Mesyuarat yang Melakar Sejarah
Mesyuarat yang Melakar Sejarah
PADA 2 Oktober 2010, Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di Jersey City, New Jersey, Amerika Syarikat, diselubungi suasana yang riang gembira. Saudara saudari yang berkumpul tidak sabar menanti-nantikan mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania yang ke-126. Saudara Stephen Lett yang merupakan anggota Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa membuka selera para hadirin dengan berkata, “Pada akhir mesyuarat ini, anda tentu akan berkata, ‘Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang melakar sejarah dalam kehidupan teokratik kita!’” Apakah antara intan mutiara yang disampaikan pada detik yang bersejarah itu?
Ceramah pembukaan Saudara Lett berkisarkan kenderaan Yehuwa di syurga yang disebut dalam buku Yehezkiel. Kenderaan yang besar ini dipandu, atau dikawal, oleh Yehuwa dan menggambarkan organisasi-Nya. Organisasi-Nya di syurga, yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh, bergerak secepat kilat—iaitu selaju pemikiran Yehuwa. Organisasi-Nya di bumi juga sedang bergerak. Saudara Lett menyerlahkan sebilangan perkembangan baik yang telah berlaku dalam organisasi Tuhan di bumi kebelakangan ini.
Sebagai contoh, beberapa pejabat cawangan telah bergabung dengan cawangan lain. Maka, saudara saudari yang dahulunya berkhidmat di Bethel kini dapat menumpukan perhatian pada kerja penyebaran. Saudara Lett menggalakkan para hadirin untuk terus berdoa agar Badan Pimpinan, yang mewakili golongan hamba, dapat mengekalkan kesetiaan mereka dan terus memperlihatkan kebijaksanaan.—Mat. 24:45-47.
Laporan dan Temu Ramah yang Menggalakkan
Tab Honsberger, iaitu seorang ahli Jawatankuasa Cawangan di Haiti memberikan laporan yang menyentuh hati tentang keadaan di Haiti selepas berlakunya gempa bumi pada 12 Januari 2010. Gempa bumi ini telah meragut nyawa kira-kira 300,000 orang. Tab Honsberger menyatakan bahawa para pemimpin agama memberitahu orang bahawa mangsa malapetaka dihukum oleh Tuhan kerana mereka tidak beriman manakala orang yang baik diselamatkan oleh-Nya. Walau bagaimanapun, ribuan banduan dibebaskan semasa tembok penjara runtuh akibat gempa bumi itu! Maka, banyak orang Haiti berasa lega apabila mengetahui mengapa zaman kita sarat dengan malapetaka dan masalah. Menurut dia, seorang saudara Haiti yang kehilangan isterinya berkata, “Sampai hari ini saya menitiskan air mata. Saya tidak tahu berapa lama saya akan terus bersedih, tetapi saya bersukacita kerana merasai kasih daripada organisasi Yehuwa. Saya mempunyai harapan, dan saya bertekad untuk berkongsinya.”
Mark Sanderson, yang kini merupakan sebahagian daripada keluarga Bethel di Brooklyn memberikan laporan tentang Filipina. Dia merupakan bekas ahli Jawatankuasa Cawangan di Filipina. Dengan bangganya, dia menyatakan bahawa negara itu mencatatkan angka tertinggi penyiar sebanyak 32 kali berturut-turut dan bilangan pelajar Bible jauh melebihi bilangan penyiar. Dia menceritakan tentang seorang saudara yang bernama Miguel. Cucunya dibunuh dan Miguel telah bertungkus lumus untuk memastikan bahawa pembunuh cucunya meringkuk di penjara. Selepas itu semasa menjalankan kerja penyebaran di penjara, Miguel bersemuka dengan pembunuh cucunya. Walaupun dirundung perasaan gelisah, dia menyambut lelaki itu dengan baik dan mesra. Akhirnya, Miguel mengadakan pembelajaran Bible dengan lelaki itu yang kemudiannya dibaptis. Miguel sekarang merupakan sahabatnya dan Miguel sedang berusaha untuk memastikan lelaki itu dibebaskan lebih awal.Acara seterusnya ialah sesi temu ramah yang dikendalikan oleh Mark Noumair, seorang pengajar Bahagian Sekolah Teokratik. Dia menemu ramah tiga pasangan suami isteri—Alex dan Sarah Reinmueller, David dan Krista Schafer, serta Robert dan Ketra Ciranko. Alex Reinmueller, seorang pembantu Jawatankuasa Penerbitan menceritakan tentang bagaimana dia memperkukuh hubungannya dengan Yehuwa ketika merintis di Kanada. Pada masa itu dia hanya berumur 15 tahun dan sering kali bekerja seorang diri. Apabila ditanya siapa di Bethel yang meninggalkan kesan yang terbesar ke atas hidupnya, dia menyebut tentang tiga orang saudara yang setia dan cara mereka membantunya untuk bertumbuh secara rohani. Isterinya, Sarah, menceritakan tentang persahabatannya dengan seorang saudari yang dipenjarakan selama bertahun-tahun di China kerana menyembah Yehuwa. Sarah berkata bahawa dia telah mempelajari caranya untuk bergantung kepada Yehuwa melalui doa.
