Hidup Menurut Daya Aktif Untuk Meraih Kehidupan dan Kedamaian
Hidup Menurut Daya Aktif Untuk Meraih Kehidupan dan Kedamaian
‘Hidup menurut kehendak Roh [daya aktif] Tuhan, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia.’—RM. 8:4.
1, 2. (a) Apakah yang akan berlaku jika seseorang tidak menumpukan perhatian semasa memandu? (b) Apakah yang mungkin berlaku jika seseorang tidak menumpukan perhatian pada hal-hal rohani?
“MASALAH pemandu yang tidak menumpukan perhatian semasa memandu bertambah teruk setiap tahun.” Itulah hasil kajian setiausaha pengangkutan A.S. Telefon bimbit merupakan salah satu alat yang boleh mengalihkan perhatian seseorang semasa memandu. Lebih daripada satu per tiga orang yang ditemu ramah dalam satu tinjauan mengatakan bahawa mereka telah dilanggar atau hampir dilanggar oleh pemandu yang sedang menggunakan telefon bimbit. Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa mereka dapat menjimatkan masa dengan melakukan hal-hal lain sambil memandu. Tetapi hakikatnya, hal ini hanya mengundang nahas.
2 Sepertimana pemandu yang tidak menumpukan perhatian sering kali gagal melihat bahaya di depan mata, seseorang yang tidak menumpukan perhatian pada hal-hal rohani senang menjejaskan hubungannya dengan Tuhan. Jika kita beransur-ansur meninggalkan haluan Kristian dan aktiviti teokratik, iman 1 Tim. 1:18, 19) Rasul Paulus memberikan amaran berikut kepada orang Kristian di Roma: ‘Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan, Tuhan akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian.’ (Rm. 8:6, ABB) Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa fikiran kita tidak “dikuasai oleh tabiat manusia” tetapi ‘dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan’?
kita mungkin hancur. (“Tidak Ada Lagi Hukuman bagi Mereka”
3, 4. (a) Apakah pergelutan peribadi yang dialami oleh Paulus? (b) Mengapakah kita patut mengambil tahu tentang situasi Paulus?
3 Dalam suratnya kepada orang Kristian di Roma, Paulus menulis mengenai pergelutannya, iaitu konflik antara keinginan berdosa dan fikirannya. (Baca Roma 7:21-23.) Paulus bukannya sedang membela diri atau mengasihani diri; dia tidak bermaksud bahawa dia tidak dapat melakukan apa yang betul. Dia seorang Kristian terurap yang matang, dan dipilih untuk menjadi “rasul kepada orang bukan Yahudi.” (Rm. 1:1; 11:13) Jadi, mengapakah Paulus telah menulis tentang pergelutan peribadinya?
4 Paulus secara jujur sedang mengaku bahawa jika dia bergantung pada dirinya, dia tidak berupaya untuk melakukan kehendak Tuhan sepertimana yang diingininya. Mengapa? Dia berkata, ‘Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Tuhan yang menyelamatkan mereka.’ (Rm. 3:23, ABB) Sebagai keturunan Adam yang tidak sempurna, Paulus merasai kesan dosa. Kita memahami perasaan Paulus kerana kita juga tidak sempurna dan mengalami pergelutan tiap-tiap hari. Tambahan lagi, terdapat banyak perkara yang boleh menyebabkan kita hilang tumpuan lalu menyimpang daripada ‘jalan sempit yang menghala ke hidup sejati.’ (Mat. 7:14) Walaupun begitu, Paulus mempunyai harapan untuk diselamatkan. Begitu juga dengan kita.
5. Paulus mendapat bantuan dan kelegaan hati dari mana?
5 Paulus menulis, ‘Siapakah yang dapat menyelamatkan aku? Aku bersyukur kepada Tuhan; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!’ (Rm. 7:24, 25) Kemudian, dia menujukan kata-katanya kepada mereka yang “hidup bersatu dengan Kristus Yesus,” iaitu orang Kristian terurap. (Baca Roma 8:1, 2.) Melalui daya aktif-Nya, Yehuwa menjadikan mereka anak-anak-Nya yang akan memerintah sebagai raja bersama Kristus. (Rm. 8:14-17) Bantuan daya aktif Tuhan dan kepercayaan mereka dalam korban tebusan Kristus membolehkan mereka menang dalam pergelutan yang disebut oleh Paulus. Oleh itu, “tidak ada lagi hukuman bagi mereka.” Mereka sudah dibebaskan “daripada hukum dosa dan kematian.”
6. Mengapakah semua penyembah Tuhan patut mendengar nasihat Paulus?
6 Walaupun kata-kata Paulus ditujukan kepada orang Kristian terurap, apa yang dikatakannya tentang daya aktif Tuhan dan korban tebusan Kristus dapat membawa manfaat kepada semua umat Yehuwa. Ya, meskipun Paulus diilhami untuk menawarkan nasihat itu kepada orang Kristian terurap, semua penyembah Tuhan patut memahami kata-katanya dan berikhtiar untuk meraih manfaat daripadanya.
