Nasihat Bible mengenai Hidup Membujang dan Perkahwinan
Nasihat Bible Mengenai Hidup Membujang dan Perkahwinan
“Aku memberikan nasihat demikian kerana . . . aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati.”—1 KOR. 7:35.
1, 2. Mengapakah kita patut mempelajari nasihat Bible tentang kehidupan membujang dan perkahwinan?
GEMBIRA! Geram! Khuatir! Inilah antara perasaan yang dialami dalam hubungan kita dengan orang berlawanan jantina. Tambahan lagi, orang Kristian yang gembira untuk hidup membujang mungkin didesak oleh ahli keluarga dan kawan untuk berkahwin. Yang lain ingin berkahwin, tetapi tidak dapat mencari jodoh yang sesuai. Ada pula yang sedang berpacaran dan memerlukan bimbingan supaya dapat menjadi suami atau isteri yang baik. Selain itu, orang bujang dan mereka yang sudah berkahwin mesti menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral. Sememangnya, kita memerlukan bimbingan Tuhan!
2 Keadaan di atas bukan sahaja mempengaruhi kebahagiaan kita, malah mempengaruhi hubungan kita dengan Tuhan. Di 1 Korintus bab 7, Paulus memberikan nasihat kepada orang bujang dan mereka yang sudah berkahwin. Tujuannya adalah untuk membantu mereka “melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati.” (1 Kor. 7:35) Anda juga boleh memanfaatkan nasihat Paulus. Tidak kira sama ada anda bujang atau sudah berkahwin, anda boleh menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.
Keputusan Peribadi yang Sangat Penting
3, 4. (a) Apakah masalah yang mungkin berlaku jika seseorang didesak untuk berkahwin? (b) Bagaimanakah nasihat Paulus membantu kita mempunyai pandangan yang seimbang terhadap perkahwinan?
3 Orang Yahudi pada abad pertama percaya bahawa semua orang harus berkahwin. Kini ramai masih mempunyai pandangan yang sama. Selepas seseorang yang bujang menjangkau usia tertentu, kawan-kawan dan saudara-mara mungkin berasa risau dan mula memberikan nasihat tentang perkahwinan. Mereka mungkin menggalakkannya supaya berusaha dengan lebih gigih untuk mencari jodoh. Ataupun mereka akan mencadangkan calon baginya. Mereka juga mungkin memperdaya dua orang yang bujang untuk bertemu. Kadangkala perbuatan sebegini boleh merosakkan persahabatan atau menyebabkan orang yang terlibat berasa malu dan sakit hati.
4 Rasul Paulus tidak pernah mendesak orang lain untuk berkahwin atau hidup membujang. (1 Kor. 7:7) Walaupun dia gembira untuk berkhidmat kepada Yehuwa tanpa seorang isteri, dia menghormati orang lain yang ingin berkahwin. Dewasa ini, setiap orang Kristian berhak memutuskan sama ada dia hendak berkahwin atau tidak. Orang lain tidak patut campur tangan atau membuat keputusan untuk mereka.
Menikmati Sukacita walaupun Bujang
5, 6. Mengapakah Paulus menggalakkan hidup membujang?
5 Kata-kata Paulus kepada orang Korintus menunjukkan bahawa dia mempunyai pandangan yang positif terhadap kehidupan membujang. (Baca 1 Korintus 7:8.) Walaupun Paulus sendiri bujang, dia tidak seperti sesetengah pemimpin agama Kristian yang enggan berkahwin dan menganggap diri lebih alim daripada orang yang sudah berkahwin. Sebaliknya, Paulus menunjukkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Kristian bujang. Apakah kelebihan tersebut?
6 Biasanya orang Kristian bujang memiliki kebebasan untuk menerima tugasan teokratik tertentu yang mungkin tidak dapat diterima oleh orang yang sudah berkahwin. Paulus sendiri menerima tugasan khas untuk “menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi.” (Rm. 11:13) Bacalah Kisah bab 13 hingga 20, dan lihat cara Paulus dan mubaligh lain menyebarkan berita baik di kawasan baru dan menubuhkan banyak sidang. Walaupun Paulus menghadapi banyak cabaran, dia menikmati sukacita yang besar kerana membantu ramai orang untuk menjadi pengikut Yesus. (2 Kor. 11:23-27, 32, 33; 1 Tes. 1:2-7, 9; 2:19) Dapatkah Paulus melakukan semua ini jika dia sudah berumah tangga? Besar kemungkinan tidak.