David Schafer, seorang pembantu Jawatankuasa Pengajaran, memuji ibunya atas imannya yang kukuh dan menceritakan bagaimana saudara-saudara yang bekerja sebagai pembalak membantunya untuk menjadi perintis sokongan semasa dia seorang remaja. Isterinya, Krista, menceritakan bagaimana dia dipengaruhi oleh teladan baik ahli keluarga Bethel yang lebih tua yang “setia dalam perkara kecil.”—Luk. 16:10.
Robert Ciranko, seorang pembantu Jawatankuasa Penulisan, mengimbas kembali tentang datuk dan neneknya. Keempat-empat datuk neneknya merupakan orang Kristian terurap dan pendatang asing dari Hungary. Pada tahun 1950-an, iaitu semasa dia masih kecil, dia telah
menghadiri sebuah konvensyen besar dan sedar bahawa organisasi Yehuwa bukan sekecil sidangnya sahaja. Isterinya, Ketra, menceritakan bagaimana dia mempelajari tentang kesetiaan semasa berkhidmat sebagai perintis di sebuah sidang yang mana kemurtadan dan masalah lain berleluasa. Dia bertabah dan akhirnya ditugaskan sebagai perintis khas di sebuah sidang lain. Perpaduan di sidang itu menyentuh hatinya.Seterusnya, Manfred Tonak memberikan laporan tentang Etiopia (Habsyah). Negara ini mempunyai lebih daripada 9,000 orang penyiar. Kebanyakan penyiar tinggal di ibu kota, Addis Ababa, atau berdekatannya. Jadi kawasan terpencil memerlukan banyak bantuan. Untuk menangani masalah ini, Saksi-Saksi berbangsa Etiopia yang tinggal di negara lain digalakkan untuk melawat Etiopia bagi menjalankan kerja penyebaran. Ramai menerima undangan ini. Mereka menggalakkan Saksi-Saksi tempatan dan memberikan kesaksian kepada ramai orang.
Aturcara yang paling menonjol ialah simposium tentang masalah perundangan yang dialami oleh Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Aulis Bergdahl, ahli Jawatankuasa Cawangan di Rusia, menyampaikan sejarah penganiayaan Saksi-Saksi di Rusia, terutamanya di Moscow. Philip Brumley dari Bahagian Perundangan di cawangan Amerika Syarikat menceritakan tentang perkembangan baik sejak kebelakangan ini. Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) mendengar sembilan dakwaan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Mahkamah mendapati bahawa semua sembilan tuduhan itu tidak berasas, bahkan dalam beberapa kes, Mahkamah menjelaskan mengapa mereka menyangkal hujah yang dibentangkan. Kita masih belum tahu apa yang bakal berlaku di Rusia, namun Saudara Brumley menyatakan bahawa dia berharap keputusan Mahkamah ini akan meninggalkan kesan yang baik ke atas kes-kes di negara lain.
Berikutan berita hangat itu, Saudara Lett mengumumkan bahawa ECHR telah bersetuju untuk mendengar kes cukai yang melibatkan kerajaan Perancis dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mahkamah ini dipandang tinggi dan jarang menerima kes. Setakat ini, 37 daripada 39 kes yang dipertimbangkan oleh ECHR memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa. Saudara Lett menggalakkan semua umat Tuhan untuk terus berdoa mengenai hal-hal ini.
Laporan terakhir diberikan oleh Richard Morlan, pengajar Sekolah untuk Penatua Sidang. Dengan penuh semangat, dia bercerita tentang sekolah itu dan respons baik yang diberikan oleh para penatua yang telah menghadirinya.
