“Penyelia yang Hebat dan Sahabat yang Dikasihi”
“Penyelia yang Hebat dan Sahabat yang Dikasihi”
JOHN E. BARR, yang telah berkhidmat sebagai anggota Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, menghembuskan nafas terakhir di bumi pada pagi Sabtu, 4 Disember 2010. Dia berumur 97 tahun. Dia digambarkan sebagai “penyelia yang hebat dan sahabat yang dikasihi.”
Saudara John Barr dilahirkan di Aberdeen, Scotland. Dia merupakan anak bongsu dalam keluarga tiga beradik. Ibu dan bapanya juga merupakan orang Kristian terurap. Saudara Barr sering berkongsi kenangan manis tentang zaman kanak-kanaknya. Dia bersyukur atas teladan baik ibu bapanya.
Semasa melangkah ke alam remaja, Saudara Barr seorang pemalu dan berasa sangat sukar untuk memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenalinya. Namun, dia berusaha keras untuk mengatasi masalahnya. Pada suatu hari Ahad pada tahun 1927, ketika dia berumur 14 tahun, dia memberitahu bapanya bahawa dia bersedia untuk menemani bapanya dalam kerja penyebaran. Semenjak hari itu, Saudara Barr berkhidmat sebagai seorang penyiar berita baik yang bersemangat.
Suatu kemalangan ngeri yang hampir merampas nyawa ibunya telah menyebabkan Saudara Barr untuk berfikir secara mendalam tentang tujuan hidupnya. Pada tahun 1929 dia telah membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptiskan pada tahun 1934. Kemudian pada tahun 1939, dia menjadi anggota keluarga Bethel di London, England. Maka bermulalah kerjayanya dalam khidmat sepenuh masa yang menjangkau 71 tahun.
Pada 29 Oktober 1960, Saudara Barr telah berkahwin dengan seorang saudari yang telah lama berkhidmat sebagai mubaligh. Namanya Mildred Willett. Saudara dan Saudari Barr telah menetapkan suri teladan yang baik sebagai suami isteri yang penyayang. Mereka membaca Bible bersama-sama setiap hari. Mildred menghembuskan nafas terakhir di bumi pada bulan Oktober 2004.
Mereka yang mengenali Saudara Barr mengingatinya sebagai seorang saudara yang sentiasa memberikan nasihat yang seimbang, berasaskan kasih, dan berdasarkan Bible. Dia suka bekerja keras, merupakan seorang penyelia yang bertimbang rasa, dan seorang sahabat yang setia. Komen, ceramah, dan doanya menyingkapkan bahawa dia mempunyai kasih yang sangat mendalam terhadap kebenaran dan hubungan yang sangat erat dengan Yehuwa.
Kita tentu akan merasai kehilangan Saudara Barr yang tersayang. Tetapi kita berasa gembira kerana dia telah dikurniakan kehidupan kekal di syurga dan tidak boleh mati. Inilah penghormatan yang sering disebut dan diidamkan oleh Saudara Barr!—1 Kor. 15:53, 54. *
[Nota kaki]
^ per. 8 Sila lihat The Watchtower, 1 Julai 1987, muka surat 26 hingga 31, untuk membaca riwayat hidup John E. Barr.