Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Menantikan Mesias

Mereka Menantikan Mesias

Mereka Menantikan Mesias

‘Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Tuhan.’​—LUK. 3:15, ABB.

1. Apakah berita yang disampaikan oleh malaikat kepada para gembala?

HARI sudah gelap. Para gembala berada di padang untuk menjaga kawanan bebiri mereka. Tiba-tiba, malaikat Yehuwa muncul dan cahaya yang terang menyinari mereka. Mereka berasa sangat takut. Tetapi malaikat itu berkata, ‘Janganlah takut! Aku datang membawa berita baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini telah lahir Penyelamat kamu, Kristus,’ yang merupakan Mesias. Bayi itu boleh dijumpai di dalam sebuah palung di kota yang berdekatan. Tiba-tiba, “sepasukan besar malaikat syurga” mula memuji-muji Yehuwa dengan berkata, ‘Termulialah Tuhan di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!’​—Luk. 2:8-14, ABB.

2. Perkataan “Mesias” membawa maksud apa, dan bagaimanakah identitinya dapat dikenal pasti?

2 Sudah tentu, para gembala Yahudi tahu bahawa “Mesias,” atau “Kristus,” merujuk kepada Individu Yang Diurapi oleh Tuhan. (Kel. 29:5-7) Tetapi bagaimanakah mereka dan orang lain dapat memperoleh pengetahuan lanjut dan berasa yakin bahawa bayi ini ialah Mesias yang dilantik oleh Yehuwa? Mereka mesti meneliti nubuat-nubuat dalam Kitab Ibrani dan melihat sama ada bayi ini ialah Mesias yang sebenar.

Mengapakah “Harapan Orang Ramai Mula Timbul”?

3, 4. Bagaimanakah nubuat di Daniel 9:24, 25 digenapi?

3 Bertahun-tahun kemudian, apabila Yohanes Pembaptis memulakan kerja penyebarannya, kata-kata dan perbuatannya menyebabkan orang menyimpulkan bahawa Mesias telah tiba. (Baca Lukas 3:15.) Kesimpulan mereka mungkin dicapai berdasarkan nubuat “tujuh puluh minggu” yang terkandung di dalam Bible. Nubuat ini menyatakan, “Sejak keluarnya firman untuk memulihkan dan membangun kembali Yerusalem sampai ketibaan Mesias, yang merupakan Pemimpin, akan ada tujuh minggu, juga enam puluh dua minggu.” (Dan. 9:24, 25, NW) Cendekiawan Bible bersetuju bahawa panjang setiap “minggu” di dalam nubuat ini bukanlah tujuh hari tetapi tujuh tahun. Sebagai contoh, Alkitab Berita Baik menyatakan, “Tujuh kali tujuh puluh tahun ialah jangka masa yang telah ditentukan.”

4 Hari ini, kita tahu bahawa 69 minggu, atau 483 tahun, di Daniel 9:25 bermula pada tahun 455 SM semasa raja Persia, iaitu Artahsasta, mengizinkan Nehemia untuk membina semula Yerusalem. (Neh. 2:1-8) Jangka masa 483 tahun ini berakhir pada tahun 29 M, iaitu semasa Yesus dibaptiskan. Pada masa itu, Yesus diurapi daya aktif Tuhan dan menjadi Mesias.​—Mat. 3:13-17. *

5. Apakah nubuat-nubuat yang akan kita bincangkan sekarang?

5 Sekarang kita akan bincangkan beberapa nubuat tentang Mesias yang menyentuh kelahiran, zaman kanak-kanak, dan aktiviti penyebarannya. Hal ini dapat mengukuhkan iman kita dalam nubuat Bible serta membantu kita untuk mengenal pasti identiti Mesias yang telah dijanjikan.

