Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Anda Mencontohi Pinehas semasa Menghadapi Cabaran?

Dapatkah Anda Mencontohi Pinehas semasa Menghadapi Cabaran?

Dapatkah Anda Mencontohi Pinehas semasa Menghadapi Cabaran?

ADAKAH anda seorang penatua? Jika ya, anda diberikan penghormatan yang sangat istimewa. Namun begitu, Firman Tuhan menyatakan bahawa para penatua yang dilantik oleh daya aktif Tuhan akan menghadapi cabaran. Kadangkala mereka terpaksa mengendalikan kes salah laku dan ‘menghakimi orang atas nama Yehuwa.’ (2 Taw. 19:6) Ada juga penyelia yang berasa kurang layak untuk mengendalikan tugasan tertentu. Musa pun pernah berasa sedemikian. Dia bertanya dengan rendah hati, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja [Mesir].”​—Kel. 3:11.

Bible merupakan pedoman penting bagi para penatua. Bible diilhami oleh daya aktif Tuhan dan mengandungi contoh penyelia yang berjaya mengatasi pelbagai cubaan. Mari kita belajar tentang Pinehas. Dia merupakan anak Eleazar dan cucu Harun, dan dia bakal menjadi imam agung. Terdapat tiga peristiwa dalam kehidupannya yang menunjukkan bahawa para penatua hari ini perlu berani, memperlihatkan pemahaman, dan bergantung pada Yehuwa semasa menangani cabaran.

Dia Segera Bertindak

Sewaktu orang Israel berkhemah di Dataran Moab, Pinehas hanyalah seorang pemuda. Menurut Bible, ‘Kaum lelaki mula bersetubuh dengan perempuan Moab. Orang Israel juga makan daging daripada korban dan menyembah tuhan orang Moab.’ (Bil. 25:1-3) Yehuwa mengenakan wabak yang membawa maut ke atas para pendosa. Dapatkah anda membayangkan bagaimana peristiwa ini mempengaruhi Pinehas?

Kisah Bible menyambung: “Ketika Musa dan segenap umat sedang meratap di pintu Khemah Tuhan, mereka melihat seorang Israel membawa seorang perempuan Midian masuk ke dalam khemahnya.” (Bil. 25:6, ABB) Apakah yang akan dilakukan oleh imam Pinehas? Dia agak muda, sedangkan pendosa itu merupakan seorang yang mengambil pimpinan dalam ibadat suci.​—Bil. 25:14.

Tetapi Pinehas tidak takut akan manusia. Dia hanya takut akan Yehuwa. Apabila dia nampak kedua-dua orang itu, dia segera mengambil sebatang tombak, lalu menyusul lelaki dan perempuan itu ke dalam khemah dan menikam mereka. Apakah pandangan Yehuwa terhadap Pinehas yang berani dan tidak teragak-agak untuk bertindak? Yehuwa menghentikan wabak dengan serta-merta dan berjanji bahawa Pinehas dan keturunannya akan “menjadi imam selama-lamanya.”​—Bil. 25:7-13.

Sudah tentu, para penatua Kristian hari ini tidak boleh bertindak sedemikian. Tetapi mereka meniru teladan Pinehas yang berani dan bertindak tanpa teragak-agak. Misalnya, Guilherme dilantik untuk menganggotai jawatankuasa pengadilan semasa dia baru berkhidmat sebagai penatua untuk beberapa bulan sahaja. Kes salah laku melibatkan seorang penatua yang pernah membantu Guilherme semasa dia lebih muda. Guilherme berkata, “Saya berasa kurang selesa dan tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Saya asyik berfikir tentang cara-cara untuk mengendalikan kes ini mengikut piawaian Yehuwa dan tidak membenarkan emosi saya untuk mempengaruhi keputusan yang dibuat. Saya berdoa hari demi hari dan menyelidiki bahan bacaan Bible.” Hal ini membantunya untuk memupuk keberanian yang diperlukan untuk menangani situasi itu dan memberikan bantuan rohani kepada saudaranya yang berbuat salah.​—1 Tim. 4:11, 12.

Dengan memperlihatkan keberanian dan bertindak tanpa teragak-agak, para penatua boleh menjadi suri teladan dalam menunjukkan iman dan kesetiaan. Tentu sekali orang Kristian lain juga perlu berani kerana benar dan melaporkan dosa serius yang diketahui oleh mereka. Dalam cara yang sama, kita perlu setia dan tidak lagi bergaul dengan kawan atau saudara-mara yang telah disingkirkan.​—1 Kor. 5:11-13.

Pemahaman Membantu Kita Mengelakkan Krisis

Pinehas tidak memperlihatkan keberanian secara membuta tuli. Dia memperlihatkan pemahaman. Hal ini bermaksud dia bertindak dengan cermat dan menggunakan budi bicara. Contohnya, semasa suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur membina mazbah berhampiran Sungai Yordan, orang Israel lain berfikir bahawa mereka menggunakan mazbah itu untuk ibadat palsu. Orang Israel ingin berperang dengan mereka.​—Yos. 22:11, 12.

Apakah reaksi Pinehas? Dia dan para pemimpin Israel bertemu dengan ketiga-tiga suku tersebut untuk mengetahui mengapa mazbah itu dibina. Ketiga-tiga suku menerangkan bahawa mazbah itu sebenarnya dibina sebagai tanda bahawa mereka ‘beribadat kepada Yehuwa.’ Ya, tindakan ini telah membantu mengelakkan krisis daripada berlaku!​—Yos. 22:13-34.

Jika seorang Kristian mendengar suatu tuduhan atau laporan buruk tentang seorang saudara atau saudari lain, dia seharusnya meniru teladan Pinehas. Jika kita mempunyai pemahaman, kita tidak akan mudah tersinggung atau mendedahkan keburukan rakan Kristian kita.​—Ams. 19:11.