Bagaimana Tuhan “Menghapuskan Dosa”
7, 8. (a) Apakah yang “gagal dilakukan oleh Taurat”? (b) Apakah yang sudah dilaksanakan Tuhan melalui daya aktif-Nya dan tebusan Kristus?
7 Di Roma bab 7, Paulus mengupas tentang kuasa dosa ke atas manusia yang tidak sempurna. Di bab 8 pula, dia mengupas tentang kuasa daya aktif Tuhan. Rasul Paulus menjelaskan bagaimana daya aktif Tuhan dapat membantu orang Kristian untuk melawan kuasa dosa agar mereka dapat hidup selaras dengan kehendak Yehuwa dan mendapat perkenan-Nya. Paulus menunjukkan bahawa melalui daya aktif Tuhan dan korban tebusan Yesus, Tuhan telah melaksanakan apa yang gagal dilakukan oleh Taurat atau Hukum Musa.
8 Taurat Musa, dengan hukum-hukumnya, mengutuk pendosa. Lagipun korban yang dipersembahkan imam agung Israel tidak dapat menutupi dosa dengan sepenuhnya kerana mereka tidak sempurna. Namun begitu, Tuhan “mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri.” Yesus “datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa.” Maka korban tebusan Yesus telah melakukan “perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat.” Apakah hasilnya? Orang Kristian terurap dianggap adil benar atas dasar iman pada korban tebusan Yesus. Mereka digalakkan untuk ‘hidup menurut kehendak Roh [daya aktif] Tuhan, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia.’ (Baca Roma 8:3, 4.) Sememangnya, mereka mesti berbuat demikian sampai ke akhir hayat untuk meraih hadiah “hidup sejati dan kekal” di syurga.—Why. 2:10.
9. Apakah erti perkataan “hukum” yang digunakan di Roma 8:2?
9 Paulus juga bercakap tentang ‘hukum Roh [daya aktif] Tuhan’ dan “hukum dosa dan kematian.” (Rm. 8:2) Apakah hukum-hukum ini? Perkataan “hukum” di sini tidak merujuk kepada peraturan tertentu, seperti hukum-hukum dalam Taurat Musa. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa istilah Yunani untuk “hukum” dalam ayat ini merujuk kepada perkara baik atau buruk yang dilakukan oleh orang dan yang mengawal mereka. Istilah ini juga merujuk kepada pegangan hidup seseorang.
10. Bagaimanakah kita semua tertakluk kepada hukum dosa dan kematian?
10 Rasul Paulus menulis, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa.” (Rm. 5:12, ABB) Sebagai keturunan Adam, kita semua tertakluk kepada hukum dosa dan kematian. Keinginan berdosa sentiasa menyebabkan kita melakukan perkara yang tidak menyenangkan hati Tuhan dan hal ini mengakibatkan kematian. Di dalam suratnya kepada orang di Galatia, Paulus mengatakan bahawa orang yang melakukan perkara sebegini menurut “keinginan tabiat manusia” dan tidak akan ‘menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (Gal. 5:19-21) Mereka yang “menurut kehendak tabiat manusia” dikawal oleh keinginan berdosa. (Rm. 8:4) Tetapi adakah orang yang cabul, menyembah berhala, menggunakan ilmu sihir, dan melakukan dosa-dosa menjijikkan sahaja yang hidup menurut tabiat manusia? Tidak. “Keinginan tabiat manusia” yang disebut di Galatia juga merangkumi sikap-sikap yang dipandang sebagai kelemahan peribadi seperti cemburu, lekas marah, suka berkelahi, dan iri hati. Ya, janganlah sesekali berfikir bahawa kita tidak perlu melawan keinginan yang berdosa.
11, 12. Apakah yang disediakan oleh Yehuwa agar kita dapat mengatasi hukum dosa dan kematian, dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menikmati perkenan Tuhan?
11 Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa telah membuka jalan agar kita dapat mengatasi hukum dosa dan kematian! Yesus berkata, ‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’ Jika kita menerima kasih Tuhan dan beriman pada korban tebusan Yesus Kristus, kita dapat dibebaskan daripada kematian. (Yoh. 3:16-18, ABB) Jadi, kita boleh berasa seperti Paulus yang berkata, ‘Aku bersyukur kepada Tuhan; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!’
12 Situasi kita ibarat orang yang sakit tenat. Kita hanya akan sembuh jika kita melakukan apa yang disuruh oleh doktor. Walaupun kita beriman pada tebusan Kristus, kita masih dalam keadaan yang tidak sempurna dan berdosa. Maka untuk menikmati hubungan yang intim dengan Yehuwa, mendapat perkenan-Nya, dan pulih daripada ketidaksempurnaan, kita mesti hidup menurut bimbingan daya aktif-Nya.
