Internet—Gunakannya dengan Bijak
Internet—Gunakannya dengan Bijak
BERABAD-ABAD dahulu, rekaan percetakan telah mencetuskan suatu revolusi dalam cara manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Pada zaman moden ini, kemunculan Internet juga telah membawa perubahan yang besar ke atas kehidupan manusia di seluruh dunia. Dengan menggunakan “lebuh raya maklumat” ini, anda dapat memperoleh banyak fakta, statistik, dan pendapat yang menyentuh pelbagai subjek.
Kebolehan untuk berkomunikasi merupakan kurniaan yang menakjubkan. Hal ini membolehkan kita untuk bertukar pendapat dan berkongsi maklumat dengan orang lain. Yehuwa merupakan Individu pertama yang berkomunikasi dengan manusia di bumi. Dia memberi mereka maklumat yang jelas tentang cara untuk menikmati kehidupan yang bermakna. (Kej. 1:28-30) Tetapi peristiwa di Taman Eden menunjukkan bahawa kurniaan ini juga boleh disalahgunakan. Syaitan membekalkan maklumat yang palsu kepada Hawa. Hawa menerima maklumat Syaitan dan mengongsinya dengan Adam. Akibatnya, umat manusia terjebak ke dalam kancah dosa dan kematian.—Kej. 3:1-6; Rm. 5:12.
Bagaimana pula dengan Internet? Meskipun Internet sangat berguna, dapat memberi kita maklumat yang bernilai, dan menjimatkan masa, Internet juga boleh membekalkan maklumat yang palsu, menelan masa, dan merosakkan akhlak. Mari kita lihat caranya kita dapat menggunakan Internet dengan bijak.
Maklumat yang Benar atau Palsu?
Kita tidak boleh menganggap bahawa semua maklumat yang terkandung dalam Internet adalah baik dan bermanfaat. Enjin carian Internet boleh diibaratkan kepada seseorang yang sedang mengumpulkan daun di hutan untuk dijadikan ulam, tetapi tidak menghiraukan sama ada daun yang dipetik beracun atau tidak. Jika dia menghidangkannya kepada anda, adakah anda akan makan sahaja apa yang dihidangkan? Sudah tentu tidak! Enjin carian Internet menggunakan banyak komputer untuk mengumpulkan maklumat daripada berbilion-bilion laman Web yang mengandungi maklumat yang terbaik dan yang terburuk. Jadi kita perlu menggunakan daya pertimbangan untuk membezakan maklumat yang baik daripada yang buruk supaya pemikiran kita tidak diracuni.
Pada tahun 1993, sebuah majalah popular memaparkan gambar kartun dua ekor anjing yang sedang duduk di depan komputer. Seekor anjing menjelaskan kepada anjing yang seekor lagi, “Di Internet, tiada sesiapa yang tahu
bahawa kita ni anjing.” Ya, sejak dahulu lagi, Syaitan menyorokkan identitinya yang sebenar dan bercakap melalui seekor ular. Hari ini, ramai orang melakukan perkara yang sama di Internet. Sesiapa sahaja boleh menyamar sebagai seorang profesor dan berpura-pura mengetahui semua fakta, tanpa mendedahkan namanya yang sebenar. Lagipun, tiada undang-undang yang digubal untuk mengawal siapa yang boleh menerbitkan idea, maklumat, gambar, atau cadangan.Oleh itu, janganlah menjadi seperti Hawa yang senang mempercayai semua maklumat yang diberikan. Tanyalah diri, (1) Siapakah yang menerbitkan maklumat ini? Bolehkah pengarangnya dipercayai? (2) Mengapakah maklumat ini diterbitkan? Apakah niatnya? Adakah dia sekadar mahu mempelopori idea sendiri? (3) Dari manakah dia mendapat maklumatnya? Adakah dia membekalkan sumber rujukan bagi maklumat itu? (4) Adakah maklumat itu maklumat terkini? Pada abad pertama, rasul Paulus memberi Timotius nasihat yang boleh diterapkan hari ini. Paulus menulis, “Jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai ‘Pengetahuan.’”—1 Tim. 6:20, ABB.
Menjimatkan atau Menelan Masa?
Jika digunakan dengan bijak, Internet dapat membantu kita menjimatkan masa, tenaga, dan wang. Kita dapat membeli sesuatu tanpa meninggalkan rumah. Dengan membandingkan harga, kita dapat menjimatkan wang. Perbankan Internet menyenangkan hidup ramai orang; urusan kewangan dapat dikendalikan pada bila-bila masa di rumah sendiri. Internet juga membantu kita menjadualkan perjalanan dan membuat tempahan. Kita juga dapat mencari nombor telefon, alamat, dan cara untuk sampai ke destinasi kita. Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia menggunakan Internet untuk menjimatkan wang dan masa, serta mengurangkan kakitangan yang diperlukan.