Ceramah Lain oleh Anggota Badan Pimpinan
Saudara Guy Pierce, seorang anggota Badan Pimpinan memberikan ceramah yang berpusatkan ayat tahunan 2011, “Jadikanlah nama Yehuwa perlindunganmu.” (Zef. 3:12) Dia menyatakan bahawa walaupun kita mempunyai sebab untuk berasa gembira, masa ini juga merupakan masa yang sangat serius. Hari besar Yehuwa semakin mendekat; namun orang sedang berteduh di bawah payung agama palsu, institusi politik, harta benda, eskapisme, dan sebagainya. Untuk mendapat tempat naungan yang terbaik, kita perlu menyeru nama Yehuwa. Hal ini bermaksud kita harus mengenali dan menaruh kepercayaan penuh terhadap Yehuwa serta mengasihi dan menghormati-Nya dengan sepenuh jiwa.
Seterusnya, Saudara David Splane, seorang anggota Badan Pimpinan menyampaikan ceramah tentang rehat yang dijanjikan oleh Tuhan. Dia berkata bahawa “rehat Tuhan” tidak bermaksud bahawa Tuhan tidak akan melakukan apa-apa. Sepanjang hari rehat yang simbolik itu, Yehuwa dan Anak-Nya “sentiasa bekerja” agar tujuan-Nya dapat dilaksanakan secara tuntas. (Yoh. 5:17) Maka, bagaimanakah kita dapat menikmati rehat yang dijanjikan oleh Tuhan? Satu cara adalah dengan mengelakkan dosa dan beriman kepada Kristus dan korban tebusannya. Hidup kita harus berkisarkan tujuan Tuhan. Kita patut melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyumbang kepada tujuan Tuhan. Kadangkala, hal ini sukar dilakukan. Tetapi kita perlu menerima nasihat dan bekerjasama dengan arahan yang diberikan oleh organisasi Yehuwa. Saudara Splane merayu para hadirin supaya berikhtiar untuk menikmati rehat yang telah dijanjikan oleh Tuhan.
Ceramah yang terakhir disampaikan oleh Anthony Morris, seorang anggota Badan Pimpinan. Ceramahnya yang disampaikan dalam nada seorang bapa yang penyayang berjudul “Kita Sedang Tunggu Apa?” Dia mengingatkan para hadirin tentang nubuat Bible yang bakal digenapi, termasuk pemusnahan agama palsu dan seruan “Semuanya aman dan tenteram.” (1 Tes. 5:2, 3; Why. 17:15-17) Saudara Morris memberikan amaran kepada kita supaya jangan berkata, “Hah, inilah Armagedon!” semasa melihat peristiwa dunia yang tidak menggenapi nubuat Bible tentang Armagedon. Dia mengatakan bahawa adalah lebih baik jika kita bersukacita dan sabar “menantikan Tuhan.” (Mi. 7:7) Pada masa yang sama, dia menggesa semua agar berganding bahu dan bersatu padu dengan Badan Pimpinan, seperti askar-askar di medan pertempuran. Dia berkata, “Teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada Tuhan.”—Mzm. 31:25.
Selanjutnya, beberapa pengumuman yang menaikkan semangat disampaikan. Geoffrey Jackson, seorang anggota Badan Pimpinan memberitahu hadirin tentang percubaan edisi majalah pembelajaran yang mudah difahami yang disediakan bagi mereka yang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Kemudian Stephen Lett memberitahu hadirin bahawa Badan Pimpinan akan mengaturkan kunjungan penggembalaan untuk penyelia distrik dan isteri mereka di Amerika Syarikat. Dia juga menyatakan bahawa Sekolah Latihan Pengorganisasian kini akan dipanggil Sekolah Bible untuk Saudara Bujang. Sebuah lagi sekolah yang bakal diadakan ialah Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian yang akan melatih suami isteri untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan lebih berkesan. Sekolah untuk Penyelia Lawatan dan Isteri Mereka serta Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka pula akan diperkembangkan dan diadakan dua kali setiap tahun di Patterson. Kini mereka yang telah menghadiri sekolah ini berpeluang untuk menghadirinya buat kali kedua.
Aturcara hari itu diakhiri dengan doa ikhlas yang diberikan oleh Saudara John E. Barr. Dia berumur 97 tahun dan merupakan anggota Badan Pimpinan untuk tempoh yang panjang. * Semua orang membawa pulang kenangan manis tentang detik yang bersejarah itu.
[Nota kaki]
^ per. 7 Lihat “Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2011,” muka surat 62-63.
^ per. 20 Saudara Barr telah menghembuskan nafas terakhir di bumi pada 4 Disember 2010.
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 19]
Sesi temu ramah dinikmati oleh para hadirin
[Petikan daripada perenggan pada muka surat 20]
Yehuwa telah memberkati kerja penyebaran di Etiopia