Hidup Menurut Daya Aktif—Bagaimana?
13. Bagaimanakah kita dapat hidup menurut daya aktif Tuhan?
13 Untuk hidup menurut bimbingan daya aktif Tuhan, kita tidak perlu sempurna secara rohani. Tetapi kita harus memperlihatkan kemajuan rohani secara berterusan. Bak kata pepatah, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. (1 Tim. 4:15) Maka setiap hari, kita mesti berikhtiar untuk ‘membiarkan Roh [daya aktif] Tuhan memimpin hidup kita.’ Jika kita berbuat demikian, kita akan mendapat perkenan Tuhan.—Gal. 5:16.
14. Apakah kecenderungan orang yang “hidup menurut kehendak tabiat manusia”?
14 Seterusnya Paulus bercakap tentang dua kumpulan orang dengan cara fikiran yang berlainan. (Baca Roma 8:5.) Di sini, “tabiat manusia” merujuk kepada kecenderungan manusia untuk berdosa. Kecenderungan inilah yang menyebabkan konflik antara keinginan berdosa dan fikiran. Tetapi orang yang “hidup menurut kehendak tabiat manusia” langsung tidak bergelut untuk melawan kecenderungan mereka. Mereka tidak mempedulikan kehendak Tuhan dan menolak bantuan-Nya. Sebaliknya, mereka mengizinkan “fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia.” Tumpuan mereka sering kali berpusat pada keselesaan hidup dan nafsu fizikal. Sebaliknya, orang yang ‘hidup menurut kehendak Roh [daya aktif] Tuhan’ menumpukan fikiran mereka pada hal-hal rohani.
15, 16. (a) Apakah yang akan berlaku jika seseorang selalu berfikir tentang perkara-perkara yang salah? (b) Apakah yang menjadi tumpuan kebanyakan orang hari ini?
15 Baca Roma 8:6. Pada hakikatnya, fikiran seseorang akan mempengaruhinya untuk berbuat baik atau berbuat jahat. Jika seseorang selalu berfikir tentang perkara-perkara yang salah, kecenderungan mentalnya akan berfokus sepenuhnya pada keinginan yang berdosa. Pandangan, perasaan, dan minatnya akan mencerminkan hal itu.
16 Apakah yang menjadi tumpuan kebanyakan orang hari ini? Rasul Yohanes menulis, “Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia.” (1 Yoh. 2:16, ABB) Buku, majalah, surat khabar, filem, rancangan TV, dan Internet asyik menggalakkan keinginan-keinginan seperti perbuatan tidak bermoral, kemasyhuran, dan pengejaran harta benda. Sememangnya kebanyakan orang mendambakan dan menumpukan perhatian pada perkara-perkara seperti ini. Tetapi, jika fikiran kita “dikuasai oleh tabiat manusia,” kita akan mati secara rohani sekarang dan secara fizikal pada masa depan. Mengapa? ‘Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Tuhan. Orang itu tidak mentaati hukum Tuhan, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Tuhan. Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Tuhan.’—Rm. 8:7, 8, ABB.
17, 18. Bagaimanakah kita dapat hidup menurut bimbingan daya aktif Tuhan, dan apakah hasilnya?
17 Sebaliknya, jika fikiran kita ‘dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan, Tuhan akan mengurniai kita hidup dan kedamaian.’ Kita akan mengalami kedamaian batin dan mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan serta menikmati kehidupan kekal pada masa depan. Bagaimanakah fikiran kita dapat ‘dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan’? Dengan selalu menurut bimbingan Tuhan dan daya aktif-Nya. Seraya kita melakukan hal ini, kita akan ‘mentaati hukum Tuhan’ dan menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran-Nya. Semasa kita berdepan dengan godaan, kita tidak akan teragak-agak tentang haluan yang patut diambil. Kita akan tergerak untuk membuat keputusan yang selaras dengan bimbingan daya aktif Tuhan.
18 Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk menumpukan fikiran pada hal-hal rohani. Ya, kita mahu berdoa secara tetap, membaca dan mempelajari Bible, menghadiri perjumpaan, dan menjalankan aktiviti penyebaran. (1 Ptr. 1:13) Marilah kita tumpukan minda pada hal-hal rohani dan jangan izinkan keinginan berdosa untuk mengalihkan perhatian kita. Maka, kita akan terus hidup menurut bimbingan daya aktif Tuhan dan meraih kehidupan dan kedamaian.—Gal. 6:7, 8.
Dapatkah Anda Jelaskan?
• Apakah “yang gagal dilakukan oleh Taurat,” tetapi bagaimanakah Tuhan mengatasinya?
• Apakah itu “hukum dosa dan kematian,” dan bagaimanakah kita boleh bebas daripada hukum ini?
• Apakah yang mesti kita lakukan untuk memastikan fikiran kita dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 12, 13]
Adakah anda hidup menurut tabiat manusia atau daya aktif Tuhan?