Pertanyaan Pembaca
Pertanyaan Pembaca
Apakah yang harus dilakukan jika saya ada soalan mengenai sesuatu yang dibaca dalam Bible atau apabila saya memerlukan nasihat mengenai masalah peribadi?
Amsal 2:1-5 menggalakkan kita untuk sentiasa mencari pengertian dan pemahaman seperti mencari “harta terpendam.” Hal ini bermaksud bahawa jika kita ada soalan tentang sesuatu yang dibaca dalam Bible, kita perlu mencurahkan usaha untuk membuat penyelidikan. Dan jika kita mempunyai masalah peribadi, kita perlu berusaha untuk mencari penyelesaiannya. Bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini?
Buku Benefit From Theocratic Ministry School Education * boleh membantu kita. Muka surat 33 hingga 38 membincangkan cara membuat penyelidikan dengan menggunakan bahan rujukan yang disediakan oleh ‘hamba yang setia dan bijaksana.’ (Mat. 24:45) Muka surat 36 menjelaskan cara menggunakan Watch Tower Publications Index. Setiap indeks dibahagikan kepada indeks subjek dan indeks ayat Bible. Anda boleh menggunakan kata kunci atau ayat Bible untuk mencari senarai bahan rujukan yang diperlukan. Bersabarlah semasa mencari jawapan atau bimbingan. Anda sedang mencari “harta terpendam,” dan hal ini memerlukan masa dan tenaga.
Memang sesetengah topik dan ayat Bible belum pernah dibincangkan dalam bahan bacaan kita. Dan walaupun bahan bacaan kita mengupas ayat Bible yang sedang anda cari, mungkin soalan anda masih tidak terjawab. Tambahan lagi, beberapa kisah Bible menimbulkan persoalan kerana tidak mempunyai butiran yang lengkap. Jadi kita tidak patut berfikir bahawa kita akan menjumpai semua jawapan dengan serta-merta. Dalam keadaan sebegini, kita harus mengelak daripada membuat andaian tentang perkara yang tidak dapat dijawab. Hal ini ‘hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Tuhan yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya.’ (1 Tim. 1:4; 2 Tim. 2:23; Tit. 3:9) Pejabat cawangan mahupun ibu pejabat sedunia tidak dapat menjawab semua soalan yang belum pernah dibincangkan dalam bahan bacaan kita. Tetapi kita boleh yakin bahawa Bible mempunyai maklumat yang cukup supaya kita mendapat bimbingan yang diperlukan. Hal-hal yang belum diketahui pula memberi kita peluang untuk menunjukkan bahawa kita beriman kepada Tuhan dan Firman-Nya.—Lihat muka surat 185 hingga 187 dalam buku Draw Close to Jehovah.
Bagaimana pula jika anda berusaha sedaya upaya untuk membuat penyelidikan tentang suatu masalah tetapi masih gagal mencari penyelesaiannya? Mintalah bantuan rakan seiman yang matang, seperti seorang penatua. Mereka mempunyai banyak pengetahuan Bible dan telah berkhidmat kepada Yehuwa selama bertahun-tahun. Mereka dapat memberikan nasihat yang sesuai kerana mereka kenal anda dan mengetahui situasi anda. Dan jangan lupa untuk berdoa kepada Yehuwa secara spesifik dan mohon bimbingan daya aktif-Nya kerana “Tuhanlah yang memberikan hikmat . . . dan pengertian.”—Ams. 2:6; Luk. 11:13.
[Nota kaki]
^ per. 4 Bahan bacaan yang disebut dalam rencana ini tidak terdapat dalam bahasa Malaysia. Untuk bahan bacaan dalam bahasa lain, sila layari www.watchtower.org.