“Berjaga-jagalah” Mengapa Begitu Mustahak?
“Berjaga-jagalah”—Mengapa Begitu Mustahak?
“APAKAH tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Mat. 24:3, NW) Yesus menjawab soalan murid-muridnya dengan menyebut tentang tanda yang jelas dan terperinci seperti yang tercatat di Matius bab 24, Markus bab 13, dan Lukas bab 21. Kemudian dia berkata, “Berjaga-jagalah.”—Mat. 24:42.
Jika tanda itu begitu jelas, mengapakah Yesus menyuruh mereka ‘berjaga-jaga’? Perhatikan dua sebab yang berikut. Pertama, terdapat gangguan yang mungkin mengalihkan perhatian seseorang sehingga dia tidak lagi berjaga-jaga lalu kerohaniannya mula merosot. Kedua, seorang Kristian mungkin mengetahui ciri-ciri tanda tersebut, tetapi tidak mengendahkannya kerana kehidupan peribadinya tidak terjejas. Dia mungkin berfikir bahawa kesengsaraan besar masih jauh dan dia tidak perlu ‘berjaga-jaga.’—Mat. 24:21.
Mereka Tidak Mengendahkan Amaran
Yesus telah mengingatkan pengikutnya tentang orang pada zaman Nuh. Kerja penyebaran yang dijalankan oleh Nuh, pembinaan bahtera yang sungguh besar, dan keganasan yang berleluasa sangat ketara. Tetapi kebanyakan orang pada masa itu tidak ambil peduli. (Mat. 24:37-39) Ramai hari ini juga tidak mengendahkan amaran. Sebagai contoh, ramai orang nampak papan tanda had laju tetapi tidak mengendahkannya. Pihak berkuasa sering kali terpaksa membina bonggol jalan untuk memastikan bahawa pengguna jalan raya memandu dengan perlahan. Dalam cara yang sama, seorang Kristian mungkin sedar akan tanda hari-hari terakhir tetapi masih bersikap endah tak endah. Mari kita lihat apa yang berlaku kepada Arielle, seorang remaja di Afrika Barat.
Arielle suka menonton acara bola baling wanita di televisyen. Apabila sekolahnya menubuhkan sebuah pasukan bola baling, peluang untuk mengambil bahagian mengaburi penglihatan rohaninya. Dia menyertai pasukan itu sebagai penjaga gol. Apakah yang berlaku? Dia menceritakan, “Beberapa rakan sepasukan mempunyai teman lelaki yang mengambil dadah dan merokok. Mereka mengejek saya kerana saya berbeza. Saya sangka saya dapat mengendalikan situasi itu. Tetapi tanpa diduga sukan ini mula menghakis kerohanian saya. Saya tergila-gilakan bola baling. Semasa di perjumpaan, fikiran saya melayang ke gelanggang bola baling. Keperibadian Kristian saya juga semakin pudar. Saya tidak lagi sekadar suka bermain, tetapi kini asyik berjuang untuk menang. Saya giat berlatih untuk mencapai hasrat saya dan tekanan makin bertambah. Saya bahkan sanggup menggadaikan persahabatan demi bola baling.”
Tetapi, apa yang berlaku dalam suatu pertandingan menyebabkan Arielle menilai situasinya. Pasukan lawan diberikan balingan penalti dan dia bersedia untuk menangkis serangan mereka. Dia berkata, “Tanpa disedari saya
meminta Yehuwa untuk membantu saya menepis bola tersebut!” Kejadian ini menyebabkan dia sedar betapa teruknya keadaan rohaninya. Apakah yang telah dia lakukan?“Saya pernah menonton DVD Young People Ask—What Will I Do With My Life? * Saya membuat keputusan untuk menonton DVD itu sekali lagi dan mengambil iktibar daripadanya. Saya berada dalam situasi yang sama dengan André, pemuda dalam drama itu. Saya menerapkan cadangan seorang penatua kepada André—baca dan renungi Filipi 3:8. Inilah yang membantu saya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan saya.”
“Hidup saya telah berubah! Semangat bersaing serta tekanan yang diiringinya lenyap. Saya berasa gembira dan menjadi lebih rapat dengan kawan-kawan Kristian saya. Aktiviti rohani menjadi lebih bermakna. Di perjumpaan, saya memberikan tumpuan dan mula menghayatinya semula. Kerja penyebaran saya juga semakin berkesan. Sekarang, saya berkhidmat sebagi perintis sokongan secara tetap.”