Nubuat tentang Kelahiran dan Zaman Kanak-kanak Mesias

6. Jelaskan bagaimana Kejadian 49:10 digenapi.

6 Mesias akan berasal daripada suku Yehuda. Sejurus sebelum Yakub meninggal, dia memberkati anak-anaknya, dan berkata, “Yehuda akan memegang tongkat kerajaan, keturunannya akan memerintah selama-lamanya. Bangsa-bangsa akan membawakan dia ufti, dan sujud dengan taat di hadapannya.” (Kej. 49:10, ABB) Banyak orang Yahudi bersetuju bahawa kata-kata Yakub merujuk kepada Mesias. Yakub bercakap tentang seorang raja daripada keturunan Yehuda yang “memegang tongkat kerajaan” dan berhak untuk memerintah. Raja pertama daripada suku Yehuda ialah Daud, dan Zedekia merupakan raja yang terakhir. Tetapi nubuat Yakub merujuk kepada seorang raja yang akan memerintah selama-lamanya. Sebelum kelahiran Yesus, malaikat Gabriel memberitahu Maria, ‘Tuhan Yehuwa akan menjadikan dia raja seperti Daud, nenek moyangnya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaannya tidak akan berakhir.’ (Luk. 1:32, 33, ABB) Yesus berasal daripada suku Yehuda dan garis keturunan Daud. Jadi nubuat di Kejadian 49:10 merujuk kepada Yesus Kristus!​—Mat. 1:1-6; Luk. 3:23, 31-34.

7. Bagaimanakah nubuat tentang kelahiran Mesias menjadi kenyataan?

7 Mesias akan dilahirkan di Betlehem. Nabi Mikha menulis, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu [Yehuwa] akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.” (Mi. 5:1) Mesias akan dilahirkan di kota Betlehem yang dahulunya dikenali sebagai kota Efrata. Walaupun Yusuf dan Maria tinggal di Nasaret, mereka telah pergi ke Betlehem kerana pemerintah Roma mengeluarkan arahan agar banci diambil. (Mat. 2:1, 5, 6) Jadi seperti yang dinubuatkan, Yesus dilahirkan di Betlehem pada tahun 2 SM!

8, 9. Apakah yang dinubuatkan tentang kelahiran Mesias dan zaman kanak-kanaknya?

8 Mesias akan dilahirkan oleh seorang anak dara. (Baca Yesaya 7:14.) Sebenarnya, perkataan Ibrani untuk anak dara ialah bethu·lahʹ. Tetapi, ayat ini menyatakan bahawa seorang “gadis” (Ibrani, ʽal·mahʹ) akan melahirkan seorang anak lelaki. Perkataan ʽal·mahʹ digunakan untuk merujuk kepada Ribka sebelum dia berkahwin. (Kej. 24:16, 43) Semasa memetik kata-kata di Yesaya 7:14, Matius tidak menggunakan perkataan “gadis” tetapi memanggil Maria seorang “anak dara” (Yunani, par·theʹnos). Matius dan Lukas menyebut bahawa Maria ialah seorang anak dara dan dia menjadi hamil menerusi bantuan daya aktif Tuhan.​—Mat. 1:18-25; Luk. 1:26-35.

9 Anak-anak kecil akan dibunuh selepas kelahiran Mesias. Peristiwa yang serupa telah berlaku ratusan tahun sebelum Mesias dilahirkan. Raja Mesir mengeluarkan perintah supaya bayi lelaki orang Ibrani dibuang ke dalam Sungai Nil. (Kel. 1:22) Yang menariknya, nubuat di Yeremia 31:15, 16 menyatakan bahawa Rahel “meratapi anak-anaknya” kerana mereka ditawan musuh. Laungannya kedengaran jauh di Rama, iaitu kawasan Benyamin yang terletak di utara Yerusalem. Matius menunjukkan bahawa kata-kata Yeremia digenapi apabila Raja Herodes mengeluarkan arahan agar semua anak lelaki dua tahun ke bawah dibunuh. (Baca Matius 2:16-18.) Bayangkan keperitan hati yang dirasai oleh mereka!