Tetapi kita juga harus mempertimbangkan keburukan penggunaan Internet. Satu faktor yang perlu dipertimbangkan ialah jumlah masa yang diluangkan. Bagi sesetengah orang, Internet sekadar alat permainan yang canggih. Mereka menghabiskan banyak masa di Internet untuk bermain, membeli-belah, bersembang, menghantar dan menerima e-mel, dan melayari laman Web. Akibatnya, perkara yang lebih penting misalnya keluarga, kawan, dan sidang diabaikan secara beransur-ansur. Ramai orang juga ketagihan Internet. Sebagai contoh, suatu statistik anggaran yang dikeluarkan pada tahun 2010 menyatakan bahawa 18.4 peratus orang muda di Korea ketagihan Internet. Penyelidik Jerman menyatakan bahawa “makin banyak wanita sedang mengadu tentang ketagihan yang dialami oleh pasangan mereka.” Seorang wanita berkata bahawa ketagihan Internet telah mengubah suaminya sehingga perkahwinan mereka berkecai.
Sebuah pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa menerima sepucuk surat daripada seorang lelaki yang menyatakan bahawa dia ketagihan Internet. Adakalanya, dia menghabiskan sepuluh jam sehari di Internet. Dia berkata, “Pada mulanya, semua ini nampak tidak bersalah.” Dia melanjutkan, “Tetapi saya beransur-ansur tidak menghadiri perjumpaan dan berhenti
berdoa.” Apabila dia pergi ke perjumpaan, dia tidak melakukan persediaan dan hatinya tertinggal di depan kaca komputer dengan nafsu untuk melayari Internet. Dia mula sedar bahawa dia menghadapi masalah yang besar dan membuat perubahan yang diperlukan. Semoga kita tidak meluangkan begitu banyak masa di Internet sehingga ketagihan.Maklumat—Berbaloi atau Tidak?
Ayat di 1 Tesalonika 5:21, 22 (ABB) menyatakan, “Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, dan jauhilah segala macam kejahatan.” Kita harus menentukan sama ada maklumat yang didapati di Internet diperkenankan Tuhan, selaras dengan prinsip moral-Nya, dan sesuai untuk seorang Kristian. Bahan lucah di Internet sangat berleluasa dan jika kita tidak berhati-hati, kita boleh tergelincir ke dalam jerat ini.
Adalah bijak jika kita bertanya, “Adakah saya akan menyembunyikan apa yang terpapar pada kaca komputer jika pasangan, ibu bapa, atau saudara saudari Kristian masuk ke dalam bilik?” Jika ya, adalah lebih baik jika anda melayari Internet hanya apabila orang lain ada bersama anda. Ya, Internet bukan sahaja mengubah cara kita berkomunikasi atau membeli-belah tetapi telah memperkenalkan cara baru untuk ‘berzina dengan seseorang di dalam hati.’—Mat. 5:27, 28.
Maklumat—Mengongsinya atau Tidak?
Semasa menggunakan Internet, kita sering kali berkongsi maklumat dengan orang. Maka, kita harus memastikan bahawa maklumat yang ditulis atau dihantar kepada orang lain adalah benar, tidak menyalahi tatasusila, dan kita berhak untuk mengongsinya. * Fikirlah tentang soalan-soalan yang berikut: Adakah maklumat ini akan membantu orang lain? Mengapakah saya mahu berkongsi maklumat ini dengan orang lain? Adakah saya sekadar mahu menunjuk-nunjuk?
E-mel yang digunakan dengan bijak memang sangat berguna. Tetapi e-mel juga boleh membanjiri kita dengan maklumat. Adakah kita menghantar maklumat tentang berita terkini atau fakta remeh-temeh kepada banyak orang dan menelan masa mereka? Mengapakah kita mahu menghantar maklumat itu? Kita patut meneliti niat hati kita sebelum menghantar sesuatu. Pada masa dahulu, orang menulis surat untuk berkongsi pengalaman atau peristiwa hidup mereka dengan ahli keluarga atau kawan. Kita juga patut menghantar e-mel atas sebab yang sama. Kita tentu tidak mahu menghantar sesuatu yang kesahihannya tidak dapat dibuktikan.
Maka, apakah yang patut anda lakukan? Patutkah anda berhenti daripada menggunakan Internet? Mungkin sesetengah orang perlu berbuat demikian. Lelaki ketagihan Internet yang disebut di atas terpaksa berhenti daripada menggunakan Internet untuk mengatasi ketagihannya. Ya, Internet boleh membantu anda jika akan mengizinkan ‘pengertian untuk melindungi’ anda.—Ams. 2:10, 11.
[Nota kaki]
^ per. 17 Prinsip ini juga merangkumi gambar atau foto. Kita mungkin mengambil foto untuk kegunaan peribadi. Tetapi kita tidak berhak untuk mengedarkannya dengan sewenang-wenangnya. Sudah tentu, kita tidak patut menyatakan nama atau tempat tinggal orang dalam foto yang diambil.
[Gambar pada muka surat 4]
Bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa maklumat yang diterima adalah benar?
[Gambar pada muka surat 5]
Apakah yang harus dipertimbangkan sebelum berkongsi maklumat?