Jika terdapat sesuatu yang mengalihkan perhatian anda dan menyebabkan anda tidak mengendahkan tanda yang diberikan Yesus, anda perlu bertindak seperti Arielle. Cubalah cadangan yang berikut. Rujuklah Watch Tower Publications Index, yang juga dikenali sebagai sebuah peta harta karun. Di situ anda boleh menjumpai banyak nasihat yang baik dan pengalaman orang yang berjaya menangani pelbagai godaan. Hadirilah perjumpaan Kristian dan peroleh manfaat dengan membuat persediaan rapi dan mencatatkan isi-isi penting. Anda boleh meraih lebih banyak manfaat jika anda duduk di bahagian depan dewan. Jika sesi soal jawab diadakan, berilah komen dengan segera. Selain itu, anda boleh berjaga-jaga secara rohani dengan mengaitkan berita semasa dengan peristiwa yang menandakan “hari-hari terakhir.”—2 Tim. 3:1-5; 2 Ptr. 3:3, 4; Why. 6:1-8.
‘Kamu Hendaklah Sentiasa Bersedia’
Tanda hari-hari terakhir meliputi “seluruh dunia.” (Mat. 24:7, 14) Jutaan orang tinggal di tempat yang diserang wabak, kebuluran, gempa bumi, serta peristiwa lain yang dinubuatkan. Tetapi yang lain pula tinggal di tempat yang boleh dikatakan aman dan damai. Jika anda tidak pernah mengalami peristiwa yang menandakan hari-hari terakhir, patutkah anda berfikir bahawa kesengsaraan besar masih jauh lagi? Pemikiran sebegini tidak wajar.
Fikirlah tentang kata-kata Yesus tentang ‘kebuluran dan wabak.’ (Luk. 21:11) Pertama, dia tidak menyatakan bahawa semua peristiwa ini akan berlaku serentak di serata bumi dengan kesan yang sama. Sebaliknya dia berkata bahawa hal ini akan terjadi “di pelbagai tempat.” Jadi hal ini akan berlaku di tempat yang berbeza pada masa yang berbeza. Kedua, selepas menyebut tentang kebuluran, Yesus mengingatkan pengikutnya supaya ‘jangan asyik berpesta,’ atau makan secara gelojoh. (Luk. 21:34) Maka, bukan semua orang Kristian akan mengalami setiap peristiwa yang menandakan hari-hari terakhir. Yesus berkata, ‘Apabila kamu nampak perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa Tuhan akan segera memerintah.’ (Luk. 21:31) Alat komunikasi moden membolehkan kita melihat semua aspek tanda hari-hari terakhir tidak kira di mana kita berada.
Ingatlah juga bahawa Yehuwa sudah pun menetapkan ‘hari atau waktu’ kesengsaraan besar akan bermula. (Mat. 24:36) Peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi tidak akan mengubah tarikh ini.
“Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia,” kata Yesus kepada semua orang Kristian di serata dunia. (Mat. 24:44) Ya, kita perlu sentiasa bersedia. Memang kita tidak boleh menjalankan aktiviti rohani sehari suntuk. Lagipun, semasa kesengsaraan besar tercetus kita tidak dapat menjangka di mana kita akan berada atau apa yang akan kita lakukan; ada yang mungkin bekerja di luar, yang lain pula mungkin bekerja di rumah. (Mat. 24:40, 41) Jadi, bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa kita bersedia?
Emmanuel, Victorine, dan enam orang anak perempuan mereka menetap di sebuah kawasan di Afrika yang tidak mengalami semua peristiwa yang menandakan hari-hari terakhir. Mereka memutuskan untuk mengadakan perbincangan rohani setiap hari supaya tetap bersedia. Emmanuel menjelaskan, “Memang susah nak cari masa yang sesuai bagi semua. Kami akhirnya memilih masa antara pukul enam hingga enam setengah pagi. Selepas membincangkan ayat harian, kami akan membuat persediaan bagi beberapa perenggan dalam bahan bacaan yang akan dibincangkan dalam pembelajaran sidang minggu itu.” Apakah hasilnya? Program ini telah membantu mereka berjaga-jaga secara rohani! Emmanuel berkhidmat sebagai koordinator badan penatua. Victorine sering berkhidmat sebagai perintis sokongan, dan telah membantu ramai orang untuk memeluk kebenaran. Semua anak mereka membuat kemajuan rohani yang baik.
Yesus mengingatkan kita, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah.” (Mrk. 13:33) Jangan benarkan apa-apa untuk mengalihkan perhatian anda dan menyebabkan anda tertidur secara rohani. Sebaliknya seperti Arielle, berilah perhatian penuh pada nasihat yang disediakan dalam bahan bacaan kita dan di perjumpaan. Dan seperti keluarga Emmanuel, lakukanlah sesuatu setiap hari supaya anda dapat sentiasa bersedia dan ‘berjaga-jaga.’
[Nota kaki]
^ per. 8 Sebuah drama moden tentang pergelutan seorang remaja Kristian yang mahu menyenangkan hati Yehuwa.
[Gambar pada muka surat 4]
Perbincangan rohani yang diadakan setiap hari membantu Emmanuel dan keluarganya untuk “sentiasa bersedia”