7. Bagaimanakah dua orang saudari bujang meluaskan kerja penyebaran mereka?
7 Ramai orang Kristian bujang mengambil peluang untuk meluaskan khidmat mereka dalam kerja penyebaran. Contohnya, Sara dan Limbania, dua orang perintis di Bolivia, telah berpindah ke sebuah kampung yang tidak dikunjungi oleh Saksi-Saksi selama bertahun-tahun. Orang di situ tidak menonton TV atau mendengar radio kerana tiada bekalan elektrik. Sebaliknya, mereka suka membaca. Beberapa penduduk masih mempunyai bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa yang lama dan yang tidak dicetak lagi. Oleh sebab kedua-dua saudari ini mendapat sambutan baik di hampir setiap rumah, mereka mengambil masa yang lama untuk meliputi seluruh kawasan penyebaran. Seorang wanita yang lanjut usia berkata, “Tentu akhir dunia sudah dekat kerana Saksi-Saksi Yehuwa sudah pun sampai ke sini.” Tidak lama kemudian, beberapa orang di kampung itu mula menghadiri perjumpaan.
8, 9. (a) Mengapakah Paulus berkata adalah baik untuk berkhidmat kepada Yehuwa sebagai orang bujang? (b) Apakah kelebihan berkhidmat kepada Yehuwa sebagai orang bujang?
8 Memang tidak dapat dinafikan, orang yang telah berkahwin pun mendapat sambutan baik semasa menjalankan kerja penyebaran di kawasan yang mencabar. Tetapi orang bujang boleh menerima tugasan yang mungkin sukar bagi orang yang sudah berkahwin atau mempunyai anak. Semasa Paulus menulis kepada orang Kristian, dia tahu bahawa berita baik harus disebarkan ke banyak kawasan lagi. Dia mahu semua orang menikmati kebahagiaan seperti dia.
Itulah sebabnya dia berkata adalah baik untuk berkhidmat kepada Yehuwa sebagai orang bujang.9 Seorang saudari bujang yang merupakan perintis dari Amerika Syarikat menulis, “Sesetengah orang percaya bahawa mereka yang belum berkahwin tidak dapat hidup bahagia. Tetapi saya tahu bahawa persahabatan dengan Yehuwalah yang membawa kebahagiaan sejati. Walaupun hidup membujang merupakan suatu pengorbanan, hidup membujang juga merupakan kurniaan yang berharga jika digunakan dengan betul.” Dia juga mengatakan bahawa hidup membujang boleh membuka peluang bagi seseorang untuk menikmati kebahagiaan. Katanya, “Saya tahu bahawa Yehuwa mengasihi semua orang, tidak kira sama ada mereka bujang atau sudah berkahwin.” Kini, dia sedang berkhidmat di sebuah negara yang memerlukan lebih banyak penyiar. Jika anda seorang saudara atau saudari bujang, dapatkah anda mengambil peluang ini untuk mengajar lebih banyak orang tentang kebenaran? Ya, hidup membujang dapat menjadi kurniaan yang bernilai kepada anda juga!
Orang Bujang yang Ingin Berkahwin
10, 11. Bagaimanakah Yehuwa membantu mereka yang ingin berkahwin tetapi belum menjumpai pasangan yang sesuai?
10 Ramai hamba Yehuwa hidup membujang buat suatu jangka masa. Tetapi kemudian mereka mungkin membuat keputusan untuk berkahwin. Mereka sedar bahawa mereka memerlukan bimbingan dalam hal ini, jadi mereka memohon bantuan Yehuwa untuk mencari pasangan yang sesuai.
11 Jika anda ingin mengahwini seseorang yang menyembah Yehuwa dengan segenap hati, berdoalah kepada Yehuwa. (Flp. 4:6, 7) Walaupun anda mungkin perlu tunggu untuk masa yang lama, janganlah putus harapan. Yehuwa tahu apa yang anda perlukan. Jadi bersandarlah pada-Nya, dan Dia akan membantu anda menghadapi situasi anda dengan jayanya.—Ibr. 13:6.
