Pertanyaan Pembaca
Pertanyaan Pembaca
Bagaimanakah kita patut mentafsir angka-angka yang terkandung dalam laporan aktiviti penyebaran tahunan?
Setiap tahun, kita tidak sabar untuk melihat laporan aktiviti penyebaran yang terdapat dalam “Buku Tahunan” (Yearbook). Kita berasa seronok sewaktu melihat apa yang dilaksanakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam aktiviti penyebaran di seluruh pelosok bumi. Tetapi untuk meraih manfaat terbesar, kita harus mempunyai pandangan yang betul tentang angka-angka yang digunakan. Mari kita lihat beberapa contoh.
Tahun aktiviti penyebaran. Tempoh ini bermula dari bulan September sehingga bulan Ogos. “Buku Tahunan” mengandungi laporan untuk tahun aktiviti penyebaran yang sebelumnya. Maka, “Buku Tahunan 2011” mengandungi laporan untuk tahun aktiviti penyebaran 2010, yang bermula dari 1 September 2009 sehingga 31 Ogos 2010.
Jumlah tertinggi penyiar dan purata penyiar. “Penyiar” merangkumi Saksi yang sudah dibaptis serta mereka yang belum dibaptis tetapi layak menjalankan kerja penyebaran. “Jumlah tertinggi penyiar” merupakan jumlah tertinggi bagi bulan tertentu dalam tahun aktiviti penyebaran dan mungkin merangkumi laporan dari bulan yang sebelumnya yang dihantar lambat. Oleh itu, sesetengah penyiar mungkin dikira dua kali. Tetapi angka ini tidak merangkumi penyiar yang terlupa untuk menghantar laporan mereka. Hal ini menunjukkan pentingnya bagi setiap penyiar untuk menghantar laporan bulanan dengan secepat mungkin. “Purata penyiar” merujuk kepada angka purata penyiar bagi setiap bulan.
Jumlah jam. Menurut “Buku Tahunan 2011,” Saksi-Saksi Yehuwa telah menghabiskan lebih daripada 1.6 bilion jam dalam aktiviti penyebaran. Tetapi jumlah ini tidak mewakili semua masa yang dihabiskan untuk penyembahan. Jumlah ini tidak merangkumi masa yang telah digunakan untuk aktiviti seperti kunjungan penggembalaan, menghadiri perjumpaan, dan melakukan pembelajaran peribadi serta perenungan.
Wang yang dibelanjakan. Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2010, Saksi-Saksi Yehuwa telah membelanjakan lebih daripada $155 juta untuk menjaga keperluan perintis khas, perintis seberang laut, dan penyelia lawatan. Tetapi jumlah wang ini tidak merangkumi kos percetakan bahan bacaan Bible atau wang yang dibelanjakan untuk menjaga keperluan lebih daripada 20,000 anggota Bethel di seluruh dunia.
Orang yang makan minum lambang Peringatan. Bilangan ini merujuk kepada individu terbaptis yang makan minum lambang Peringatan di seluruh dunia. Adakah bilangan ini mewakili jumlah individu terurap di bumi? Tidak semestinya. Beberapa faktor, contohnya kepercayaan agama dahulu atau ketidakstabilan mental dan emosi, boleh menyebabkan sesetengah orang berasa bahawa mereka mempunyai harapan untuk pergi ke syurga. Maka, kita tidak dapat menentukan secara tepat bilangan individu terurap di bumi. Sebenarnya, kita tidak perlu mengetahui bilangannya. Badan Pimpinan tidak menyimpan senarai nama semua orang yang makan minum lambang Peringatan. *
Yang kita tahu, sesetengah ‘hamba Tuhan’ yang terurap akan masih berada di bumi semasa angin pembinasaan kesengsaraan besar dilepaskan. (Why. 7:1-3) Sehingga masa itu, kaum terurap akan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dan pengajaran yang terpenting dalam sejarah manusia—kerja yang dicatatkan dalam laporan aktiviti penyebaran tahunan kita.
[Nota kaki]
^ per. 8 Lihat rencana berkenaan hamba yang setia dan Badan Pimpinannya dalam The Watchtower, 15 Jun 2009, muka surat 24.