Melegakan Hati Orang yang Berduka
Melegakan Hati Orang yang Berduka
‘Yehuwa telah memilih aku untuk menghiburkan orang yang berduka.’—YES. 61:1, 2.
1. Apakah yang dilakukan Yesus untuk orang yang berduka, dan mengapa?
YESUS KRISTUS telah berkata, ‘Makananku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepadaku.’ (Yoh. 4:34) Semasa Yesus menjalankan aktiviti penyebaran di bumi, dia mencerminkan kasih Bapanya terhadap umat manusia. (1 Yoh. 4:7-10) Rasul Paulus berkata bahawa salah satu cara Yehuwa memperlihatkan kasih adalah dengan “sentiasa menolong [“melegakan hati,” NW] kita.” (2 Kor. 1:3) Nabi Yesaya bernubuat bahawa Yesus akan menunjukkan kasih sedemikian terhadap orang. (Baca Yesaya 61:1, 2.) Di rumah ibadat di Nasaret, Yesus berkata bahawa dia sedang menggenapi nubuat itu. (Luk. 4:16-21) Sepanjang aktiviti penyebarannya di bumi, Yesus telah menghiburkan, atau melegakan hati, orang yang berduka. Dia menggalakkan mereka dan menenangkan fikiran mereka.
2, 3. Mengapakah pengikut Kristus harus mengikut teladannya dan melegakan hati orang lain?
2 Semua pengikut Yesus perlu mengikut teladannya dan melegakan hati orang yang berduka. (1 Kor. 11:1) Paulus berkata, “Hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan.” (1 Tes. 5:11) Sekaranglah masanya untuk melegakan hati orang lain kerana kita hidup “pada hari-hari terakhir” yang dibanjiri kesusahan. (2 Tim. 3:1) Semakin banyak orang di serata dunia hidup sengsara dan berduka akibat tutur kata dan perbuatan orang lain.
3 Bible menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir ramai orang ‘mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak. Mereka akan menghina dan melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih dan tidak mahu mengenal Tuhan. Mereka tidak mengasihi sesama manusia, tidak berbelas kasihan, suka mengumpat, suka akan keganasan; mereka kejam dan benci akan kebaikan. Mereka suka berkhianat, tidak berfikir panjang dan sombong. Mereka lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan.’ Sifat-sifat sebegini semakin menular kerana ‘orang jahat dan penipu menjadi semakin jahat.’—2 Tim. 3:2-4, 13, ABB.
4. Bagaimanakah keadaan dunia masa kini?
4 Keadaan dunia sekarang tidak menghairankan kita kerana Firman Tuhan jelas menyatakan bahawa “seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” (1 Yoh. 5:19) “Seluruh dunia” merangkumi sistem politik, agama, dan perdagangan dunia, serta unsur lain yang digunakan untuk menyebarkan propaganda Iblis. Tanpa sebarang keraguan kita tahu bahawa Syaitan Si Iblis merupakan “penguasa dunia” ini. (Yoh. 14:30; 2 Kor. 4:4) Keadaan dunia semakin teruk kerana Syaitan sangat marah; dia tahu masanya tinggal sedikit. (Why. 12:12) Betapa leganya kita kerana tidak lama lagi Yehuwa akan menghancurkan Syaitan dan sistem dunianya yang fasiq! Pada masa itu, isu yang dikemukakan Syaitan tentang kedaulatan Tuhan akan selesai.—Kej., bab 3; Ayb., bab 2.
Berita Baik Sedang Disebarkan di Seluruh Bumi
5. Bagaimanakah nubuat tentang kerja penyebaran digenapi pada hari-hari terakhir ini?
5 Walaupun keadaan dunia sekarang sarat dengan kesusahan, nubuat Yesus sedang digenapi. Dia berkata, ‘Berita Baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.’ (Mat. 24:14, ABB) Kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan sedang dijalankan pada skala yang besar. Selaras dengan teladan Yesus, hari ini lebih daripada 7,500,000 Saksi-Saksi Yehuwa dalam lebih daripada 107,000 buah sidang di serata dunia sedang menjalankan kerja ini. (Mat. 4:17) Hasilnya, banyak orang yang berduka mendapat kelegaan hati. Sepanjang dua tahun yang lalu, sebanyak 570,601 orang telah dibaptiskan!
6. Apakah pandangan anda terhadap perkembangan kerja penyebaran hari ini?
6 Hari ini Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan dan mengedarkan bahan bacaan Bible dalam lebih daripada 500 bahasa. Perkara sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia! Walaupun dunia ini dikawal oleh Syaitan, umat Yehuwa aktif dalam kerja penyebaran dan bilangan mereka terus bertambah. Hal ini tentu tidak dapat berlaku tanpa bantuan dan bimbingan daya aktif Tuhan. Ya, menerusi kerja penyebaran orang di seluruh pelosok dunia yang berhati jujur juga menikmati kelegaan hati.