12. Mengapakah orang Kristian perlu berfikir masak-masak sebelum menerima lamaran orang lain?
12 Apakah yang akan anda lakukan jika anda dilamar oleh seseorang yang tidak kuat secara rohani atau seseorang yang bukan seiman? Anda mungkin mempunyai hasrat yang kuat untuk berkahwin. Tetapi ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jika anda membuat pilihan yang salah, anda akan menanggung penderitaan yang lebih parah daripada kesunyian yang dirasai dahulu. Selain itu, anda terikat kepada pasangan anda seumur hidup. (1 Kor. 7:27) Jadi, janganlah tergesa-gesa membuat keputusan yang mungkin dikesali nanti.—Baca 1 Korintus 7:39.
Membuat Persediaan untuk Perkahwinan
13-15. Apakah isu-isu yang harus dibincangkan oleh pasangan yang sedang berpacaran?
13 Walaupun Paulus menggalakkan kehidupan membujang, dia tidak memandang rendah mereka yang ingin berkahwin. Sebaliknya dia memberikan nasihat terilham yang dapat membantu pasangan yang berpacaran untuk menjalin ikatan yang berkekalan serta mempunyai pandangan realistik tentang perkahwinan.
14 Pasangan yang sedang berpacaran perlu mempunyai pandangan yang betul tentang masa hadapan. Ada yang mungkin berfikir bahawa cinta mereka sangat istimewa, dan akan membawa kebahagiaan abadi. Mereka melangkah ke alam perkahwinan dengan mimpi indah bahawa tiada apa jua yang boleh menjejaskan kebahagiaan mereka. Tetapi pandangan sebegini tidaklah realistik. Perasaan romantik yang dirasai memang membawa sukacita, tetapi perasaan ini tidak cukup untuk membantu mereka menangani kesusahan yang bakal dihadapi sebagai suami isteri.—Baca 1 Korintus 7:28. *
15 Ramai orang yang baru berkahwin menjadi hairan atau kecewa apabila pasangan mereka mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu-isu penting. Contohnya, mereka
mungkin tidak dapat mencapai persetujuan dalam hal kewangan dan tempat tinggal, cara menghabiskan masa lapang, serta masa melawat keluarga masing-masing. Selain itu, setiap orang mempunyai tabiat tertentu yang boleh menjadikan pasangannya geram. Hal-hal sebegini mudah diremehkan semasa berpacaran, tetapi boleh menyebabkan masalah besar selepas perkahwinan. Jadi adalah bijak jika pasangan yang berpacaran berbincang mengenai perkara sebegini sebelum berkahwin.16. Mengapakah pasangan Kristian harus mencapai persetujuan tentang cara menghadapi masalah dalam perkahwinan?
16 Jika pasangan suami isteri ingin hidup bahagia, mereka perlu menghadapi cabaran bersama-sama. Mereka harus mencapai persetujuan mengenai cara mendisiplinkan anak serta cara menjaga ibu bapa yang semakin tua. Walaupun mereka berasa tertekan semasa menghadapi masalah, hal ini tidak sepatutnya mewujudkan jurang antara mereka. Sebaliknya jika nasihat Bible diterapkan, mereka dapat menyelesaikan banyak masalah, tabah menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan serta-merta, dan hidup bahagia bersama-sama.—1 Kor. 7:10, 11.
17. Mengapakah orang yang sudah berkahwin perlu “menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia”?
17 Satu lagi hakikat mengenai perkahwinan dinyatakan oleh Paulus di 1 Korintus 7:32-34. (Baca.) Orang yang sudah berkahwin perlu “menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia,” seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan lain. Mengapakah kita berkata demikian? Sebagai contoh seorang saudara atau saudari bujang dapat mencurahkan banyak masa dan tenaga dalam kerja penyebaran. Tetapi selepas berkahwin, dia perlu menggunakan sebahagian daripada masa tersebut untuk menjaga pasangannya. Yehuwa faham bahawa suami isteri ingin menyenangkan hati pasangan mereka. Dia sedar bahawa orang yang sudah berkahwin harus mengambil sebahagian daripada masa dan tenaga yang dahulunya digunakan dalam khidmat Tuhan untuk mengukuhkan perkahwinan mereka.
