Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Larilah . . . Sehingga Kamu Mendapat Hadiah Itu”

“Larilah . . . Sehingga Kamu Mendapat Hadiah Itu”

“Larilah . . . Sehingga Kamu Mendapat Hadiah Itu”

“Larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu.”​—1 KOR. 9:24.

1, 2. (a) Bagaimanakah Paulus menggalakkan orang Kristian Ibrani? (b) Menurut Paulus, apakah yang patut kita lakukan?

SEMASA rasul Paulus menulis kepada orang Kristian Ibrani, dia menggunakan perumpamaan yang sangat berkesan untuk menggalakkan mereka. Dia mengingatkan mereka bahawa mereka tidak menempuh perlumbaan Kristian seorang diri. Mereka dikelilingi banyak hamba Yehuwa dahulukala yang telah menghabiskan larian mereka dengan jayanya. Jika orang Kristian Ibrani mengingati iman dan usaha tekun hamba-hamba setia ini, mereka akan didorong untuk terus berlari dan tidak berputus asa.

2 Dalam rencana sebelum ini, kita telah berbincang tentang beberapa hamba Yehuwa yang berjaya menghabiskan larian mereka. Mereka membuktikan bahawa iman yang kukuh membolehkan mereka untuk mengekalkan kesetiaan kepada Tuhan. Seperti mereka, bagaimanakah kita dapat menghabiskan perlumbaan Kristian kita? Paulus berkata, “Marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun.”​—Ibr. 12:1.

3. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Paulus tentang pelari pada zamannya?

3 Mengapakah Paulus berkata bahawa kita patut ‘membuang segala halangan’? Mengenai acara lumba lari yang berlangsung pada zaman Paulus, buku Backgrounds of Early Christianity menyatakan bahawa “orang Yunani berlatih dan bertanding secara telanjang.” * Kita tentu tidak setuju dengan cara mereka berlari, tetapi para pelari sanggup berbuat demikian kerana mereka ingin memenangi hadiah dan tidak mahu apa-apa menghalang mereka. Jadi Paulus sedang memberitahu orang Kristian Ibrani bahawa jika mereka mahu meraih hadiah kehidupan kekal, mereka perlu menyingkirkan apa sahaja yang boleh menghalang mereka. Nasihatnya juga sangat berguna bagi kita dewasa ini. Apakah yang mungkin menghalang kita daripada menghabiskan larian Kristian kita?

“Buang Segala Halangan”

4. Apakah yang mengalihkan perhatian orang pada zaman Nuh?

4 Paulus menasihati kita supaya ‘membuang segala halangan.’ Halangan ini merangkumi apa sahaja yang boleh mengalihkan tumpuan atau mengurangkan usaha kita dalam perlumbaan Kristian. Sebagai contoh Yesus berkata, “Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak.” (Luk. 17:26, ABB) Yesus bukan sekadar menyentuh tentang pembinasaan yang bakal melanda, tetapi dia sedang merujuk kepada cara hidup orang. (Baca Matius 24:37-39.) Kebanyakan orang pada zaman Nuh tidak ingin belajar tentang Tuhan atau hidup dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Apakah yang mengalihkan perhatian mereka? Perkara-perkara biasa seperti makan, minum, dan berkahwin. Mereka lebih mengutamakan hal-hal ini daripada mempedulikan amaran Tuhan.

5. Apakah yang dapat membantu kita untuk menghabiskan larian Kristian kita?

5 Seperti Nuh dan keluarganya, kita sangat sibuk setiap hari. Kita perlu mencari nafkah serta menjaga diri dan keluarga. Hal-hal ini boleh menelan banyak masa dan tenaga. Tambahan lagi, masalah kegawatan ekonomi mungkin menyebabkan kita berasa khuatir tentang keperluan hidup. Sebagai hamba-hamba Yehuwa, kita juga mempunyai banyak tanggungjawab rohani. Kita menjalankan kerja penyebaran, membuat persediaan untuk perjumpaan dan menghadirinya, serta membuat pembelajaran Bible peribadi dan penyembahan keluarga. Nuh telah ‘melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Tuhan.’ (Kej. 6:22, ABB) Tentu sekali, jika kita ingin menghabiskan larian Kristian, kita perlu membuang apa sahaja halangan yang menyukarkan kita untuk melintasi garisan penamat.

6, 7. Apakah nasihat Yesus yang perlu kita ingat sentiasa?

6 Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus semasa dia berkata “buang segala halangan”? Sudah tentu kita harus memikul tanggungjawab tertentu dalam kehidupan. Tetapi ingatlah kata-kata Yesus: ‘Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Tuhan. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.’ (Mat. 6:31, 32, ABB) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa perkara-perkara biasa dalam kehidupan seperti makanan dan pakaian boleh menjadi halangan atau beban jika kita terlalu mementingkannya.