Melegakan Hati Rakan Seiman
7. (a) Mengapakah Yehuwa tidak akan melindungi kita daripada segala penderitaan sekarang? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa kita boleh berjaya menghadapi penganiayaan dan penderitaan?
7 Oleh sebab kita hidup dalam dunia yang fasiq, kadangkala kita akan menderita. Yehuwa akan menghapuskan sistem dunia ini tidak lama lagi, tetapi Dia tidak akan melindungi kita daripada segala kesengsaraan sekarang. Penganiayaan yang dihadapi memberi peluang kepada kita untuk membuktikan kesetiaan kepada Tuhan dan menyokong kedaulatan-Nya. (2 Tim. 3:12) Tetapi Bapa kita di syurga akan membantu dan melegakan hati kita. Dengan demikian, kita dapat menjadi seperti orang Kristian terurap di Tesalonika yang beriman dan bertabah hati semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan.—Baca 2 Tesalonika 1:3-5.
8. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa melegakan hati hamba-hamba-Nya?
8 Yehuwa pasti melegakan hati hamba-hamba-Nya. Fikirlah tentang nabi Elia. Apabila nyawanya diancam oleh Permaisuri Izebel yang fasiq, Elia berasa takut dan melarikan diri. Dia juga berkata bahawa dia ingin mati. Yehuwa tidak memarahi Elia, sebaliknya Dia menguatkan semangatnya dan menggalakkannya untuk meneruskan khidmat sebagai seorang nabi. (1 Raj.19:1-21) Selain itu, Yehuwa juga telah melegakan hati orang Kristian pada abad pertama. Bible memberitahu kita bahawa orang Kristian di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria mengalami ketenteraman. Mereka menghormati Tuhan dan dengan ‘pertolongan Roh [daya aktif] Tuhan,’ mereka “bertambah kuat dan bertambah banyak.” (Kis. 9:31) Tidakkah kita bersyukur kerana kita juga mendapat pertolongan daya aktif Tuhan?
9. Mengapakah kita dapat memperoleh kelegaan hati jika kita belajar tentang Yesus?
9 Orang Kristian yang belajar tentang Yesus dan mengikut jejaknya memperoleh kelegaan hati. Yesus pernah berkata, ‘Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. Ikutlah perintahku dan terimalah ajaranku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan. Perintah yang aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang aku berikan mudah dipikul.’ (Mat. 11:28-30, ABB) Ya, jika kita belajar tentang cara Yesus memperlakukan orang lain dan meniru teladannya yang positif, kita dapat berasa lega hati dan tidak begitu tertekan.
10, 11. Siapakah yang dapat menawarkan kelegaan hati dalam sidang?
10 Rakan seiman juga boleh membawa kelegaan hati kepada kita. Contohnya, fikirlah tentang cara para penatua membantu orang yang lemah secara rohani. Yakobus menulis, “Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya.” Apakah hasilnya? “Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan.” (Yak. 5:14, 15, ABB) Tetapi adakah para penatua sahaja yang dapat memberikan kelegaan hati?
11 Lazimnya, kaum wanita berasa lebih selesa untuk meluahkan isi hati kepada wanita lain. Saudari yang lebih tua dan matang khususnya boleh menasihati saudari yang lebih muda. Wanita Kristian yang matang ini mungkin telah menghadapi situasi yang sama pada suatu masa dahulu. Maka dengan mendengar dan menunjukkan keprihatinan, mereka dapat memberikan kelegaan hati kepada saudari yang lebih muda. (Baca Titus 2:3-5.) Para penatua dan orang Kristian lain juga patut “melegakan hati mereka yang murung.” (1 Tes. 5:14, 15, NW) Ingatlah bahawa Tuhan ‘menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.’—2 Kor. 1:4.
12. Mengapakah penting untuk menghadiri perjumpaan Kristian?
12 Satu cara yang sangat penting untuk memperoleh kelegaan hati adalah dengan menghadiri perjumpaan Kristian. Perbincangan Bible yang diadakan di situ menggalakkan kita. Bible menyatakan bahawa Yudas dan Silas telah menyampaikan banyak ceramah yang “memberikan semangat dan keberanian” kepada rakan Kristian mereka. (Kis. 15:32) Sebelum dan selepas perjumpaan, anggota sidang Kristian akan menggalakkan satu sama lain. Jadi, jika kita sedang menghadapi masalah tertentu, adalah baik untuk menghabiskan masa dengan rakan seiman. Jika kita menyisihkan diri, kita hanya memburukkan lagi keadaan. (Ams. 18:1) Sebaliknya, marilah kita mengikut nasihat rasul Paulus: “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain.”—Ibr. 10:24, 25, ABB.
Memperoleh Kelegaan Hati daripada Firman Tuhan
13, 14. Bagaimanakah Alkitab melegakan hati kita?