18. Mengenai rekreasi, apakah perubahan yang mungkin perlu dilakukan selepas berkahwin?
18 Tetapi bagaimana pula dengan masa yang digunakan untuk berekreasi semasa bujang? Jika sebahagian daripada masa dan tenaga yang digunakan dalam khidmat Tuhan perlu dikorbankan selepas berkahwin, tidakkah sebahagian masa yang digunakan untuk berekreasi juga perlu dikorbankan? Fikirlah tentang perasaan isteri jika suaminya asyik meluangkan masa untuk bersukan dengan kawannya. Ataupun apakah perasaan suami jika isterinya menghabiskan banyak masa dengan kawannya untuk melakukan hobi tertentu? Tentu mereka berdua akan berasa sunyi, kecewa, dan tidak dicintai. Tetapi masalah ini boleh dielakkan jika suami dan isteri bekerja keras untuk mempererat hubungan mereka.—Yehuwa Menghendaki Kita Bersih secara Moral
19, 20. (a) Mengapakah perkahwinan tidak menjamin bahawa seseorang dilindungi daripada perbuatan seks yang haram? (b) Apakah risikonya jika seseorang berjauhan daripada pasangannya untuk tempoh masa yang lama?
19 Hamba Yehuwa berazam untuk mengekalkan kebersihan moral. Jadi ada yang berkahwin kerana mahu menghindari perbuatan seks yang haram. Tetapi perkahwinan bukanlah penawarnya. Pada zaman Bible, sebuah kota dikelilingi tembok yang kukuh untuk melindungi penduduknya. Tetapi jika seseorang berada di luar kota itu, dia tidak selamat lagi. Dia mungkin dirompak atau dibunuh. Dalam cara yang sama, orang yang sudah berkahwin hanya dilindungi jika mereka mematuhi batasan seksual yang ditetapkan oleh Pengasas perkahwinan.
20 Paulus menyebut tentang batasan ini di 1 Korintus 7:2-5. Hubungan seks hanya boleh dinikmati antara suami dan isteri. Masing-masing harus “memenuhi kewajipannya,” iaitu memenuhi keperluan seksual pasangannya. Walaupun begitu, sesetengah suami isteri meninggalkan pasangan mereka untuk tempoh yang lama untuk bercuti atau bekerja, lalu tidak dapat memenuhi ‘kewajipan’ ini. Syaitan boleh mengambil kesempatan ini untuk menggoda mereka supaya berzina. Yehuwa akan memberkati ketua keluarga yang membekalkan keperluan keluarga tanpa menggadaikan kesejahteraan rumah tangganya.—Mzm. 37:25.
Mematuhi Nasihat Bible Membawa Manfaat
21. (a) Mengapakah membuat keputusan untuk hidup membujang atau berkahwin tidak senang? (b) Bagaimanakah nasihat di 1 Korintus bab 7 membantu kita?
21 Membuat keputusan untuk hidup membujang atau untuk berkahwin memang tidak senang. Semua manusia tidak sempurna, dan hal ini menyebabkan banyak masalah dalam hubungan sesama manusia. Walaupun Yehuwa memberkati umat-Nya, adakalanya mereka akan menghadapi kekecewaan dalam kehidupan. Tetapi jika nasihat di 1 Korintus bab 7 diterapkan, banyak masalah dapat dielakkan. Tidak kira sama ada anda bujang atau sudah berkahwin, anda boleh menyenangkan hati Yehuwa. (Baca 1 Korintus 7:38.) Perkenan Tuhan merupakan berkat yang paling bernilai. Kita boleh menikmati perkenan Yehuwa sekarang, dan juga pada masa hadapan semasa kita hidup di dunia baru yang dijanjikan-Nya. Di dunia baru, hubungan antara lelaki dan wanita akan bebas daripada masalah yang dihadapi sekarang.
[Nota kaki]
^ per. 14 Lihat buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, bab 10, perenggan 13-17 dan kotak pada muka surat 130.
Apakah Jawapan Anda?
• Mengapakah kita tidak patut mendesak orang bujang untuk berkahwin?
• Sebagai orang bujang bagaimanakah anda boleh menggunakan masa anda dengan baik?
• Bagaimanakah pasangan yang berpacaran boleh membuat persediaan untuk menghadapi masalah dalam perkahwinan?
• Mengapakah perkahwinan tidak menjamin bahawa seseorang akan dilindungi daripada perbuatan seks yang tidak bermoral?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 14]
Orang bujang yang meluaskan khidmat dalam kerja penyebaran akan menikmati sukacita
[Gambar pada muka surat 16]
Apakah perubahan yang mungkin perlu dilakukan selepas berkahwin?