Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kurang Upaya Tetapi Bukan Untuk Selamanya!”

“Kurang Upaya Tetapi Bukan Untuk Selamanya!”

“Kurang Upaya Tetapi Bukan Untuk Selamanya!”

Diceritakan oleh Sara van der Monde

Orang sering kali memberitahu saya, “Sara, senyuman kamu sangat manis. Kenapa Sara sentiasa gembira?” Saya memberitahu mereka bahawa saya mempunyai harapan yang cerah. Saya berkata, “Sekarang saya kurang upaya tetapi bukan untuk selamanya!”

SAYA dilahirkan di Paris, Perancis pada tahun 1974. Ibu menghadapi kesukaran semasa melahirkan saya dan ibu bapa saya diberitahu bahawa saya menghidap penyakit palsi serebrum. Pergerakan saya terhad dan pertuturan saya susah difahami. Saya juga mengalami serangan sawan dan senang dijangkiti penyakit.

Semasa saya berumur dua tahun, keluarga saya berpindah ke Melbourne, Australia. Dua tahun kemudian, ayah meninggalkan kami. Itulah kali pertama saya berasa rapat dengan Tuhan. Ibu saya seorang Saksi dan dia membawa saya ke perjumpaan secara tetap. Di sana, saya mempelajari bahawa Tuhan mengasihi dan mengambil berat tentang saya. Walaupun situasi hidup keluarga saya berubah, kasih Tuhan dan kasih ibu membantu saya berasa selamat.

Ibu juga mengajar saya cara berdoa. Sebenarnya, berdoa kepada Yehuwa lebih senang bagi saya kerana kata-kata saya jelas di minda dan saya tidak perlu bersusah payah mengucapkannya. Tidak seperti orang lain yang payah memahami tutur kata saya, Yehuwa memahami isi hati saya, tidak kira saya meluahkannya dalam hati atau sebaliknya.​—Mzm. 65:3.

Menangani Lebih Banyak Masalah

Semasa berumur lima tahun, saya tidak dapat berjalan tanpa sokongan kaki (caliper splints). Dan walaupun adanya sokongan itu, saya berjalan terhuyung-hayang. Pada umur 11 tahun, saya langsung tidak dapat berjalan. Kemudian, saya tidak dapat turun naik katil tanpa bantuan mesin untuk mengangkat saya ke dalam kerusi roda bermotor yang dapat dikawal dengan tangan.

Memang, kadangkala saya berasa tawar hati. Tetapi saya akan ingat apa yang selalu dikatakan dalam keluarga saya, “Jangan khuatir tentang apa yang tidak dapat dilakukan, tetapi lakukanlah apa yang dapat dilakukan.” Hasilnya, saya berjaya menunggang kuda, berlayar, berkanu, berkhemah, dan memandu dalam litar memandu. Saya suka melukis, menjahit, menyulam, menjahit kuilt, dan membuat tembikar.

Memandangkan saya kurang upaya, sesetengah orang berasa saya tidak mampu membuat keputusan sendiri untuk menyembah Tuhan. Semasa saya berumur 18 tahun, seorang guru menyuruh saya meninggalkan rumah supaya dapat “melarikan diri” daripada agama ibu saya. Guru itu bahkan menawarkan bantuan untuk mencari tempat tinggal bagi saya. Saya memberitahu dia bahawa saya tidak akan mengabaikan iman saya dan hanya akan meninggalkan rumah apabila saya dapat hidup berdikari.

Tidak lama kemudian, saya dibaptiskan. Dua tahun selepas itu, saya berpindah ke sebuah pangsapuri yang kecil. Di sini, saya menikmati kehidupan yang berdikari dan pada masa yang sama mendapat bantuan yang diperlukan.

Lamaran yang Tidak Terduga

Sepanjang hidup saya, banyak perkara telah menguji iman saya. Pada suatu hari, saya dilamar oleh seorang rakan sekolah yang juga kurang upaya. Pada mulanya saya berasa gembira dan besar hati. Seperti kebanyakan gadis muda, saya pun mahu berkahwin. Tetapi, kami tidak dijamin kehidupan yang bahagia semata-mata kerana mempunyai keadaan yang sama. Lagipun, dia bukan seorang Saksi dan kepercayaan, aktiviti, dan matlamat hidup kami amat berbeza. Jadi mana mungkin kami dapat hidup bahagia? Saya juga bertekad untuk mematuhi arahan Tuhan untuk hanya mengahwini seorang rakan seiman. (1 Kor. 7:39) Oleh itu, saya menolak lamaran pemuda itu dengan sopan.

Sampai hari ini, saya tahu bahawa saya telah membuat keputusan yang betul. Saya yakin bahawa saya akan hidup bahagia dalam dunia baru yang dijanjikan oleh Tuhan. (Mzm. 145:16; 2 Ptr. 3:13) Sementara itu, saya bertekad untuk terus setia kepada Yehuwa dan berpuas hati dengan situasi hidup saya.

Saya menantikan saat ketika saya dapat melompat dari kerusi roda dan berlari secepat kilat. Pada hari itu, saya akan berseru, “Saya dulu kurang upaya, tetapi sekarang saya akan hidup sihat buat selama-lamanya!”