Dia berkata, ‘Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?’ (2 Raj. 9:22) Dengan itu, Yehu mengambil busurnya dan memanah Yoram. Sepertimana Yehu mengambil tindakan tegas, para penatua tidak boleh berdiam diri semata-mata kerana ingin berdamai dengan seorang pendosa yang enggan bertaubat. Mereka akan menyingkirkan pendosa itu supaya saudara saudari di sidang dapat mengekalkan hubungan yang damai dengan Tuhan.​—1 Kor. 5:1, 2, 11-13.

17. Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Kristian bagi mengekalkan kedamaian?

17 Sering kali, masalah yang timbul antara orang Kristian tidak melibatkan dosa yang serius. Jadi, adalah lebih baik jika kita memperlihatkan kasih dan melupakan kesilapan saudara saudari kita. Bible menyatakan, “Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan.” (Ams. 10:12, ABB) Jika kita menurut nasihat Bible, kita dapat mengekalkan hubungan yang damai dengan Yehuwa dan semua saudara saudari di sidang.​—Mat. 6:14, 15.

Mereka yang Mengekalkan Kedamaian Diberkati

18, 19. Bagaimanakah Yehuwa memberkati usaha yang kita curahkan untuk mengekalkan kedamaian?

18 Yehuwa memberkati usaha yang kita curahkan untuk mengekalkan kedamaian. Kita dapat menikmati persahabatan yang intim dengan Yehuwa, dan dapat menyumbang kepada perpaduan dalam sidang. Semasa kita berbuat demikian, kita juga belajar untuk mengekalkan kedamaian dengan orang yang kita temui dalam kerja penyebaran. (Ef. 6:15) Kita dilatih untuk bersikap “ramah dengan semua orang” dan bersifat “baik dan sabar” meskipun menghadapi apa yang jahat.​—2 Tim. 2:24.

19 Jangan lupa, Bible menyatakan bahawa “orang akan dibangkitkan daripada kematian—orang baik, mahupun orang jahat.” (Kis. 24:15) Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa akan membangkitkan jutaan orang daripada pelbagai latar yang hidup pada tempoh masa yang berlainan “sejak dunia ini diciptakan.” (Luk. 11:50, 51) Kita diberikan penghormatan yang besar untuk mengajar mereka cara untuk mencintai kedamaian. Latihan yang kita terima sekarang akan membantu kita pada masa itu!

[Nota kaki]

^ per. 6 Bible juga membantu kita menangani masalah yang serius seperti fitnah dan penipuan. Sila lihat The Watchtower, 15 Oktober 1999, muka surat 17-22.

Apakah yang Telah Anda Pelajari?

• Jika kita telah menyinggung perasaan orang lain, apakah yang boleh kita lakukan untuk berdamai dengannya?

• Apakah yang boleh kita lakukan untuk berdamai dengan orang yang telah menyinggung perasaan kita?

• Apakah yang harus kita ingat apabila berlakunya perselisihan faham antara dua orang?

• Mengapakah kedamaian dengan Tuhan adalah lebih penting daripada kedamaian dengan orang lain?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 29]

Yehuwa mengasihi orang yang memaafkan orang lain