7 Perhatikan frasa “Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.” Yesus menunjukkan bahawa Bapa kita Yehuwa akan menjaga keperluan kita. Sudah tentu, hal ini tidak bererti bahawa semua kemahuan kita akan dipenuhi. Namun, kita diminta supaya jangan khuatir tentang ‘semua perkara yang sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Tuhan.’ Mengapa? Yesus menasihati para pendengarnya, “Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba. Hari itu akan datang seperti perangkap.”​—Luk. 21:34, 35, ABB.

8. Mengapakah sekarang masanya untuk “buang segala halangan”?

8 Garisan penamat seolah-olah di depan mata. Alangkah sayangnya jika kita dibebani perkara-perkara yang menghalang kita daripada menghabiskan larian kita! Nasihat rasul Paulus memang bijak. Dia berkata, “Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki.” (1 Tim. 6:6, ABB) Ya, jika kita mendengarkan nasihat Paulus, kita dapat terus berlari dan meraih hadiah kehidupan kekal.

“Dosa yang Berpaut pada Kita”

9, 10. (a) Apakah makna “dosa yang berpaut pada kita”? (b) Apakah yang boleh berlaku kepada iman seorang Kristian?

9 Paulus juga berkata bahawa kita mesti membuang “dosa yang berpaut pada kita.” Perkataan “berpaut” juga diterjemahkan sebagai “mudah tersangkut,” dan istilah ini dalam bahasa Yunani hanya muncul sekali di dalam Bible. Seorang cendekiawan Bible yang bernama Albert Barnes berkata bahawa seorang pelari pada masa itu tidak memakai pakaian yang akan melambatkan pergerakan kakinya. Dalam cara yang sama, dia berkata bahawa seorang Kristian tidak patut membenarkan apa-apa untuk menjejaskan perlumbaannya. Bagaimanakah seorang Kristian boleh “tersangkut” sehingga berlakunya keruntuhan iman?

10 Iman seorang Kristian tidak hilang dalam sekelip mata. Hal ini mungkin berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari. Di bahagian awal suratnya kepada orang Ibrani, Paulus memberikan amaran tentang bahaya ini. Dia berkata bahawa mereka harus berhati-hati agar tidak beransur-ansur “meninggalkan kepercayaan” ataupun memupuk ‘hati yang begitu jahat sehingga meninggalkan Tuhan.’ (Ibr. 2:1; 3:12) Apabila seorang pelari memakai pakaian yang tidak sesuai, kakinya boleh tersangkut dan besar kemungkinan dia akan jatuh. Tetapi mengapakah sesetengah pelari tidak peduli tentang bahaya ini? Barangkali mereka cuai, terlalu yakin, atau perhatian mereka teralih. Apakah yang dapat kita pelajari daripada nasihat Paulus?

11. Apakah yang mungkin menyebabkan kita kehilangan iman?

11 Kita harus ingat bahawa perbuatan kita akan meninggalkan kesan yang besar ke atas iman kita. Seorang lagi cendekiawan yang mengulas tentang “dosa yang berpaut pada kita” berkata bahawa keadaan di sekeliling kita, pergaulan, dan keinginan berdosa senang mempengaruhi kita. Perkara-perkara ini boleh melemahkan iman dan bahkan menyebabkan kita kehilangan iman.​—Mat. 13:3-9.

12. Jika kita tidak ingin kehilangan iman, apakah amaran yang harus kita endahkan?

12 Hamba yang setia dan bijaksana selalu mengingatkan kita supaya berhati-hati terhadap apa yang kita tonton dan dengar kerana hal-hal ini boleh mempengaruhi hati dan fikiran. Kita juga diberikan amaran tentang bahayanya sikap cinta akan wang dan harta benda. Tetapi kita mungkin sudah terpukau oleh dunia hiburan atau peralatan baru yang canggih. Jadi kita mungkin berfikir, “Nasihat sedemikian terlalu tegas” atau “Nasihat ini tidak sesuai untuk saya kerana iman saya cukup kuat.” Jerat dunia Syaitan sangat licik dan sukar dikenal pasti. Sesetengah orang bersikap cuai, terlalu yakin, dan membenarkan perhatian mereka dialihkan sehingga “tersangkut” lalu berlakunya keruntuhan iman. Jika hal ini terjadi, kita mungkin kehilangan hadiah kehidupan kekal.​—1 Yoh. 2:15-17.

13. Bagaimanakah kita dapat menghindari cara pemikiran orang duniawi?

13 Setiap hari kita terdedah kepada pengaruh orang duniawi. Mereka mahu kita mempunyai matlamat, nilai, dan fikiran yang sama dengan mereka. (Baca Efesus 2:1, 2.) Walau bagaimanapun, kita boleh memilih sama ada kita mahu dipengaruhi oleh dunia atau tidak. Cara pemikiran orang duniawi adalah seperti udara beracun. Sepertimana kita tidak mahu menyedut udara yang beracun, kita juga tidak mahu membenarkan cara pemikiran orang duniawi meracuni fikiran kita. Apakah yang dapat membantu kita menghindari cara pemikiran orang duniawi? Kita boleh mengikut suri teladan Yesus. (Ibr. 12:2) Kita juga boleh meniru teladan Paulus. Dia berjaya melintasi garisan penamat dan menggalakkan rakan-rakan seiman untuk meniru contohnya.​—1 Kor. 11:1; Flp. 3:14.