10. Jelaskan bagaimana nubuat di Hosea 11:1 digenapi.

10 Mesias akan dipanggil keluar dari Mesir. (Hos. 11:1) Sebelum Herodes mengeluarkan perintahnya yang keji, seorang malaikat telah mengarahkan Yusuf, Maria, dan Yesus untuk berpindah ke Mesir. “Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah yang difirmankan oleh Tuhan melalui [Hosea], ‘Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.’” (Mat. 2:13-15, ABB) Sudah tentu, semua peristiwa yang telah digenapi berhubung dengan kelahiran dan zaman kanak-kanak Yesus berada di luar kawalannya.

Mesias Mula Menjalankan Amanatnya

11. Siapakah yang membuka jalan untuk Individu Yang Diurapi Tuhan?

11 Jalan akan disediakan untuk Individu Yang Diurapi Tuhan. Maleakhi telah menubuatkan bahawa “Nabi Elia” akan mempersiapkan hati umat Tuhan untuk kedatangan Mesias. (Baca Maleakhi 4:5, 6.) Yesus sendiri telah mengenal pasti Yohanes Pembaptis sebagai “Elia.” (Mat. 11:12-14) Dan Markus telah menunjukkan bahawa kerja Yohanes telah menggenapi nubuat Yesaya. (Yes. 40:3; Mrk. 1:1-4) Semua ini tidak diaturkan terlebih dahulu oleh Yesus. Tuhanlah yang mahu orang mengenal pasti identiti Mesias. Maka, Dia telah memilih Yohanes untuk membuka jalan bagi Mesias dan menjalankan kerja yang mirip dengan Elia.

12. Apakah tugas yang diberikan oleh Tuhan kepada Mesias yang dapat membantu kita untuk mengenal pastinya?

12 Tugas yang diberikan oleh Tuhan kepada Mesias membantu kita untuk mengenal pastinya. Pada suatu hari, di rumah ibadat di kota Nasaret di mana Yesus dibesarkan, dia membaca gulungan Yesaya yang menyatakan, ‘Roh [atau, daya aktif] Tuhan ada padaku. Tuhan telah melantik aku supaya mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin. Dia mengutus aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.’ Memandangkan Yesus ialah Mesias yang sebenar, dia dapat berkata, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.”​—Luk. 4:16-21, ABB.

13. Apakah yang dinubuatkan tentang aktiviti penyebaran Yesus di Galilea?

13 Aktiviti penyebaran Mesias di Galilea dinubuatkan. Yesaya bernubuat tentang “tanah suku Zebulon dan suku Naftali” dan “Galilea tempat orang bangsa asing tinggal.” Dia menulis, “Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang.” (Yes. 8:23–9:1, ABB) Yesus memulakan aktiviti penyebarannya di Galilea, iaitu di kota Kapernaum. Dia juga mengajar penduduk di kawasan Zebulon dan Naftali. Yesus membantu mereka dengan mengajarkan kebenaran yang bersinar seperti cahaya. (Mat. 4:12-16) Di Galilea, Yesus memberikan Khutbah di Atas Bukit, memilih rasul-rasulnya, melakukan mukjizatnya yang pertama, dan menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang murid selepas pembangkitannya. (Mat. 5:1–7:27; 28:16-20; Mrk. 3:13, 14; Yoh. 2:8-11; 1 Kor. 15:6) Maka, nubuat Yesaya terbukti benar semasa Yesus menjalankan kerja penyebaran di “tanah suku Zebulon dan suku Naftali.” Sudah tentu, Yesus juga telah menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan di tempat lain.

Nubuat Lain tentang Mesias

14. Bagaimanakah Mazmur 78:2 digenapi oleh Yesus?

14 Mesias menggunakan cerita ibarat, atau perumpamaan semasa mengajar. Penulis mazmur yang bernama Asaf menyatakan, “Aku akan menggunakan kata-kata hikmat [atau, perumpamaan].” (Mzm. 78:2) Matius menunjukkan bagaimana Yesus menggenapi nubuat ini. Berkenaan perumpamaan biji sawi dan ragi yang digunakan oleh Yesus untuk mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan, Matius menulis, ‘Yesus tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, “Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.”’ (Mat. 13:31-35, ABB) Cerita ibarat dan perumpamaan yang digunakan oleh Yesus membantu ramai orang untuk memahami kebenaran tentang Yehuwa.