13 Tidak kira sama ada kita sudah dibaptis atau baru sahaja belajar tentang Tuhan dan tujuan-Nya, kita dapat memperoleh kelegaan hati yang besar daripada Firman Tuhan. Paulus menulis, “Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati.” (Rm. 15:4, ABB) Kitab Suci boleh melegakan hati kita dan ‘melengkapi kita dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.’ (2 Tim. 3:16, 17) Kebenaran tentang tujuan Tuhan dan harapan sejati yang ditawarkan-Nya memang membawa kelegaan hati yang besar. Maka, marilah kita memanfaatkan Firman Tuhan dan bahan bacaan Bible yang lain.
14 Yesus menyediakan teladan yang baik Luk. 24:32) Rasul Paulus yang mengikut teladan Yesus juga suka ‘berbincang tentang ayat-ayat Alkitab.’ Orang Berea yang mendengar Paulus “suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab.” (Kis. 17:2, 10, 11) Jadi, memang penting untuk membaca Bible setiap hari dan juga bahan bacaan Bible. Jika kita berbuat demikian, kita boleh memperoleh kelegaan hati dan harapan yang diperlukan semasa menghadapi cabaran.
bagi kita. Dia menggunakan Alkitab untuk mengajar dan melegakan hati orang lain. Selepas dia dibangkitkan, dia telah “menerangkan isi Alkitab” kepada dua orang muridnya. Pada masa itu, murid-muridnya berasa lega hati. (Cara Lain untuk Melegakan Hati Orang
15, 16. Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu dan melegakan hati rakan Kristian kita?
15 Kita boleh membantu dan melegakan hati rakan seiman kita dengan cara yang praktikal. Contohnya, kita boleh membantu mereka yang sudah lanjut usia atau yang uzur untuk membeli barang keperluan. Kita juga boleh menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang orang lain dengan melakukan kerja rumah untuk mereka. (Flp. 2:4) Selain itu, kita boleh memuji rakan Kristian atas sifat-sifat baik mereka seperti kasih, keberanian, dan iman.
16 Kita digalakkan untuk membawa kelegaan hati kepada mereka yang lanjut usia dengan melawat mereka dan mendengar pengalaman serta berkat yang dinikmati oleh mereka dalam khidmat Yehuwa. Dengan berbuat demikian, kita sendiri boleh mendapat galakan dan kelegaan hati. Kita juga boleh membaca Bible dan bahan bacaan Bible semasa melawat orang. Kita boleh membincangkan majalah pembelajaran atau buku yang digunakan dalam Pembelajaran Bible Sidang pada minggu itu. Selain itu, kita juga boleh menonton salah sebuah DVD yang bertemakan Bible. Tambahan lagi, kita boleh membaca atau berkongsi pengalaman yang menarik yang dijumpai dalam bahan bacaan kita.
17, 18. Mengapakah kita boleh pasti bahawa Yehuwa akan membantu dan melegakan hati hamba-hamba-Nya yang setia?
17 Jika kita memerhatikan bahawa salah seorang rakan Kristian kita memerlukan kelegaan hati, adalah baik untuk berdoa baginya. (Rm. 15:30; Kol. 4:12) Apabila kita mencuba untuk menggalakkan orang lain meskipun kita sendiri mengalami kesusahan dalam hidup, kita boleh berasa yakin seperti Daud yang berkata, “Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Tuhan, maka Dia akan membela kamu; Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan.” (Mzm. 55:23, ABB) Ya, Yehuwa selalu berada di samping kita untuk menyokong serta melegakan hati kita.
18 Tuhan memberitahu umat-Nya pada zaman dahulu, “Akulah yang menghibur kamu.” (Yes. 51:12) Pada masa sekarang juga Yehuwa menghiburkan kita, serta memberkati usaha kita untuk melegakan hati orang lain. Tidak kira sama ada kita akan ke syurga atau tinggal di bumi, kita memperoleh kelegaan hati daripada kata-kata Paulus yang berikut kepada rakan Kristiannya yang terurap: ‘Tuhan Bapa kita mengasihi kita, dan kerana rahmat-Nya Dia menyebabkan kita sentiasa tabah mengharapkan yang baik. Semoga Dia dan Tuan kita Yesus Kristus sendiri menggalakkan kamu dan menguatkan kamu untuk melakukan dan mengatakan yang baik.’—2 Tes. 2:16, 17, ABB.
Ingatkah Anda?
• Bagaimanakah nubuat tentang kerja penyebaran sedang digenapi?
• Apakah yang boleh kita lakukan untuk melegakan hati orang?
• Bagaimanakah Alkitab membuktikan bahawa Yehuwa melegakan hati umat-Nya?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 28]
Adakah anda melegakan hati orang yang berduka?
[Gambar pada muka surat 30]
Orang tua dan muda boleh saling memberi galakan