“Mendapat Hadiah Itu”​—Bagaimana?

14. Apakah pandangan Paulus terhadap larian Kristiannya?

14 Apakah pandangan Paulus terhadap larian Kristiannya? Sewaktu dia bercakap kepada para penatua dari Efesus buat kali terakhir, dia berkata, ‘Aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuan Yesus.’ (Kis. 20:24) Ya, Paulus rela mengorbankan segala-galanya, termasuk nyawanya, agar dapat menghabiskan lariannya. Bagi Paulus, segala usaha yang dicurahkan demi berita baik sia-sia sahaja jika dia gagal melintasi garisan penamat. Namun begitu, dia terus berusaha dengan tekun dan tidak terlalu yakin pada diri sendiri. (Baca Filipi 3:12, 13.) Di penghujung riwayatnya, barulah dia berkata dengan yakin, “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir.”​—2 Tim. 4:7, ABB.

15. Apakah galakan yang diberikan Paulus kepada rakan-rakan seimannya?

15 Paulus ingin sekali melihat saudara saudarinya berlari hingga ke garisan penamat dan tidak berputus asa. Sebagai contoh, dia menggalakkan orang Kristian di Filipi untuk bekerja keras agar mendapat penyelamatan. Mereka perlu berpegang teguh pada Firman Tuhan. Mengapa? Paulus berkata, “Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia.” (Flp. 2:15, 16) Dalam cara yang sama, dia menggalakkan orang Kristian di Korintus, “Larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu.”​—1 Kor. 9:24.

16. Mengapakah hadiah kehidupan kekal harus nyata bagi kita?

16 Para peserta dalam suatu perlumbaan jarak jauh tidak dapat melihat garisan penamat pada mulanya. Tetapi sepanjang larian, mereka asyik berfikir tentang saat apabila mereka melintasi garisan penamat. Semasa menghampiri garisan penamat, azam mereka untuk menang bertambah kuat. Begitu juga dengan kita. Dalam perlumbaan Kristian kita, hadiah kehidupan kekal haruslah nyata. Barulah kita dapat memenangi hadiah itu!

17. Bagaimanakah iman membantu kita menumpukan perhatian pada hadiah kehidupan kekal?

17 Paulus menulis, “Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” (Ibr. 11:1, ABB) Abraham dan Sara sanggup meninggalkan kehidupan yang selesa dan hidup seperti “orang asing dan pengembara.” Apakah yang membantu mereka untuk berbuat demikian? “Dari jauh mereka nampak dan menyambut” perkara-perkara yang dijanjikan oleh Tuhan. Musa menolak “kesenangan hidup berdosa” dan “harta negeri Mesir.” Bagaimanakah dia memperoleh iman dan kekuatan untuk berbuat demikian? Bible menyatakan bahawa dia “mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.” (Ibr. 11:8-13, 24-26) Paulus berkata bahawa semua hamba Tuhan ini bertindak sedemikian “kerana beriman.” Iman membolehkan mereka mengharungi dugaan dan cabaran pada masa itu. Tuhan telah membantu mereka dan mereka tahu bahawa janji-janji-Nya akan menjadi kenyataan pada masa depan.

18. Bagaimanakah kita boleh membuang “dosa yang berpaut pada kita”?

18 Kita dapat memupuk iman dan membuang “dosa yang berpaut pada kita” jika kita merenungkan teladan hamba-hamba setia yang disebut di Ibrani bab 11 dan meniru teladan mereka. (Ibr. 12:1) Selain itu, kita dapat ‘saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan melakukan hal yang baik’ jika kita berkumpul bersama umat Tuhan yang mempunyai matlamat yang sama.​—Ibr. 10:24.

19. Mengapakah kita perlu terus menempuh perlumbaan sekarang?

19 Kita sudah hampir menghabiskan larian kita dan seolah-olah dapat melihat garisan penamat. Dengan adanya iman dan bantuan Yehuwa, kita boleh ‘membuang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita.’ Ya, kita dapat terus menempuh perlumbaan sehingga meraih berkat-berkat yang dijanjikan oleh Bapa kita Yehuwa!

[Nota kaki]

^ per. 3 Orang Yahudi kuno membantah perbuatan ini. Menurut buku 2 Maccabees, ramai orang Yahudi marah apabila Imam Agung Yason yang murtad mencadangkan agar sebuah gimnasium, seperti gimnasium orang Yunani, dibina di Yerusalem.—2 Macc. 4:7-17.

Ingatkah Anda?

• Bagaimanakah kita dapat membuang “segala halangan”?

• Apakah yang boleh menyebabkan seorang Kristian kehilangan imannya?

• Mengapakah hadiah kehidupan mesti nyata bagi kita?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 23]

Apakah “dosa yang berpaut pada kita”? Bagaimanakah kita boleh “tersangkut”?