Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Dapatkah kita mengira secara tepat bilangan nubuat tentang Mesias yang terkandung dalam Kitab Ibrani?

Penelitian Kitab Ibrani akan menunjukkan banyak nubuat yang digenapi oleh Yesus Kristus. Nubuat-nubuat ini memberi kita maklumat terperinci tentang latar belakang Mesias, bila dia akan menjadi Mesias, apa yang akan dia lakukan, bagaimana orang akan melayaninya, dan peranannya dalam aturan Tuhan. Semua nubuat ini boleh digabungkan untuk membentuk gambar lengkap yang dapat membantu kita untuk mengenal pasti Yesus sebagai Mesias. Walau bagaimanapun, jika seseorang ingin mengira secara tepat bilangan nubuat tentang Mesias yang terkandung dalam Kitab Ibrani, beberapa faktor harus diambil kira.

Ramai orang mempunyai tanggapan yang berbeza tentang apa yang merupakan nubuat Mesias. Alfred Edersheim yang mempelajari sejarah orang Yahudi menulis tentang hal ini. Menurut dia, orang Yahudi yang hidup sebelum zaman Yesus percaya bahawa terdapat 456 nubuat tentang Mesias dalam Kitab Ibrani, meskipun banyak nubuat ini tidak merujuk secara khusus kepada Mesias. Penelitian tentang nubuat-nubuat ini menimbulkan persoalan tentang kesahihan pengiraan yang dibuat. Sebagai contoh, Edersheim mengatakan bahawa orang Yahudi menganggap Kejadian 8:11 sebagai satu nubuat Mesias. Mereka menganggap bahawa “daun zaitun yang dibawa oleh burung merpati diambil daripada Bukit Mesias.” Pengarang yang sama ini juga menunjukkan bahawa orang Yahudi menyalahtafsirkan ayat di Keluaran 12:42. Dia menulis, “Sepertimana Musa keluar dari padang gurun, Mesias juga akan keluar dari kota Roma.” Ramai orang, termasuk para cendekiawan, berasa bahawa kedua-dua ayat ini disalahtafsirkan dan tidak merujuk kepada Yesus Kristus.

Walaupun kita hanya mengira nubuat yang benar-benar digenapi oleh Yesus Kristus, jumlahnya masih berbeza-beza. Contohnya nubuat tentang Mesias di Yesaya 53:2-7 yang menyatakan, “Kita tidak tertarik kepadanya . . . Kita menghina dan menolak dia . . . Penyakit kitalah yang dideritanya . . . Dia dilukai kerana dosa kita . . . Dia tidak membuka mulutnya seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian.” Patutkan petikan ini diambil kira sebagai satu nubuat atau sebagai nubuat-nubuat yang berbeza?

Mari kita lihat satu lagi contoh di Yesaya 11:1. Ayat ini menyatakan, “Seorang raja yang baru akan muncul daripada keturunan Raja Daud.” Ayat yang ke-10 juga mengulang kata-kata yang hampir sama. Patutkah kedua-dua ayat ini dikira sebagai satu nubuat atau dua nubuat? Ya, setelah membincangkan nubuat di Yesaya bab 53 dan bab 11, kita tahu bahawa terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi jumlah nubuat tentang Mesias.

Jadi, kita tidak perlu mengetahui secara spesifik bilangan nubuat tentang Mesias yang terkandung dalam Kitab Ibrani. Organisasi Yehuwa telah mencetakkan banyak senarai mengenai nubuat-nubuat tentang Yesus serta penggenapannya. * Maklumat dalam senarai-senarai ini dapat digunakan semasa menjalankan kerja penyebaran atau semasa mengadakan pembelajaran keluarga dan peribadi. Hal ini dapat meyakinkan kita bahawa firman Yehuwa sentiasa terbukti benar.

[Nota kaki]

^ per. 7 “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 1, muka 1223; Jilid 2, muka 387; “Segenap Bible” (“All Scripture Is Inspired of God and Beneficial”), muka 343-344; Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? muka 231.