15. Bagaimanakah nubuat di Yesaya 53:4 digenapi?

15 Mesias akan menyembuhkan orang. Yesaya menulis nubuat berikut: “Penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya.” (Yes. 53:4) Semasa ibu mentua Petrus sakit, Yesus telah menyembuhkannya. Selepas itu, ramai orang sakit datang ke rumah Petrus, dan Yesus menyembuhkan mereka. Matius menyatakan bahawa “Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, ‘Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.’” (Mat. 8:14-17, ABB) Sebenarnya, Bible menceritakan tentang banyak peristiwa lain yang mana Yesus menyembuhkan orang yang sakit.

16. Bagaimanakah rasul Yohanes menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan di Yesaya 53:1 merujuk kepada Yesus?

16 Walaupun Yesus melakukan banyak perkara yang baik, ramai orang tidak akan percaya bahawa dia ialah Mesias. (Baca Yesaya 53:1.) Rasul Yohanes menyatakan bahawa nubuat ini telah digenapi. Dia menulis, ‘Meskipun Yesus sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepadanya. Oleh itu berlakulah nubuat Yesaya, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?”’ (Yoh. 12:37, 38, ABB) Bahkan bertahun-tahun kemudian semasa rasul Paulus menyebarkan berita baik, tidak ramai orang yang percaya bahawa Yesus ialah Mesias.​—Rm. 10:16, 17.

17. Bagaimanakah nubuat di Mazmur 69:5 menjadi kenyataan?

17 Mesias akan dibenci tanpa sebab. (Mzm. 69:5) Yesus berkata, ‘Mereka tidak berdosa jika aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang aku lakukan, lalu mereka membenci aku mahupun Bapaku. Memang sudah seharusnya demikian, supaya berlakulah apa yang tertulis di dalam Taurat mereka, “Mereka membenci aku tanpa alasan.”’ (Yoh. 15:24, 25, ABB) Perkataan “Taurat” merujuk kepada bahagian Bible yang wujud pada masa itu. (Yoh. 10:34; 12:34) Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes menunjukkan bahawa Yesus dibenci, terutamanya oleh pemimpin agama Yahudi. Tambahan lagi, Kristus berkata, ‘Dunia ini membenci aku, kerana aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat.’​—Yoh. 7:7.

18. Apakah yang akan kita belajar dalam rencana yang berikut?

18 Pengikut Yesus pada abad pertama sangat yakin bahawa Yesus ialah Mesias. Mereka tahu bahawa Yesus telah menggenapi semua nubuat yang terkandung dalam Kitab Ibrani tentang Mesias. (Mat. 16:16) Kita telah belajar daripada rencana ini bahawa nubuat-nubuat ini digenapi semasa kelahiran, zaman kanak-kanak, dan aktiviti penyebaran Yesus. Nubuat lain tentang Mesias akan dibincangkan dalam rencana yang berikut. Apakah faedahnya merenungkan nubuat-nubuat ini? Kita dapat mengukuhkan kepercayaan kita bahawa Yesus Kristus memanglah Mesias yang dilantik oleh Bapanya, Yehuwa.

[Nota kaki]

^ per. 4 Untuk perbincangan terperinci tentang nubuat “tujuh puluh minggu,” sila lihat Lampiran dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, muka surat 228-229.

Apakah Jawapan Anda?

• Apakah nubuat-nubuat tentang kelahiran Yesus yang menjadi kenyataan?

• Siapakah yang membuka jalan bagi Mesias?

• Bagaimanakah nubuat-nubuat di Yesaya 53 menjadi kenyataan?

[Soalan Pembelajaran]