Bagaimanakah pemahaman dapat membantu para penatua supaya mengikut contoh Pinehas? Jaime, seorang penatua yang berkhidmat selama lebih daripada sepuluh tahun berkata, “Apabila seseorang penyiar memberitahu saya tentang perselisihan faham yang timbul antara dia dan orang lain, saya cepat-cepat meminta bantuan Yehuwa. Saya tidak mahu memihak dengan sesiapa tetapi ingin memberikan nasihat daripada Bible. Pernah sekali seorang saudari mengadu kepada saya tentang cara dia dilayan oleh seorang saudara yang bertanggungjawab. Oleh sebab saudara itu kawan saya, saya boleh bercakap dengannya untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi saya tidak berbuat demikian. Saya dan saudari ini berbincang dan berfikir tentang beberapa prinsip Bible yang boleh diterapkan. Dia bersetuju bahawa dia sendiri yang patut bercakap dengan saudara itu. (Mat. 5:23, 24) Walaupun begitu, dia masih tidak dapat berdamai dengan saudara itu. Jadi saya menggalakkannya untuk merenungkan prinsip-prinsip Bible yang lain. Dia mengambil keputusan untuk berdoa tentang masalah itu sekali lagi dan memaafkan saudara tersebut.”

Apakah hasilnya? Jaime berkata, “Beberapa bulan kemudian, saudari itu memberitahu saya bahawa saudara tersebut berasa kesal atas apa yang dikatakannya. Dia telah bekerja dengan saudari itu dalam kerja penyebaran dan meluahkan penghargaan untuknya. Jadi selesailah masalah yang timbul. Tidak mungkin saya dapat menyelesaikan masalah itu jika saya berat sebelah dan campur tangan dalam masalah mereka.” Bible menasihati kita, “Jangan tergesa-gesa membawa perkara ke mahkamah.” (Ams. 25:8) Ya, para penatua yang berpemahaman menggalakkan orang Kristian untuk menerapkan prinsip Bible agar menyelesaikan perselisihan faham serta mengekalkan kedamaian.

Dia Meminta Pandangan Yehuwa

Seperti yang telah dipelajari, Pinehas berpeluang untuk berkhidmat sebagai imam Tuhan, dan dia telah memperlihatkan keberanian dan pemahaman pada usia yang agak muda. Namun begitu, kejayaannya untuk menangani cabaran bergantung pada sama ada dia berharap pada Yehuwa.

Misalnya, selepas orang Gibea dari suku Benyamin memperkosa dan membunuh gundik seorang Lewi, suku-suku lain berganding bahu untuk berperang menentang mereka. (Hak. 20:1-11) Walaupun mereka telah memohon bantuan Yehuwa sebelum berperang, mereka tewas dua kali, dan ramai yang terkorban. (Hak. 20:14-25) Adakah doa mereka tidak berkesan? Adakah Yehuwa benar-benar mahu mereka mengambil tindakan ekoran peristiwa ngeri tersebut?

Pinehas tidak gentar atau hilang keyakinan pada Yehuwa. Sebagai imam agung dia berdoa, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?” Yehuwa menjawab doa dia dengan memberi mereka kemenangan ke atas suku Benyamin, dan seluruh kota Gibea hangus terbakar dijilat api.​—Hak. 20:27-48.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ini? Sesetengah masalah dalam sidang mungkin tidak dapat diselesaikan walaupun para penatua sudah berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa untuk bantuan Tuhan. Jika hal ini berlaku, adalah baik jika para penatua ingat akan kata-kata Yesus yang berikut: ‘Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu.’ (Luk. 11:9) Walaupun doa para penatua nampaknya tidak dikabulkan mereka boleh terus berdoa dan berasa yakin bahawa Yehuwa akan menjawab doa mereka kelak.

Sebagai contoh, sebuah sidang di Ireland amat memerlukan Dewan Perjumpaan. Tetapi pegawai perancangan tempatan menolak semua usul pembinaan yang dikemukakan oleh mereka untuk tapak yang ingin digunakan. Satu-satunya orang yang nampaknya dapat membantu mereka ialah ketua pegawai perancangan daerah. Adakah Tuhan akan membantu mereka jika mereka berdoa?

Seorang penatua menceritakan: “Selepas banyak berdoa, kami pergi ke pejabat perancangan daerah. Saya diberitahu bahawa kami perlu tunggu selama berminggu-minggu sebelum dapat berjumpa dengan ketua pegawai. Walau bagaimanapun, kami sempat bertemu dengannya selama lima minit. Selepas dia melihat pelan yang telah dilukis semula, dia meluluskan permintaan kami dengan serta-merta, dan semenjak itu pegawai perancangan tempatan juga banyak membantu kami. Pengalaman ini mengingatkan kami supaya tidak sekali-kali memandang remeh kuasa doa.” Sememangnya, Yehuwa pasti menjawab doa para penatua yang bergantung pada-Nya.

Walaupun tanggungjawab yang dipikul oleh Pinehas sangat berat, dia berjaya menangani situasi-situasi yang timbul kerana dia bersikap berani, memperlihatkan pemahaman, dan bergantung pada Tuhan. Pinehas telah mendapat perkenan Yehuwa kerana menjaga sidang Tuhan dengan tekun. Kira-kira 1,000 tahun kemudian, Ezra diilhami untuk menulis, ‘Pinehas anak lelaki Eleazar pernah mengetuai mereka. Semoga Yehuwa menyertai dia!’ (1 Taw. 9:20) Ya, Tuhan telah menyertai Pinehas. Semoga semua penatua, bahkan semua penyembah Tuhan meniru teladan Pinehas!